Jumaat, 28 November 2014

Persempadanan semula 9: sambungan 2

MERAIKAN SUARA RAKYAT MENERUSI PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA

(bahagian 3)

Dalam tempoh antara PRU selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya dengan PRU terakhir iaitu 9 tahun (PRU11 hingga PRU13), negeri Selangor menghasilkan pertambahan pemilih yang paling tinggi iaitu 44.36%. Pengundi di Selangor meningkat dari 1,421,274 orang dalam PRU11 (PRU 2004) kepada 2,051,708 orang dalam PRU13 (PRU 2013), peningkatan seramai 630,434 pemilih. 

Perubahan atau kadar peningkatan bilangan pemilih di Selangor ada kaitan dengan strategi politik kepilihanrayaan. Kedua-dua pihak berkepentingan; BN sebagai pembangkang dan Pakatan Rakyat yang mempertahankan kerajaan, main peranan kerja keras dalam pendaftaran pemilih dalam tempoh 2008-2013. 

Dalam tempoh 2008-2013 tersebut, berlaku pertambahan seramai 483,215 pemilih atau peningkatan 30.8%. Sebaliknya dalam tempoh, zaman BN jadi kerajaan, selepas PRU11 (PRU 2004) sehingga PRU12, pertambahan pengundi di Selangor cuma 147,219 orang atau 10.35% sahaja. 

Usaha keras memastikan pemilih yang diyakini menyokong parti, meningkatkan pendaftaran pemilih berlipat kali ganda. Di samping itu, tindakan susulan mempastikan pendaftaran pemilih yang bersih dan telus, menjadikan pendaftaran pemilih sebagai salah satu agenda utama mana dalam kerja-kerja jentera pilihan raya parti, yang berlangsung sepanjang masa dalam tempoh tersebut. Kesungguhan BN untuk merampas balik kuasa yang hilang dalam PRU12 memberikan reaksi positif Pakatan Rakyat untuk mempertahankan kuasa. Tanpa berlakunya bantahan ke atas pendaftaran pemilih; pendaftaran baru, pendaftaran tukar alamat dan pemotongan pendaftaran kerana pemilih pindah tempat mengundi, memungkinkan peratusan peningkatan pemilih akan lebih tinggi lagi. 

Berasaskan senario jumlah pemilih mengikut kawasan di Selangor semasa, memerlukan pertambahan bilangan kawasan pilihan raya Parlimen. Terdapat 10 kawasan dari jumlah 22 kerusi Parlimen di Selangor, mempunyai lebih 100,000 pemilih dalam PRU13. 

Kawasan Parlimen Sabak Bernam dengan pemilih 37,000 pemilih, Sungai Besar 42,000 pemilih dan Tanjong Karang dengan 42,400 pemilih. Peningkatan pengundi di sini adalah rendah dalam tempoh 2004-2013; Sabak Bernam; 21.45%, Sungai Besar; 38.46% dan Tanjong Karang; 18.41%. Sewajarnya, 3 kawasan ini perlu disempadankan semula untuk membentuk 2 kawasan Parlimen sahaja, dengan jumlah pengundi sekitar 65,000 orang, setara dengan purata bilangan pemilih di Semenanjung. Dari segi keluasan kawasan serta kemudahan fizikal, kawasan-kawasan ini jauh lebih baik berbanding Hulu Terengganu yang mempunyai 63,000 pemilih.

Kawasan-kawasan Parlimen berjiran; Hulu Langat, Serdang dan Puchong, yang mempunyai lebih 100,000 pengundi dengan peningkatan jumlah pemilih yang tinggi dalam tempoh 9 tahun terakhir; Hulu Langat; 59.42%, Serdang; 69.64% dan Puchong; 79.47%, perlu disempadankan semula untuk dibentuk satu kawasan Parlimen baru. 

Kawasan Parlimen Gombak (123,000 pemilih) dan Selayang (100,000 pemilih) wajar disempadankan untuk mewujudkan satu kerusi Parlimen baru. Sementara 4 kawasan Parlimen yang berjiran dan miliki pengundi tinggi; Subang (128,000 pemilih), Shah Alam (100,000), Kapar (144,000) dan Kota Raja (105,000) disempadankan semula untuk ditambah 2 kerusi Parlimen baru. Tambahan pula, dalam tempoh selepas persempadanan terkahir (2003) dengan jumlah pemilih dalam PRU13, peningkatan pemilih yang sangat tinggi khususnya di Subang dengan 87.20% dan Kota Raja; 81.58%. 

Tambahan 4 kerusi Parlimen dan pengurangan satu kerusi Parlimen, akan membentuk pertambahan 3 kerusi Parlimen di Selangor, dari 22 kerusi semasa. Tambahan ini wajar, dengan peningkatan peratusan pemilih yang paling tinggi berbanding purata nasional.  

Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pertambahan pengundi bagi tempoh 2004-2008, cuma 18.26 peratus sahaja. Perkembangan ini lebih rendah berbanding Sarawak. Dengan 11 kerusi Parlimen semasa, adalah wajar dikekalkan kerana semua kawasan mempunyai jumlah pemilih yang agak seimbang serta jeda yang kecil. 

Pertambahan pemilih di Negeri Sembilan dalam tempoh 9 tahun adalah 29.60%, hampir menyamai purata pertambahan pengundi di Semenanjung. Kawasan pilihan raya P128 Seremban yang mempunyai bilangan pengundi melebihi 100,000 orang perlu sebahagiannya dipindahkan ke P129 Kuala Pilah yang mempunyai 47,000 pemilih sahaja, untuk mewujudkan keseimbangan bilangan pemilih. Kadar pertambahan pemilih di kawasan Parlimen Kuala Pilah, hanya 10.87% sahaja dalam tempoh 2004-2013. 

Dengan perkembangan mendatar dari sudut pertambahan dan taburan pemilih kawasan-kawasan pilihan raya Parlimen, bilangan jumlah 8 kerusi Parlimen semasa di Negeri Sembilan sudah cukup dan sesuai dikekalkan.

Bagi negeri Melaka, kadar pertumbuhan pengundi dalam tempoh 2004-2013, hanya 27.16%, lebih rendah dari peratusan kenaikan angka pemilih di Semenanjung. Keseluruhannya kadar pertembahan pengundi di Melaka adalah rendah, kecuali di P137 Bukit Katil. Jumlah pemilih bagi P137 pun agak tinggi, hampir 100,000 orang. Bagi Melaka, persempadanan semula untuk mengseimbangankan taburan pemilih serta bebanan tanggungjawab wakil rakyat, maka bilangan 6 kerusi Parlimen perlu dikekalkan dengan perubahan sempadan kawasan pilihan raya. Pengekalan 6 kerusi Parlimen di Melaka, walaupun purata pengundi di setiap kawasan adalah 73,000 orang, lebih tinggi dari purata Semenanjung, wajar memandangkan saiz kawasan serta kemudahan infrastruktur yang lebih baik berbanding negeri lain.

 Bagi negeri Johor, jumlah 26 kerusi Parlimen terkini, sudah cukup, tetapi persempadanan semula perlu di beberapa kawasan. Peratus pertambahan pemilih yang sederhana di Johor, 28.61%, menyamai purata kadar pertumbuhan pemilih 2004-2013 bagi keseluruhan negeri di Semenanjung. 

Kawasan pilihan raya Parlimen Kota Tinggi (42,000 pemilih) dan Pengerang (38,000 pemilih) perlu dicantum untuk mewujudkan satu kawasan pilihan raya sahaja. Kadar pertumbuhan pemilih di Kota Tinggi adalah 26.0%, manakala kadarnya cuma 23.0% di Pengerang, 2004-2013. Bilangan pemilih yang kecil serta kadar pertambahan yang kecil, sepatutnya menjadi asas pembentukan sesuatu kawasan pilihan raya.

Kawasan Parlimen Simpang Renggam (40,000 pengundi), Keluang (82,000) dan Sembrong (42,000 pemilih) sewajarnya disempadankan semula dan wajar menjadi 2 kawasan pilihan raya Parlimen sahaja. Dalam tempoh 9 tahun, selepas persempadanan terakhir, jumlah pengundi di P151 Simpang Renggam cuma meningkat sebanyak 17.46% sahaja. Jumlah pemilih di kerusi Simpang Renggam menyamai jumlah pemilih kerusi-kerusi DUN di bahagian selatan Johor. 

Kawasan-kawasan yang memiliki bilangan pengundi melebihi 100,000 orang serta kadar peningkatan yang besar, perlu disempadankan semula untuk membentukan tambahan kerusi Parlimen baru. Kawasan pilihan raya Parlimen Tebrau (90,000 pemilih) dan Pasir Gudang (100,000 pemilih) dengan kadar peningkatan pemilih sebanyak 72.10% di Tebrau dan 65.31% di Pasir Gudang dalam tempoh 2004-2013. Bilangan pemilih serta kadar perubahan yang besar ini, menjadi alasan kukuh satu kawasan pilihan raya Parlimen baru perlu diwujudkan hasil persempadanan semula.

Bagi kerusi Parlimen Gelang Patah (106,000 pemilih), Kulai (84,000) dan Pulai (100,000) perlu disempadankan semula untuk mewujudkan kawasan pilihan raya Parlimen keempat di kawasan berkenaan. Kadar pertumbuhan bilangan pemilih yang tinggi; 52.6% di Gelang Patah, 35.33% di Kulai dan 37.46% di Pulai dalam tempoh 9 tahun tersebut, menguatkan hujjah perlunya penambahan kerusi Parlimen di sini.

Kesimpulannya bagi Johor, perlu pengurangan 2 kerusi dan ditambah 2 kerusi, mengekalkan 26 kerusi Parlimen sedia ada. 

Keseluruhannya bagi Semenanjung, wajarlah penambahan 10 kerusi baru Parlimen; Kedah (2), Kelantan (2), Terengganu (3) dan Selangor (3). Andaian ini berasaskan kepada perkara basic dalam demokrasi iaitu wakil rakyat untuk  mewakili suara rakyat. Di samping itu, berasaskan kepada tanpa sentimen dan kepentingan mana-mana parti sama ada pemerintah di Persekutuan mahupun di negeri.

bersambung

 



 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan