Ahad, 8 November 2015

Ego DAP

KEEGOAN DAP MEMERLUKAN ORANG MELAYU BERMUHASABAH

Keegoan DAP semakin ketara selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) setelah lonjakan prestasi DAP yang tinggi berbanding parti-parti lain sama ada parti dalam Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Perubahan besar corak pengundian di kawasan bandar yang ditandingi calon-calon DAP, berbanding  peningkatan prestasi Barisan Nasional di kawasan luar bandar. 

Lantaran DAP sebagai parti terbesar selepas UMNO dari segi perwakilan di Parlimen, seolah-olah saingan utama sebagai parti terpengaruh adalah antara UMNO dan DAP. Ini memperlihatkan secara langsung perebutan kuasa di Malaysia lebih berkecenderungan berbentuk  politik berasaskan kaum. 

Sungguhpun kedua-dua parti, parti berbagai kaum tetapi asas dan labelnya lebih bersifat identiti kaum. UMNO yang tidak terbatas ahlinya kepada orang Melayu, tetapi masyarakat Thai di Kedah dan Perlis, masyarakat Orang Asal di Semenanjung, kaum Bumiputera bukan Islam di Sabah, rata-ratanya menjadi ahli UMNO. Malah ada yang jadi Ketua Bahagian, Ahli Dewan Negara, ADUN dan Ahli Dewan Rakyat. DAP pula lebih dikuasai oleh kelompok Cina sungguhpun ada sebilangan Ahli Dewan Rakyat dan ADUN terdiri dari orang Melayu dan India, lantaran ianya terbatas sebagai sebuah parti menguasai kawasan bandar. Kawasan bandar yang disinonimkan dengan sektor perniagaan dan perindustrian, yang didominasi oleh orang Cina. Kontradiksi UMNO dan DAP mewakili Melayu- Bukan Melayu, luar bandar-perbandaran, sektor tradisional- moden. 

PRU12 yang memulakan detik parti yang kuasai kerajaan Persekutuan gagal kuasai suara majoriti dua pertiga di Parlimen, diteruskan dalam PRU13, dengan sokongan kepada parti pemerintah terus berkurangan. PRU12, memberikan PKR menjadi parti pembangkang utama, memenangi kerusi terbanyak di Parlimen, 31 kerusi, diikuti DAP 28 kerusi dan Pas 23 kerusi. Ini membolehkan kerusi Ketua Pembangkang Parlimen, orang nombor tiga terpenting dalam sistem Parlimen perwakilan model Britain, selepas Yang Dipertuan Agong, dimiliki wakil dari PKR.  Dalam PRU13, DAP muncul sebagai parti pembangkang utama dengan 38 kerusi, berbanding PKR 30 kerusi dan Pas 21 kerusi. Secara langsung, PRU13 lebih menonjolkan prestasi DAP berbanding PKR dan Pas. Peningkatan undi kepada pembangkang yang menciptakan buat pertama kali, parti pemerintahan, BN gagal kuasai majoriti undi popular dengan kata lain BN membentuk kerajaan sebagai sebuah kerajaan minoriti, bila cuma disokong oleh 47% pengundi sahaja. 

PRU13 yang menampakkan ledakan dan alihan undi yang besar berlaku di kawasan bandar, dengan kata lain, peralihan undi masyarakat Cina memberikan peningkatan prestasi DAP berbanding parti-parti utama; UMNO, PKR dan Pas. Peranan DAP menguasai medan utama lanskap politik negara semakin terserlah selepas PRU13, di mana beberapa tindakan dan keputusan diambil lebih menampakkan usahanya  menjuarai dan mempengaruhi peranan pakatan pembangkang. 

Dalam isu hudud yang cuba bawa Pas ke Parlimen, DAP lebih lantang menentang berbanding sebelum PRU13. Jika sebelum PRU13, kepimpinan DAP hanya menyuarai isu hudud terhad kepada perbincangan dalaman, selepas PRU13 penyuaraan anti-hudud dinyatakan secara terbuka kepada masyarakat Melayu. Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam ceramahnya di Kota Bharu, yang dipenuhi pendengar Melayu,  memberikan pandangannya tidak perlunya pelaksanaan hudud hasil lawatannya ke Mesir dan Jordan. Secara langsung mengajar Pas, jangan buang masa dengan perjuangan pelaksanaan hudud.

DAP meminta Pas keluar Pakatan Rakyat, setelah usaha mendesak Pas merehatkan isu hudud. Kerajaan negeri Pulau Pinang memecatkan keanggotaan wakil Pas dalam majlis mesyuarat kerajaan tempatan dan badan-badan di bawah kerajaan negeri. Di samping itu, meminta Pas meninggalkan kerajaan Selangor. 

Menjelang Muktamar Agung Pas, Jun lepas, nampak sangat DAP main peranan mempengaruhi perwakilan Pas menjatuhkan Presiden Pas yang mempertahankan jawatan. Peranan DAP membuli Pas memberikan keputusan sebaliknya di mana undi simpati lebih memihak kepada undian untuk mempertahankan kepimpinan berbanding golongan pro-perubahan.

Terbaru, DAP mengambil keputusan akan meletakkan calon di 8 kawasan DUN Selangor dalam PRU14 yang dimenangi Pas dalam PRU13.   Seolah-olah, 8 kerusi berkenaan diberikan pinjaman kepada Pas untuk PRU13 lalu, akan diambil balik oleh DAP. 

Tindakan DAP yang menampilkan peranan penentu serta kepala pakatan pembangkang secara langsung usaha terancang menyingkir Pas. Penyingkiran Pas akan memudahkan DAP yang mengetuai pakatan pembangkang untuk berdepan BN yang dimonopoli oleh UMNO, setelah peranan MCA, MIC dan Gerakan semakin ditolak dan tidak diberi peranan oleh pengundi dalam dua PRU terakhir. Justeru UMNO yang bergelegak dengan krisis 1MDP dan isu derma RM2.6 juta serta kecelaruan kesan penyingkiran beberapa pemimpin utama parti serta penjawat awam utama, banyak membantu usaha DAP menjuarai isu. 

Penyingkiran Pas dari pakatan pembangkang serta krisis yang cuba disembunyikan UMNO, akan mendedahkan Pas sebagai kelompok ketiga, selepas pakatan pembangkang dan BN. Bila Pas berada di kelompok ketiga, secara langsung menjadikan Pas kurang dihormati pengundi lantaran saingan sebenar adalah antara DAP atau pakatan pembangkang dengan BN atau hakikinya UMNO. Dengan kedudukan 55% pengundi di Semenanjung adalah Melayu, 35% Cina dan 9% India, perpecahan undi Melayu kepada UMNO dan Pas, akan memberi advantage kepada DAP, yang akan disokong kelompok Cina dan India. 

Keegoan DAP cuba menjadi penentu dan juara pakatan pembangkang tidak harus diletakkan bebanan kepada pengundi Cina atau pengundi bandar. Orang Cina cuma 35% dari jumlah pengundi tidak sepatutnya dijadikan kuasa penentu. Kumpulan 55% iaitu pengundi Melayulah sepatutnya main peranan sebagai penentu kuasa. Selepas PRU12, memang berlaku perubahan sikap pengundi Cina, berbanding Melayu dan India, di mana ianya merupakan gambaran awal atau signal awal, ancaman besar kepada BN yang bertahan dan bergantung kepada pengundi "fixed deposit" di kawasan luar bandar. Hasilnya, tanpa undur dan teguh dengan istigamah, pengundi Cina menyerlahkan isu hatinya sebagaimana gambaran awal, orang Cina tolak BN dalam PRU13.  

DAP menjadi ego sepatutnya harus dipersalahkan kepada pengundi Melayu, yang membantu DAP menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang. Sepatutnya, pengundi Melayu meletakkan Pas dan PKR menguasai lebih banyak kerusi mengatasi DAP, untuk menjadikan DAP sebagai pak turut atau pengikut sahaja. Kegedilan pengundi Melayu yang berselindung dengan rasisme yang tebal dengan memejamkan mata terhadap kelemahan tatakelola, lemah intergriti, lemah ketelusan, mereka terus memberikan kemenangan kepada calon-calon BN dari UMNO. Sikap tertutup minda pengundi luar bandar, membiarkan DAP bergerak langkah memperlihatkan ketakburannya. 

BN mencanangkan kebimbangan calon DAP akan menjadi mengetuai kerajaan Persekutuan, andainya BN kalah. Tindakan susulan pengundi Melayu ialah tidak membiarkan terbentuk sebuah kerajaan yang diwakili oleh satu kaum sementara pakatan pembangkang oleh kaum lain. Situasi yang tidak harmoni ini akan memberi ancaman dalam perbagai aspek kehidupan. Justeru itu, kegagalan Pas mengatasi perwakilan DAP di Parlimen bolehlah disimpulkan sebagai sikap ambil mudah dan pemikiran kolot pengundi Melayu yang membantu menjadikan DAP lebih sombong dan arrogant.    

Ada pengundi Melayu mengakui kebobrokan dan masalah nasional kesan tindakan dan ketidaktelusan kerajaan pimpinan BN, tetapi terpaksa menyokong BN kerana budi ditabur sekian lama. Politik isi perut demi survival untuk hidup lebih diutamakan dari perjuangan jangkamasa panjang untuk kesejahteraan ummah. Egonya DAP dalam politik semasa tidak harus dipersalahkan kepada pengundi Cina atau pengundi bandar saja, tetapi semua pihak tanpa batasan sempadan sama-sama bertanggungjawab. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan