Khamis, 15 Oktober 2015

Berselindung dgn assobiyyah

PERLINDUNGAN ASSOBIYAH DEMI KEPENTINGAN KELOMPOK 

Sasaran berbagai pihak, dengan kemuncaknya Raja-raja Melayu agar isu 1MDB dirungkaian tanpa mengambil masa panjang mempamirkan keseriusan penyakit sosial yang kronik dalam negara berbilang keturunan, kepercayaan dan fahaman. Usia kemerdekaan yang sudah menjangkau 58 tahun menandakan jangkamasa berkenaan masih kekal dengan selaputan perkauman demi kepentingan diri dan kelompok.

Salah satu ciri dominan dalam politik Malaysia ialah ketaksuban perkauman menjadi ketentuan jangka hayat sama ada individu, organisasi atau kumpulan pendesak atau pressure groups. Sebarang salah laku diselindungkan dengan alasan perkauman. Ketaksuban perkauman diutamakan hingga menenggelamkan salah urus, kepincangan dan kebajatan yang membawa kepada kejatuhan moral politik dan sosial masyarakat. Seseorang individu yang ditonjolkan dengan amalan korup, penyelewengan, tak beramanah dan berbagai nilai immoral, cuba dibersihkan dan dibela demi menjaga maruah kelompok, puak dan kaum. 

Membiarkan nilai-nilai yang mengurangkan moraliti puak atau kaum, menghambat perjuangan mewujudkan sebuah masyarakat yang adil, bermoral dan bertamadun. Perjuangan menegakkan keadilan, berakhlak dan berperaturan dianggap sebagai satu perjuangan mengkhianati terhadap bangsa atau kaum sendiri. Tindakan mengecam dan memburuk-burukkan individu khususnya pemimpin politik yang jelas melakukan perbuatan tak bermoral, dianggap  mencabar kaum sendiri. 

Janganlah hendaknya kelaziman dan budaya tidak mengkritik pemimpin sama keturunan berlarutan yang boleh menjadi paras ukuran untuk meletakkan apa yang patut dan apa yang tidak patut dilakukan. Ungkapan dan kata-kata pimpinan, sama ada yang masih di puncak kuasa atau sudah berundur; biarkan si polan melakukan salah urus tadbir, pecah amanah, bersikap pilih kasih dan tatakelola yang buruk, kerana si polan sebangsa, seketurunan dengan kita. 

Jika nilai assobiyah ini menjadi asas pegangan setiap kelompok, puak atau kaum dalam masyarakat berbilang kaum dan asal keturunan sebagaimana negara kita, bagaimana masyarakat antarabangsa hendak menghormati kita di pentas antarabangsa. Nilai penghormatan yang boleh mencetuskan kelembaban kemasukan pelaburan asing, teknologi serta sumber manusia, untuk mengiringi pertumbuhan ekonomi. 

Tidak sewajarnya kepentingan diri dan keluarga dijadikan asas menolak teguran atau desakan mana-mana pihak yang berniat baik untuk masyarakat dan negara. Amat tidak patut meletakkan teguran atau saranan sebagai cabaran yang mesti dipertahankan. Saranan Majlis Raja-raja dalam isu 1MDB haruslah disambut sebagai satu tanggungjawab fadhu kipayah demi kesejahteraan ummah, serta ke arah menepati keperluan tatakelola yang jitu, good governance dan keadilan sosial. 

Di bahagian akhir Surah Al An'am, ayat 152, firma Allah yang bermaksud; maka hendaklah kamu berlaku adil sekalipun dia adalah kerabat(mu), dan tunaikanlah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat. Mufassirin mentafsirkan mengatakan yang sebenarnya meskipun merugikan kaum kerabat sendiri dan menjadi tanggungjawab setiap insan untuk penuhi segala perintah Allah. 

Rumusan dari AGM Pemuda MCA serta usul dibawanya dalam AGM MCA Pusat dua hari lepas, tidaklah seharusnya ditafsir dan diterjahkan sebagai lebih bersifat perkauman. Ianya tidak harus diinterpretasikan sebagai memperlekeh keupayaan individu yang berlainan keturunan. Apa yang penting ialah mendengar dan mengumpul semua teguran, saranan dan kritikan walaupun dari musuh politik, demi masa depan negara dan generasi mendatang. Politik berasaskan aqal, ilmu dan kejujuran tanpa diselaputi kotoran perkauman, sewajarnya dijadikan lembangan ke arah pembinaan jati diri dan identiti bangsa Malaysia. 

Bacaan dari hasil dua pilihan raya umum (PRU) terakhir menampakkan, rakyat menghormati perjuangan untuk persamaan hak, keadilan untuk semua, tadbir urus yang baik yang menjadi tuntutan memenuhi realiti politik baru, disesuaikan dengan kehendak global. Pergantungan atau berselindung dengan label perkauman, sudah mula ditolak sebagaimana dalam dua PRU tersebut.  

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan