Khamis, 8 Oktober 2015

Raja-raja Melayu dan 1MDB

1MDB: SARANAN RAJA-RAJA MELAYU KEMUNCAK  KEPEDULIAN RAKYAT

Saranan Raja-raja Melayu sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita, BERNAMA, semalam, bolehlah disifatkan sebagai kemuncak deretan kritikan dan kebimbangan berbagai pihak sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang. Isu 1MDB secara langsung mendedahkan lakonan sebenar ketidakjujuran serta kepuraan-puraan ragaman manusia bila berada di kemuncak kuasa. Isu ini bukan sekadar penampilan kebimbangan semua pihak prestasi ekonomi yang menjadi teras dalam kehidupan. Tetapi yang pentingnya, satu gambaran negatif tentang polarisasi perkauman.

Sungguhpun isu-isu intergriti, penyalahgunaan kuasa, kebobrokan pengurusan ekonomi, amanah dalam mengurus harta awam dan kos kehidupan yang tak menentu, diketengahkan berbagai pihak, tetapi faktor mengenai kedaulatan bangsa tidak harus dikesampingkan. 

Raja-raja Melayu selaku payung rakyat yang bertanggungjawab akan roh fardhu kifayah, amat bimbang dengan isu 1MDB yang masih berlarutan, akan memberikan kegelisahan dan kegusaran  di kalangan rakyat selaku pembayar cukai yang setia. Saranan Raja-raja Melayu agar isu ini diselesaikan serta ditangani sebaik mungkin, berasaskan kepada elemen-elemen ekonomi seperti kejatuhan nilai ringgit, peningkatan harga barangan keperluan, bebanan kos kehidupan kesan GST, pemberhentian pekerja dalam skala besar terutamanya sektor industri dan peningkatan kadar pengangguran khususnya di kalangan graduan. 

Justeru kuasa politik lebih didahulukan, kebathilan ekonomi dikemudiankan, dibimbangi akan meningkatkan krisis keyakinan serta persepsi negatif rakyat kepada kerajaan, yang dikuasai oleh orang Melayu, walaupun kerajaan dibentuk atas asas perpaduan kaum dan wilayah. 

Teraju pemerintahan negara diketuai oleh Raja Melayu, dengan kuasa eksekutif dikuasai oleh kepimpinan Melayu, secara langsung isu 1MDB dibimbangi akan meletakkan kesalahan di bahu insan Melayu. Rendahnya nilai ketelusan, tatakelola dan intergriti dalam mengurus sebuah kerajaan sehingga isu dan pekong 1MDB berlanjutan tanpa penyelesaian, akan merencatkan serta mengaburi nilai pengurusan dan pentadbiran yang dikuasai insan Melayu.

Amatlah tepat masa dan tindakan Raja-raja Melayu mengambil inisiatif demi kelangsungan hubungan harmoni antara pemerintah dengan rakyat, di samping memperkukuhkan institusi yang meletakkan insan Melayu di puncak. Tanggapan yang kabur dan keyakinan yang tipis bukan saja dari rakyat tetapi juga dari pelabur serta masyarakat antarabangsa dapat dipinggirkan seandainya pihak pemerintah hari ini dapat menyelesaikan isu ini bersama isu derma RM2.6 billion, dengan telus, berani, berisiko dan bertanggungjawab. 

Projek "memperbodohkan rakyat" menerusi berbagai program berbentuk propaganda palsu menerusi media arus perdana dan himpunan massa di lapangan, lebih menjurus kepada penyuburan elemen rasis. Propaganda yang mengajak khalayak massa bimbang, takut serta berwaspada, tidak lain menjurus kepada usaha memecahkan rakyat  kepada kepuakan perkauman. Usaha dilakukan untuk mempertebalkan rasisme demi memperkukuhkan gerakan politik kuasa yang bertungjangkan perkauman. Hinggakan isu besar, 1MDB, cuba dihilangkan dari carta intergriti dan perjuangan ke arah tatakelola dan pentadbiran yang bertanggungjawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan