Khamis, 14 April 2016

PRN Sarawak 1

PRN SARAWAK MENGUKUR KEUPAYAAN KEPIMPINAN BARU

Dewan Undangan Negeri Sarawak semasa akan berakhir mandat pada 20/06/2016, telah dibubarkan 11/04/2016. Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umumkan, hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri ke 11 (PRN11) pada 07/05/2016 dan penamaan calonnya 25/04/2016.


PRN11 agak menarik kerana ianya adalah jawapan kepada sekurang-kurangnya 5 faktor;

Pertama: Tindakan berani dan luar biasa TS Adenan Satem selaku Pengerusi BN Sarawak mengumumkan pada 30/01/2016,  PRN11 diadakan pada 30/4/2016, iaitu memberi tempoh 3 bulan makluman kepada semua pihak terlibat. Sungguhpun rasminya terpulang kepada SPR selaku pengendali, akan bertindak bila badan perundangan dibubarkan. Lazimnya urusan atau pengumuman pembubaran DUN atau Parlimen dimaklumkan untuk pengetahuan umum secara mengejut kepada pihak lawan atau pembangkang. Tempoh makluman pembubaran dewan perundangan, hari penamaan calon dan hari mengundi dalam tempoh yang dekat. 

Apakah keberanian dan keterbukaan BN di bawah DS Adenam akan membuka lambaran baru dalam politik demokrasi kepilihanrayaan, akan diterima baik oleh pengundi yang semakin terdedah kepada sebarluas pendidikan politik. Sejauhmana pendekatan DS Adenam selaku pemimpin baru sebuah kerajaan negeri dianggap sebagai politik anak jantan sebagaimana pendekatan Tunku berdepan dengan Pilihan Raya Umum 1969, yang memberikan tempoh yang panjang untuk rakyat bersedia membuat keputusan di peti undi. Kita menunggu impaks dari pendekatan Adenam ini berbanding kesan kepada kerajaan pimpinan Tunku dalam PRU 1969. 

Kedua: PRN11 ini bolehlah disifatkan mekanisme memperkukuh kedudukan BN menerusi persempadanan kawasan pilihan raya. Mana-mana kerajaan akan mengambil peluang peruntukan Perlembagaan ini menyusun persempadanan kawasan undi yang boleh membuka ruang menambah kawasan atau kerusi yang berpotensi untuk menang. Mekanisme gerry meandering yang mengeksploitasikan persempadanan semula berasaskan prestasi dan kekuatan parti pemerintah. 

Persempadanan kawasan pilihan di Sarawak yang selesai dalam tahun 2014 telah menambahkan kawasan pilihan raya negeri dari 71 kepada 82, tambahan 11 kawasan baru atau 11 kerusi untuk DUN Sarawak. Secara langsung, penambahan kerusi baru, sebahagiannya untuk mempastikan parti-parti serpihan dari komponen BN diperuntukan agihan. 11 kawasan baru diagihkan kepada; 5 kepada Parti Bumiputra Bersatu (PBB) iaitu 3 kerusi atau kawasan majoriti Melayu/Melanau, 2 kerusi Iban, 2 untuk Parti Rakyat Sarawak (PRS); kerusi Iban dan Orang Ulu. Baki 4 kerusi lagi ( 2 kerusi Bidayuh, 1 kerusi Cina dan 1 kerusi Orang Ulu) iaitu untuk parti yang bercakaran dan serpihannya: Sarawak United People's Party (SUPP) dan serpihannya UPP, Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) dan serpihannya TERAS. 

Dalam PRN10, BN tewas di 15 kerusi iaitu 13 kerusi Cina dan masing-masing satu kawasan majoriti Iban dan Orang Ulu, yang ditandingi calon-calon SUPP dan SPDP mewakili BN. Persempadanan ala Sarawak yang lebih menjaga kepentingan parti komponen ini, lebih tumpu kepada kawasan majoriti Melayu/Melanau dan Bumiputera lain, yang menampakkan pengukuhan PBB dan PRS yang memberikan kemenangan kepada BN. 

Sebagaimana lazim, pertambahan kawasan pilihan raya atau kerusi akan memberi kesan positif kepada BN. Tambahan pula kekuatan PBB serta PRS serta sokongan Melayu/Melanau dan Iban lebih banyak membantu BN. Sebaliknya Sarawak mengalami sejarah berbeza, dalam PRN8 (2001), BN di bawah Abdul Taib Mahmud memenangi 60 dari jumlah 62 kerusi DUN dengan 71.16% undi popular. Jauh lebih baik dari PRN7 (1996), BN cuma dapat 57 kerusi DUN dan kalah di 5 kawasan, dengan 67.65% undi popular. 

PRN9 (2006) berlangsung selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya yang memberikan 9 kerusi tambahan untuk DUN. BN perolehi undi popular yang menurun kepada 61.18% dan menang 62 kerusi dan kalah 9 kerusi, dengan DAP berjaya menambah dari 1 kerusi kepada 6 kerusi. Dalam PRN10 (2011), BN di bawah Abdul Taib Mahmud, gagal meningkat prestasi, menangi 56 kerusi dan pembangkang bertambah kuat di DUN; 12 DAP dan 3 PKR. Undi popular BN turun ke 55.36% undi popular. 

Apakah persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan memperbanyakkan kerusi di luar bandar akan membantu BN memperbaiki pencapaian setelah perubahan kepimpinan.  


Ketiga:  Sejauhmanakah kebenaran realiti dalam politik Malaysia, permintaan kepada mandat untuk mengesahkan kredibiliti seorang pemimpin akan mendapat sokongan besar. Adenam Satem secara demokrasi parlimennya belum disahkan sebagai seorang ketua kerajaan, lantaran beliau menerima pelawaan memimpin sebuah kerajaan di pertengahan penggal. Dalam konteks dan pengalaman Malaysia, mana-mana pemimpin yang belum diuji, akan diberikan sokongan besar sebagai mengesahkan mandat. 

Keempat: Apakah BN selesa berdepan pilihan rakyat dalam permintaan pengesahan mandat dalam parti-parti komponen bercelaruan. SUPP, sebuah parti paling kanan dalam politik Sarawak yang aktif sebelum penubuhan Malaysia, berdepan krisis keyakinan dan perpecahan. Faktor utama keretakan SUPP ialah rentetan berbagai isu selepas kekalahan teruk calon-calon SUPP mewakili BN. Sungguhpun SUPP sebuah parti berbilang kaum yang dimonopoli oleh penyokong Cina dan Bidayuh, tetapi ianya lebih menampakkan sebuah parti mewakili masyarakat Cina. Kesan besarnya, terbentuk UPP, bila pemimpin-pemimpin kanan keluar parti. 

SPDP sebuah parti serpihan Sarawak National Party (SNAP) berpecah pula kepada sebuah serpihan baru; TERAS. Politik "serpihan dalam serpihan", wujud setelah semua ADUN keluar parti, yang merupakan pimpinan utama parti. Pemimpin yang membentuk serpihan dari parti asal, SNAP, jugalah yang membentuk serpihan baru. Prestasi SPDP tidaklah secemerlang PBB dan PRS dalam PRN10. 

Dalam lingkaran politik serpihan dan pemimpin bertukar warna, mampukan BN menghadiahkan kemenangan besar buat Adenam Satem sebagai pengesahan mandat.  Tugasan Adenam Satem bukan sahaja mendapat mandat baru untuk meneruskan kelangsungan pemerintahan BN yang diambilalih dari Abdul Taib Mahmud tetapi memperbaiki prestasi BN yang semakin merosot sejak 3 PRN terakhir. 

Kelima: PRN11 ini adalah satu medan menguji keupayaan pakatan pembangkang baru; Pakatan Harapan. Jika dalam PRN10, hasil pakatan pembangkang di bawah Pakatan Rakyat yang menggabungkan kerjasama politik; PKR, DAP dan Pas berjaya menterjemahkan inspirasi politik arus perdana. Politik arus perdana yang dalam kecenderungan mengseimbangkan kuasa antara BN dengan pembangkang, di mana hasilnya dalam PRU13 keseimbangan ini direalisasikan bila BN cuma disokong oleh 47% pemilih sahaja, walaupun berupaya memenangi majoriti kerusi dewan perundangan. 

Setelah tersingkir Pas dari pakatan pembangkang utama, terbentuk Pakatan Harapan yang menggabungkan kerjasama DAP, PKR dan parti baru serpihan Pas; Parti Amanah Negara.  Sejauhmana PRN11, menyaksikan keupayaan pakatan baru pembangkang utama dalam mencabar BN untuk menafikan kuasa dua pertiga di DUN Sarawak. Jika realiti hasil PRN10 (2011) diterjemahkan dalam PRU13 (2013), apakah prestasi sama ada BN atau Pakatan Harapan dan juga Pas yang istihar dirinya sebagai kuasa ketiga dalam PRN11 ini sebagai bayangan senario politik arus perdana yang menentukan PRU14, dua tahun akan datang. Justeru sama ada BN atau pakatan pembangkang, melibatkan aktor-aktor serpihan, PRN11 bolehkan dianggap sebagai persaingaan seimbang atau evenly contested di gelanggang BN.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan