Sabtu, 27 Februari 2016

Bantuan Allah

BANTUAN ALLAH MELENGKAPI HAK UNTUK CAPAI KUASA

Agak menarik juga untuk perbincangan membentuk persepsi dalam merangka halatuju sesebuah kumpulan atau oerganisasi berasaskan hubungan tauhid dengan amalan demokrasi berparlimen. Sungguhpun takrifan demokrasi berbeza berdasarkan indoktrinasi kepercayaan atau kefahaman, namun asasnya untuk menyusunatur kedamaian dan keadilan hidup bermasyarakat. 

Satu fahaman berpegang kepada keadilan dan kedamaian hanya bisa dicapai menerusi persamaan hak setiap individu. Persamaan hak bila setiap individu diberi peranan yang sama menentukan kuasa politik. Dengan kata lain, kuasa politik diperolehi atau ditentukan menerusi amalan demokrasi.  

Satu lagi school of thoughts, menyimpulkan tonggak keadilan dan kedamaian bergantung kepada agihan kekayaan yang seimbang antara individu. Pihak yang perolehi kuasa yang diangkat suara terbanyak, berpeluang mengumpul harta yang boleh meluaskan lompang ketidaksamaan antara individu, yang menjurus kepada perkelompokan golongan berada dengan golongan tidak berada. Secara langsung menjarakkan lompang ketidaksamarataan sosial. 

Kelompok pertama mentafsirkan demokrasi berasaskan kuasa politik, sementara kelompok kedua meletakkan ekonomi sebagai tunjang demokrasi. Fahaman demokrasi pertama meletakkan kuasa politik diperolehi menerusi mekanisme pilihan raya, berbanding fahaman kedua mensasarkan kesamarataan kuasa ekonomi dengan memberi kuasa eksekutif mengurus dan membuat tafsiran. 

Justeru kita memilih objektif kedamaian, kesejahteraan dan keadilan sosial menerusi kuasa politik melalui saluran demokrasi kepilihanrayaan, haluannya bertumpu kepada mekanisme sokongan popular. Namun demikian, berlaku pertembungan antara pemikiran liberalisme dengan aliran tauhid. Lantaran objektif memaksimakan sokongan popular, pendekatan aliran liberalisme berpaksikan kepada apa saja yang boleh jadi popular. 

Pertembungan pendekatan dan kaedah tersebut memuncakkan perselisihan pendapat di kalangan pendokong sesebuah parti atau organisasi khususnya pertubuhan yang tidak mengasingkan antara tauhid dengan tuntutan liberalisme yang menjadi asas demokrasi. Konflik pendekatan ini yang mencetuskan munculnya serpihan Pas; Parti Amanah Negara (Amanah). Antara isu utama yang menjadi agenda ialah meraih sokongan pemilih dalam pilihan raya. Amanah menjadikan pencapaian Pas dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) terakhir khususnya di sebelah pantai barat Semenanjung ialah faktor sokongan bukan Islam, sebagai perlu Pas mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik menerusi Pakatan Rakyat. 

Pihak yang menyokong faktor tersebut, meletakkan Pas sebagai berundur 20 tahun ke belakang dalam persaingan merebut kuasa pengalaman Malaysia, bila Pas tidak bersama Pakatan Rakyat, bererti Pas  menafikan atau meletak ke tepi faktor sokongan pengundi bukan Islam. Pas mendasari serta pertahan tindakan tidak bersama Pakatan Rakyat berasaskan bantuan atau pertolongan Allah mengatasi faktor lain. 

Firman Allah s.w.t dalam Surah Al Maidah ayat 55 (Juz 6) yang bermaksud: Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku' (tunduk menjunjung perintah Allah). 

Secara umumnya, jelas bagi orang Islam meletakkan tauhid rabbubiyah sebagai asas  pegangan dalam apa juga urusan kehidupan, pertolongan dan bantuan Allah mendepani urusan makhluk lain. Keimanan dan keyakinan janji Allah tidak harus diporakperandakan dengan agenda lain. 

Ayat di atas disokongan pula oleh ayat berikut dalam surah yang sama: Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya seta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap meang. (Al Maidah 56). 

Wajarlah pendapat sealiran dengan hujjah bantuan Allah adalah faktor lebih utama dan lebih besar untuk meraih sesuatu hasil atau kemenangan. Bantuan dan pertolongan Allah yang berhak mengilhamkan dan membalikkan hati setiap manusia membuat keputusan.  

Justeru bentuk taburan pengundi di Malaysia yang meletakkan orang Melayu sebagai etnik majoriti, di Semenanjung Malaysia, daripada jumlah 11,192,553 pemilih yang sah dalam PRU13, 59.27% adalah pemilih Melayu. 30.61% adalah pemilih Cina, 8.63% India dan 1.52% lain-lain etnik. Dengan angka hampir 60% pemilih didominasi oleh pengundi Melayu, pengundi bukan Melayu yang menguasai 40% pemilih bolehlah disifatkan sebagai kuasa penentu. Pergantungan kepada bantuan Allah disertai dengan dokongan pemilih majoriti bersama kelompok minoriti secara rasionalnya sebagai kuasa penentu. 





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan