Isnin, 5 Oktober 2015

Melayu Singapura mencari identiti

MELAYU SINGAPURA MENCARI IDENTITI DALAM MASYARAKAT METROPOLIS

Pembentukan Kabinet Republik Singapura yang diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, 28/09/2015 memberikan justifikasi kedudukan dan peranan orang Melayu sebagai kaum minoriti dalam sebuah masyarakat kota moden. Sedikit sebanyak ianya mengajak kita melihat dan merenung sepintas lalu kedudukan orang Melayu serta taraf sosio-ekonomi  mereka dalam struktur sosio-politik di republik itu.

Kabinet baru ini cuma ada sedikit perubahan iaitu tambahan seorang lagi menteri, menjadikan jumlah 20 orang ahli. PAP wajarnya menambahkan anggota kabinet berasaskan: 1. Penambahan 2 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum tempoh hari, pindaan Perlembagaan Singapura, 2. Prestasi PAP yang lebih baik berbanding dengan pilihan raya umum 2011. Namun begitu, perubahan ini tidak memberi apa-apa kepada kumpulan minoriti: Melayu, India dan lain-lain yang mewakili 25% penduduk republik itu. 

Kabinet ini; 14 dari etnik Cina, 4 India dan 2 Melayu, mengekalkan perwakilan kaum minoriti. Dalam rombakan kabinet, Mac 2015, iaitu 6 bulan sebelum pilihan raya umum, dinaik pangkat seorang Ahli Parlimen dari etnik Melayu dari menteri negara kanan (senior minister of state) kepada menteri penuh. Perlantikan ini adalah buat pertama kalinya, 2 orang Melayu menduduki jawatan menteri dalam satu masa. Perlantikan ini sebagai satu pengiktirafan peranan ahli politik Melayu, memberikan sokongan dari orang Melayu sebagai sebahagian peningkatan sokongan dan pencapaian PAP dalam pilihan raya umum bulan lepas. 

Sejak merdeka, zaman Othman Wook mewakili orang Melayu dalam kabinet Singapura, perwakilan India lebih menonjol dalam kabinet bermula zaman S. Rajaratnam yang dipertanggungjawabkan dengan jawatan kanan, Menteri Luar, kemudiannya Timbalan Perdana Menteri. Jawatan Timbalan Perdana Menteri mewakili kaum minoriti adalah milik etnik India sejak merdeka. Othman Wook sebagai orang Melayu pertama sebagai menteri selepas merdeka, cuma diberi tugasan tidak begitu penting, Menteri Hal-Ehwal Sosial. Di samping Abdul Rahim Ishak dan Haji Yaacob Mohamad sebagai menteri negara.

Dalam kabinet terbaru, Thaman Shammuganathan, dilantik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Koordinasi Dasar Ekonomi dan Sosial. Dr V. Balakrishnam dan K. Shammugam, kedua-dua memegang porfolio kanan: hal ehwal luar negeri dan dalam negeri. Sementara 2 wakil Melayu; Dr Yaacob Ibrahim dan Masagos Zulkifli sekadar memegang jawatan menteri; komunikasi dan penerangan, dan alam sekitar dan sumber air. 

Dari lapan menteri negara kanan (senior minister of state); 6 Cina, masing-masing seorang India dan Melayu. Dr Maliki Osman adalah Menteri Negara Kanan di Kementerian Pertahanan. Menteri kanan adalah setaraf dengan timbalan menteri di Malaysia. 

Kabinet ini dibantu oleh 6 menteri negara, terdiri dari 5 Cina dan seorang India, dan seramai 4 orang setiausaha parlimen: 2 Cina 2 Melayu. Amrin Amin, Setiausaha Parlimen di Kementerian Dalam Negeri, sementara Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim, Setiausaha Parlimen, Kementerian Pelajaran, juga di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Keseluruhannya peranan wakil rakyat Melayu agak tertinggal berbanding dengan rakan sejawat mereka dari etnik India, berdasarkan kepada jumlah keseluruhan bilangan menteri, menteri negara dan setiausaha parlimen. Dari sudut tanggungjawab yang diberikan untuk anggota kabinet, jawatan dalam kelompok kementerian utama atau power elites lebih memihak kepada berketurunan India, di samping keturunan Cina sebagai golongan majoriti. Penduduk Melayu yang merupakan kelompok minoriti terbesar iaitu 15 peratus penduduk, berada di belakang mereka yang berketurunan India, yang merupakan 10% penduduk. 

Penguasaan tugasan pentadbiran negara menggambarkan orang Melayu diberi peruntukan sekadar memenuhi nisbah kependudukan. Apakah lantaran, ahli politik dari etnik India lebih menonjol, meletakkan mereka mampu menandingi ahli politik keturunan Cina yang menguasai kelompok majoriti penduduk. Ketokohan Rajaratnam serta C.V. Devan Nair di pihak kerajaan dan J.B. Jayeretnam mewakili pembangkang utama dalam sejarah moden Singapura, meletakkan peranan dan dominasi politik Singapura lebih dikuasai oleh keturunan India berbanding orang Melayu. 

Peranan dan ketokohan perwatakan Melayu dalam politik Singapura lebih menonjol sebelum Singapura merdeka. Ketokohan Abdul Hamid Jumat dan Ahmad Haji Tatt berjaya menyaingi tokoh-tokoh dari kaum majoriti. 

Selepas kemerdekaan Singapura, peranan etnik Melayu lebih terkebelakang dari etnik India dalam bidang kuasa dan politik. Orang Melayu lesu , kurang bermaya dan kurang mencabar dalam mengiringi kepesatan pembangunan dan pemodenan struktur sosial dan ekonomi. Orang Melayu cuma dominan dalam dunia yang tidak membantu peningkatan kemajuan kaumnya sendiri, dalam bidang sukan dan hiburan. 

Dalam saingan final bola sepak Piala FA tahun 2015 yang dimenangi Singapura menerusi pasukan Lions X1 setelah mengalahkan Kelantan. Pemain dari etnik Melayu lebih ramai dalam pasukan republik itu berbanding Kelantan, yang dikenali lubuk Melayu di Malaysia.  9 dari kesebelasan utama pasukan Lions X1 adalah Melayu, sedangkan Melayu cuma 15% penduduk republik itu. Itu belum dilihat dari dunia hiburan; nyanyian dan perfileman, bidang yang diboloti oleh etnik Melayu sejak Singapura belum merdeka lagi.

Dengan mendominasi bidang-bidang tertentu sudah cukup untuk meletakkan etnik Melayu Singapura mampu bersaing dengan kaum lain. Sekadar menguasai bidang kurang prestij, belum cukup untuk menyaingi bangsa lain sebagai etnik minoriti. Atau pun orang Melayu sedang mencari identiti diri sebagai bangsa minoriti dalam kepesatan hidup di sebuah kota kosmopolitan. Apakah orang Melayu Singapura adalah komuniti atau rakyat kelas tiga di sebuah negara yang diasaskan datuk nenek mereka sendiri, bila pembolotan jawatan kekuasaan diketengahkan untuk umum menilai dan membuat sebuah justifikasi.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan