Khamis, 29 Oktober 2015

Pengecut & sindrom bisu

ANTARA PENGECUT DENGAN SINDROM BISU

Amat menarik kesimpulan ulasan Timbalan Presiden UMNO, TS Mahyuddin Mohd Yassin dalam slot Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian, di Johor Bahru, 24/10/2015 lepas. Harapan beliau, penyokong dan pemimpin UMNO semua peringkat tidak membentuk budaya manusia pengecut, takut untuk bersuara. Pendirian mendiamkan diri dalam apa-apa isu walaupun boleh melemahkan parti dan kerajaan, demi menjaga kepentingan diri dan kedudukan. 

Budaya pendokong UMNO dulu, kini dan selamanya yang meletakkan diri mereka sebagai anggota parti yang pasif serta penyokong membabi buta, demi parti bukan demi bangsa dan negara. Berita kelmarin, 13 cawangan UMNO dalam bahagian Teluk Kemang menerusi ketua cawangan meminta Perdana Menteri mengundurkan diiri, apakah ianya sudah memulakan satu tapak menafikan kelohan TS Mahyuddin. Atau sebagai satu sahutan awal cabaran yang dilontarkan oleh seorang Timbalan Presiden parti yang mengepalai kerajaan sejak 60 tahun lalu. 

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato' Jamal Mohd Yunus yang menjuarai perjuangan rasisme menerusi Himpunan Baju Merah tempoh hari, mendedahkan 140 ketua bahagian dari jumlah 191 bersepakat untuk menyingkirkan Timbalan Presiden. Usaha penyingkiran setelah Timbalan Presiden hilang kedudukan dalam kabinet sebagai memperkukuhkan budaya pengecut, bodek dan perjuangan berlapikkan bangsa demi periuk nasi dan pengisian perut. 

Satu masa dulu, Timbalan Presiden UMNO pada masa itu, Tun Musa Hitam cukup popular dengan cetusan istilahnya "sindrom bisu". Antara budaya pengecut dengan sindrom bisu, tidak ada beza dari segi maksud, amalan dan realitinya. Kedua-dua tokoh ini bertapak dan bergerak di negeri yang meletakkan negeri "UMNO paling kuat" di atas muka bumi ini, iaitu Johor. Kekebalan, kehebatan dan kejagohan Johor dalam politik UMNO memang diakui dan dihormati.

Teguran Tun Musa Hitam yang membawa kepada penurunan pengaruh UMNO, pada era kedudukan UMNO paling teguh dan terpengaruh. Ianya membawa kepada perpecahan dalam kepimpinan UMNO, ekorannya memberikan alternatif kepada orang Melayu mencari wadah saingan. Kemuncaknya Pilihan Raya Umum 1990, UMNO alami kemerosotan prestasi bukan berpusat di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, tetapi juga di kubu dan asasnya, iaitu Johor, walaupun masih pertahan kuasa tetapi kehilangan sebuah kerajaan; Kelantan. Paling penting, memberi ruang kepada saingan UMNO iaitu Pas, satu tapak dan asas perluasan pengaruh.

Politik pasca Dasar Ekonomi Baru, bermula 1990, meletakkan satu anjakan politik kepentingan kaum kepada politik realiti sejagat yang berkisar kepada isu-isu keadilan, tatakelola, ketelusan dan penambahbaikan dalam kehidupan. Perubahan persepsi khalayak pengundi ini memberanikan mereka memberi ruang-ruang kepada saingan atau musuh politik UMNO berada di medan pencarian pengaruh dan kuasa. Pengundi mula menganggap ancaman dan amaran jika menjauhi dan meninggalkan UMNO.

Sebenarnya orang Melayu sudah banyak berubah, terutama kebergantungan kepada UMNO selepas DEB, yang seolah-olah sedikit demi sedikit meninggalkan badi sindrom bisu. Sebenarnya sergahan orang Melayu pengecut yang ditujukan kepada ahli UMNO sedang bergerak menafikannya  beriringan dengan peningkatan sokongan kepada saingan UMNO dalam beberapa siri pilihan raya terakhir. 

Penurunan peratusan sokongan UMNO serta peningkatan undi persaing UMNO seperti Pas dan PKR dalam dua pilihan raya terakhir sudah mempamirkan sindrom bisu di kalangan pengundi Melayu semakin berkurangan. Orang Melayu yang disertai dengan peningkatan peratusan pengundi muda sudah menunjukkan tuduhan atau anggapan mereka adalah pengecut dan berkepentingan diri semakin tidak relevan. Perubahan masa, peningkatan ketamadunan dan kematangan, membentuk persepsi baru sesuai dengan keperluan global




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan