Khamis, 22 Oktober 2015

Undi tak percaya

UNDI TIDAK PERCAYA UNTUK MERUNGKAI KRISIS KEYAKINAN

Usaha untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan DS Mohd Najib Tun Razak dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung di samping menjadi isu hangat semasa, lebih menarik menempa sejarah julung kali usul undi tak percaya dibawa ke sidang Parlimen.

Dalam sejarah perjalanan politik semenjak merdeka beberapa usul undi tidak percaya pernah di bawah ke dewan perundangan beberapa negeri demi mencerminkan hak dan tuntutan  demokrasi bila ketidakstabilan yang membawa kepada krisis keyakinan. Tambahan pula, kerajaan yang dibentuk menguasai kerajaan Persekutuan hari ini mewakili sokongan cuma 47% undi popular. Dengan kata lain, kerajaan yang dibentuk hasil sokongan minoriti. Kerajaan minoriti terdedah kepada cabaran bila-bila masa dari kumpulan yang mendapat sokongan majoriti rakyat.

Kerajaan Terenganu pimpinan Mohd Daud Abdul Samad dari Pas yang terbentuk dengan majoriti mudah. Pas yang membentuk kerajaan hasil kemenangan Pilihan Raya Umum 1959. Pas menguasai 13 kerusi DUN, sementara Perikatan dengan 7 kerusi (UMNO 6, MCA 1), dan Parti Negara dengan 4 kerusi, membentuk barisan pembangkang. 

Dalam parti Pas sudah wujud beberapa usaha dan ketidakpuashati terhadap kerajaan pimpinan Mohd Daud, yang kelihatan setelah 2 tahun pemerintahan, iaitu dalam tahun 1961. Apabila 2 orang ADUN Pas melompat ke Perikatan, menjadikan kerajaan Mohd Daud Samad kehilangan majoriti. Sultan meminta Menteri Besar meletak jawatan, tetapi Menteri Besar mengharapkan dapat menarik sokongan ADUN Parti Negara untuk mempertahankan kerajaannya. Cuma seorang ADUN Parti Negara sahaja berjaya ditarik.

Apabila 2 ADUN Pas melompat ke Perikatan diikuti 3 ADUN Parti Negara, maka pada 30/10/1961 satu usul undi tak percaya dibawa oleh wakil Perikatan. Usul yang mendapat sokongan majoriti dari wakil rakyat Perikatan bersama 5 ADUN melompat, turut disertai 2 lagi ADUN Pas, menjatuhkan kerajaan pimpinan Mohd Daud, membolehkan wakil Perikatan, Ibrahim Fikri Mohamad mengetuai pembentukan kerajaan baru.

Krisis politik Sarawak tahun 1966 amat menarik untuk dijadikan rujukan catatan undi tak percaya. Krisis dalam kepimpinan politik masyarakat Dayak membawa kepada kejatuhan kerajaan pertama selepas merdeka, di mana peranan dimainkan kepimpinan kaum itu sendiri untuk menyingkirkan seorang pemimpin Dayak. Krisis Sarawak ini lebih menampakkan persaingan kuasa antara parti.

Pada 16/06/1966, seramai 21 dari 42 Ahli Council Negeri (Dewan Undangan Negeri) menandatangi satu surat ketidakpercayaan (letter of no-confidence) terhadap Ketua Menteri, Stephent Kalong Ningkan dari SNAP (Sarawak National Party). Governor memecat Ningkan dan melantik Penghulu Tawi Sli dari PESAKA (Parti Anak Sarawak) sebagai Ketua Menteri. Perancang utama untuk menjatuhkan Ningkan adalah 4 orang pemimpin utama PESAKA. SNAP dan PESAKA adalah parti yang mewakili sokongan masyarakat Bumiputera bukan Islam. 

Ningkan membawa kes ini ke mahkamah atas dakwaan undi tak percaya yang lemah dan tidak berwibawa. Mahkamah Tinggi Borneo dalam sidangnya pada 07/09/1966 memihak kepada Ningkan. Ningkan kembali ke jawatan Ketua Menteri dari 27/07/1966 hingga 23/09/1966, bila undi tak percaya mendapat sokongan 25 ADUN dari PESAKA, BARJASA (Barisan Rakyat Jati Sarawak) dan PANAS (Parti Negara Sarawak), sementara 6 ADUN dari SNAP, 10 SUPP tidak hadir dan seorang ADUN Bebas pulau sidang. Kekalahan undi tak percaya ini, mengembalikan kerusi Ketua Menteri kepada Tawi Sli.

Dalang utama menjatuhkan dua kerajaan di atas adalah kepimpinan Kuala Lumpur. Pas musuh tradisi UMNO dan SNAP yang tidak sebulu dengan parti-parti pro Kuala Lumpur (sekarang Putrajaya). Dengan lain perkataan parti atau kepimpinan kerajaan negeri mesti yang sealiran dan seiringan dengan kerajaan Persekutuan, yang dikepalai oleh UMNO. 

Krisis antara pemimpin negeri dengan pusat, bukan sahaja melibatkan antara parti, DUN Selangor mempelopori adegan undi tak percaya lantaran krisis dalaman parti. Krisis ini disebut setengah pengulas bagaimana orang Melayu merancang menjatuhkan orang Melayu yang sama parti, sama ideologi dan sama roh perjuangan. Usaha untuk menjatuhkan Dato' Harun Idris, Menteri Besar Selangor, yang lebih menonjol sebagai pemimpin berpengaruh menerusi jawatannya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, telah  diselamatkan menerusi penyataan bersama semua ADUN Barisan Nasional pada 18/11/1975. Usaha untuk menyingkirkan beliau bermula setelah perlawanan tinju Muhamad Ali-Joe Bugner, 30/06/1975 yang membawa kerugian kepada Bank Rakyat selaku penganjur. Beliau dituduh berbagai tuduhan pecah amanah, membawa usaha memaksa beliau letak jawatan.

Kedudukan beliau mengepalai sayap kanan parti menjadi cabaran dalam saf kepimpinan parti, sebagai parti utama yang membentuk kerajaan Persekutuan. Persaingan kuasa dalam UMNO telah meletakkan Dato' Harun, watak yang mencabar, lebih-lebih lagi pengaruhnya di kalangan kepimpinan pelapis; pemuda. Kebetulan dengan kematian Yang Dipertua Agung (sekarang Presiden) UMNO dan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien pada 14/01/1976, menyerlahkan bertambah riuhnya gelanggang perebutan kuasa dalam UMNO. Usaha perlu diiktiarkan agar beberapa tokoh yang berpotensi dan mencabar perlu dimatikan atau dicantas. 

Perancangan ini membawa kepada pembentangan usul undi tidak percaya dibawa oleh Pemangku Menteri Besar, Hormat Rafie, dalam sidang DUN pada 26/03/1976. DUN Selangor mempunyai 31 ADUN Barisan Nasional dan 2 pembangkang. 25 ADUN BN menyokong, sementara 3 ADUN BN Onn Ismail (UMNO), Salmah Samsuddin (UMNO), Zakaria Yahya (UMNO) dan ADUN Bebas, Abdul Jabar Mohd Yusof berkecuali. Seorang ADUN BN, Haji Hamdan Haji Bakri (Pas) dan ADUN DAP, Fan Yew Teng tidak hadir. 

Hasil usul undi tak percaya, membolehkan Selangor memiliki Menteri Besar baru, Hormat Rafie. Kes-kes tuduhan terhadap beliau berterusan sehinggalah beliau dijatuhkan hukuman penjara pada 1/3/1977. 

Kelantan di zaman Barisan Nasional memerintah yang dikepalai oleh Pas, usaha Pas untuk menukar Menteri Besar mencetuskan perselisihan antara kepimpinan UMNO yang menguasai kerajaan Persekutuan dengan Pas yang menguasai kerajaan negeri. Menteri Besar, Dato' Muhammad Nassir mendapat sokongan UMNO, dalam usaha Pas untuk menaikkan Wan Ismail Haji Ibrahim, Timbalan Menteri Besar Kelantan ke jawatan Menteri Besar. Justeru Muhammad Nassir dituduh sebagai terlalu pro-kerajaan Persekutuan, satu usul undi tak percaya dibawa ke sidang DUN.

Pada 15/10/1977, DUN Kelantan yang mempunyai 36 ahli: 22 Pas, 13 UMNO dan 1 MCA meluluskan usul undi tak percaya terhadap Muhammad Nassir selaku Menteri Besar. 20 ADUN Pas menyokong, 2 ADUN Pas menentang, sementara 14 ADUN dari UMNO dan MCA memulaukan sidang. Bermula hari sama, berlakunya demonstrasi seluruh negeri sehinggalah Kelantan diistiharkan darurat pada 8/11/1977. Pengistiharan darurat ini berikutan usul Rang Undang-undang Darurat Kelantan 1977 diluluskan Dewan Rakyat setelah mendapat sokongan majoriti anggota Dewan, di mana 12 dari 14 Ahli Parlimen Pas bersama 6 dari DAP yang hadir menentang. 

Kes kehilangan kuasa memerintah Parti Bersatu Sabah (PBS) setelah cuma menguasai  25 kerusi berbanding BN sebanyak 23 kerusi, setelah selesai Pilihan Raya Negeri 1994 lebih berbentuk satu rampasan kuasa berbanding undi tak percaya. Menerusi perancangan yang mengatur beberapa ADUN PBS yang baru memenangi kerusi dalam PRN tersebut melompat parti, memaksa Ketua Menteri Joseph Pairin Kitingan mengaku kalah sebelum ADUN yang baru dipilih angkat sumpah. Satu perancangan yang cukup ligat dan pantas dari pemimpin Kuala Lumpur, membolehkan UMNO mula bertapak di tampuk kuasa di Negeri Di Bawah Bayu itu, demi menyingkirkan kepimpinan Kedazan. 

Kehilangan kuasa di negeri yang kukuh ekonomi, Perak, selepas Pilihan Raya Umum 2008 (PRU12), memaksa UMNO yang kehilangan jawatan Menteri Besar dan kuasa legislatif memain peranan dan berusaha merampas kuasa sebelum mandat cukup tempoh. Usaha ini berjaya setelah 3 ADUN yang membantu membentuk kerajaan Pakatan Rakyat, keluar parti dan melompat tempat duduk untuk bertindak sebagai ADUN Bebas "mesra BN". Tanpa usul undi tak percaya hanya sekadar pernyataan membentuk majoriti dari kelompok ADUN, membolehkan Pas hilang jawatan Menteri Besar, Pakatan Rakyat hilang kuasa, dan UMNO kembali menguasai kerajaan, dalam tempoh satu tahun sahaja. Kes Perak (2009) seiring dengan kes Sabah (1994) di mana kerajaan yang menguasai simple majority boleh bertukar tangan bila-bila masa.

Keseluruhannya  usaha menukar kerajaan sama ada dalam bentuk usul undi tak percaya atau dalam bentuk dokumen persetujuan dan keputusan perundangan Kerajaan Persekutuan dalam kes-kes Terengganu (1961), Sarawak (1966), Selangor (1976), Kelantan (1977), Sabah (1994) dan Perak (2009), memperlihatkan aktor utama adalah dari pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, Putrajaya atau dulunya Kuala Lumpur. 

Saranan Speaker Dewan Rakyat yang meminta ahli Dewan menyenaraikan ahli yang nak kepada usul undi tak percaya sebelum pihak beliau menerima untuk dijadikan usul bolehlah dibaca sebagai satu bentuk ugutan khususnya di kalangan ahli penyokong kerajaan. Walaupun ianya sebahagian dari peraturan legislatif, sebagaimana dalam kes Perak (2009) untuk memudahkan pertukaran kerajaan tanpa usul undi tak percaya. Dari segi rohnya ianya tidak mencerminkan kebebasan bersuara dan hak, rahsia siapa yang akan menyokong usul atau tidak sepatutnya serahsia kertas undi. 

Kiranya usul ini berjaya dibentangkan, sama ada mendapat sokongan atau tidak, melonjakkan satu dimensi baru pendemokrasian institusi  dewan perundangan itu sendiri. Dalam usia dewan yang sudah berusia 56 tahun, usul undi tak percaya terhadap peneraju pemerintahan akan mematangkan institusi dewan serta rakyat selaku khalayak yang membentuknya menerusi proses demokrasi kepilihanrayaan. Hak rakyat untuk bersuara menerusi constituency representatives sewajarnya diraikan di usia kematangan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita. 

Rakyat selaku pendokong dan pembentuk kerajaan amat menunggu apa-apa keputusan untuk memperkukuhkan serta kestabilan ekonomi dan politik, walaupun kerajaan yang dibentuk hari ini dipilih oleh minoriti 47% rakyat. Akurlah apa saja kemungkinan yang akan menimpa kerajaan hari ini dan terimalah hakikat BN yang membentuk kerajaan hari ini gagal perolehi majoriti undi popular. Isu-isu besar yang melingkari rakyat yang tergantung penyelesaian dan penjelasan: 1MDB, kejatuhan nilai ringgit, derma RM2.6 billion, menjadi antara faktor kukuh mengapa usul undi tidak percaya perlu dibawa ke sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung. 


 




 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan