Rabu, 19 November 2014

Persempadanan semula 9: raikan suara rakyat

MERAIKAN SUARA RAKYAT MENERUSI PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA 

(bahagian i)

Kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijangka akan diwartakan hujung tahun ini, yang jauh lari dari amalan biasa. Selepas diwartakan akan dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan, dalam tempoh tidak lewat dua tahun. Sepatutnya, dibentang di Parlimen dalam tahun 2011, iaitu lapan tahun selepas persempadanan terkahir, 2003. PRU13 lepas, pilihan raya berjalan tanpa menggunakan persempadanan baru, sebagaimana lazimnya selepas dua kali PRU, PRU baru gunakan sempadan baru. 

Justeru tempoh masa yang panjang untuk melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya buat kali ke lima selepas pembentukan Parlimen pertama (1959), membuka banyak ruang berbagai pihak menonjolkan idea, analisis dan kritikan. Empat persempadanan lepas mencantumkan hasilnya dalam satu agenda iaitu demi memperkukuhkan kuasa parti pemerintah. Agenda ini memberi kesan positif kepada prestasi parti pemerintahan dalam PRU berikutnya. 

Persempadanan semula kawasan pilihan raya di negara kita beragendakan menambah kawasan atau kerusi di dewan perundangan sama ada Parlimen atau kerusi negeri. Amalan mempersempadankan semula berasaskan perubahan struktur kependudukan dan penempatan tanpa menambah bilangan kerusi dewan perundangan, amat asing dalam kajian persempadanan di negara kita. 

Memenuhi desakan dan tuntutan politik baru, pemikiran politik berasaskan ketelusan, keterbukaan dan persamaan peluang, agenda persempadanan semula kawasan pilihan di negara kita tidak seharusnya beragendakan keberuntungan pihak tertentu. Oleh kerana, badan yang menguruskan kajian dan kerja-kerja persempadanan terletak di bawah pentadbiran "the government of today", maka kerja-kerja muslihat politik tak dapat disembunyikan.

Pertumbuhan pengundi dari PRU pertama selepas persempadanan 2003 iatu PRU11 (PRU 2004) dengan PRU terakhir iaitu PRU13 (PRU 2013), sewajarnya menjadi asas persempadanan semula. Jumlah pengundi dalam PRU11 ialah 10,285,521(angka rasmi dari Penyata Pilihan Raya 2004), sementara dalam PRU13 ialah 13,258,568 orang (kiraan manual peribadi dari keputusan PRU13 dari media cetak tempatan). Pertambahan seramai 2,972,997 pemilih atau peningkatan 28.90 peratus. Angka 28.90 peratus iaitu peratus purata pertambahan pemilih nasional ini, harus dijadikan asas persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dalam persempadanan semula 2003, 4 buah negeri telah dinafikan oleh SPR untuk menambahkan kerusi dewan perundangan iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, iaitu negeri-negeri majoriti pengundi Melayu. Di negeri-negeri tersebut tidak ditambah kerusi Parlimen dan kerusi dewan Undangan Negeri (kecuali ada tambahan dua kerusi negeri untuk Kelantan), yang dilaksanakan oleh SPR ialah menyusun semula persempadanan. Kerja-kerja SPR ini mengwujudkan ketidakseimbangan pemilih mengikut kawasan berbanding pola jumlah pemilih sebelum persempadanan. Hasilnya, yang dapat manfaat ialah parti-parti BN, sebagai hasil dari prestasi buruk BN dalam PRU10 (PRU 1999) di kawasan-kawasan majoriti Melayu.

Hasil persempadanan 2003, purata pemilih bagi kerusi Parlimen di Kedah, Kelantan dan Terengganu, adalah tinggi. Purata pemilih kerusi Parlimen dalam PRU13 bagi Semenanjung ialah 67,800 orang. Purata bagi kerusi-kerusi Parlimen di Kedah ialah 69,400, Kelantan; 65,700 dan Terengganu; 79,500 orang. Sebagai negeri majoriti Melayu , angka ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan purata nasional bagi keseluruhan negeri di Semenanjung. Di samping itu, negeri-negeri majoriti Melayu adalah meliputi kawasan luar bandar yang mana pastinya wajaran pengundi bagi kawasan luar bandar mesti di bawah purata nasional. 

Secara perbandingan, Pahang yang merangkumi kawasan luar bandar sifatnya, purata pemilih setiap kawasan Parlimen ialah 52,600 pemilih. Pulau Pinang dengan sebahagian besar kawasan pilihan rayanya bersifat bandar dan separuh bandar, tetapi purata 65,000 orang sahaja, dengan cuma 34.10 peratus sahaja pengundi Melayu.

Dengan purata pemilih dalam PRU13, 69,400 pemilih bagi negeri Kedah, melebihi purata Semenanjung, sepatutnya ditambah 2 kerusi Parlimen lagi, di samping tidak ditambah dalam persempadanan 2003 kerana majoriti pengundi Kedah adalah Melayu (76.40 peratus). 

Di Kedah, dalam tempoh 9 tahun (2004-2013), pemilihnya bertambah sebanyak 26.68 peratus atau 219,265 orang, walaupun di bawah purata pertumbuhan nasional (28.90%), relatifnya tinggi atas sifatnya kawasan luar bandar tetapi bilangan pengundi yang tinggi melepasi purata nasional. Kawasan Parlimen Pokok Sena (80,000 pemilih), Alor Star (69,000), Kuala Kedah (95,000), Pendang (70,000) atau Jerai (74,000), sebahagian kawasan tersebut boleh membentuk satu kawasan pilihan raya baru. Semua kerusi ini adalah majoriti pengundi Melayu, kecuali Alor Star dengan 61.24% pengundi Melayu, kerusi lain mempunyai pengundi Melayu melebihi 78%.

Anehnya, Alor Star, kawasan bandar lebih kecil bilangan pemilih banding dengan kawasan luar bandar yang didiami pengundi Melayu. Munasabah satu kawasan Parlimen baru, bersifat kawasan separa bandar. 

Di bahagian selatan Kedah, kerusi Parlimen Merbok (86,000 pemilih), Sungai Petani (93,000), Baling (93,000), Padang Serai (74,000) perlukan dipersempadankan semula untuk membolehkan satu kawasan Parlimen baru dapat dibentuk, untuk mengimbangi purata pemilih di Kedah dan nasional. Di samping itu, dalam tempoh 9 tahun, peningkatan pemilih yang tinggi di Merbok (48.30%), Sungai Petani (31.38%) dan Padang Serai (37.80%), kesan perubahan fizikal kependudukan dan pembangunan. Kerusi Baling mempunyai 88.74% pengundi Melayu, perlu diperkecilkan bilangan pengundinya untuk dicantumkan membentuk satu kawasan pilihan raya baru. Merbok juga kawasan majoriti Melayu, 64.53%, sementara Sungai Petani dan Padang Serai adalah kawasan campuran, dengan pengundi Melayunya; 58.84% dan 55.50%. 

Kedah yang mempunyai 15 kerusi Parlimen semasa perlu tambahan 2 kerusi Parlimen berasaskan wajaran bandar-luar bandar, purata jumlah pengundi dan peratusan peningkatan jumlah pemilih.

Perlis tidak terlibat dengan persempadanan 2003. Purata pemilih setiap kawasan Parlimen di Perlis ialah 45,700 orang dengan pertambahan 22.11% pengundi dalam tempoh 2004-2013. Tiga kerusi Parlimen di Perlis sekarang sudah cukup dan sesuai dengan wajaran kawasan luar bandar. 

Kelantan menghasilkan peningkatan pemilih seramai 257,711 orang atau 38.59% dari 662,722 dalam PRU11 kepada 920,433 dalam PRU13. Peratusan peningkatan pemilih yang agak besar di Kelantan, memerlukan pertambahan kerusi Parlimen. Walaupun purata pengundi di kawasan Parlimen di Kelantan, 65,700 orang, di bawah purata 67,800 bagi Semenanjung, atas faktor wajaran kawasan luar bandar dan mundur, purata tersebut memerlukan pertambahan kawasan pilihan raya Parlimen. 

Parlimen Tumpat memiliki kepadatan pengundi yang tinggi dalam PRU13; 99,000 pemilih kesan peningkatan 39.57% dalam tempoh 9 tahun, bersama Pasir Mas dengan 72,000 pengundi, meningkat sebanyak 36.67%, adalah kawasan luar bandar yang mempunyai jumlah pengundi dan peratusan pertambahan, mengatasi angka Semenanjung. Catuman sebahagian kawasan pilihan raya semasa bagi Tumpat dan Pasir Mas, mampu mewujudkan sebuah kerusi Parlimen baru. 

Kerusi Parlimen Bachok dengan 81,000 pengundi dan Parlimen Pasir Puteh; 76,000 pengundi boleh dipecahkan untuk membentuk sebuah kawasan pilihan raya Parlimen yang baru. Lantaran kedua-dua kawasan Parlimen luar bandar ini memperlihatkan peningkatan peratusan pemilih yang tinggi; 47.25% dan 33.34%. Sementara Parlimen Kota Bharu yang mengandungi seramai 81,000 pemilih dalam PRU13 sewajarnya sesuai dengan latar belakang kawasan bandar dan separa bandar, walaupun pengundinya meningkat 32.58% lebih tinggi dari purata peratusan nasional. 

Keseluruhannya kawasan-kawasan pilihan raya di Kelantan mencatat peningkatan peratusan pemilih yang tinggi dalam tempoh antara PRU pertama selepas persempadanan terakhir dengan PRU terakhir(2004-2013), serta sengaja tidak terlibat dalam persempadanan terakhir (kecuali kerusi negeri), kawasan pilihan raya di Kelantan sepatutnya ditambah 2 kerusi Parlimen baru. 

Satu lagi negeri yang tidak terlibat dengan persempadanan terakhir ialah Terengganu. Malah persempadanan sebelumnya pun (1993), tidak dilibatkan Terengganu. Angka pemilih dalam tahun lepas (2013), purata pemilih setiap kawasan pilihan raya Parlimen di Terengganu adalah paling tinggi, 79,500 orang. Seolah-olah satu gambaran, Terengganu adalah kawasan bandar dan separa bandar. Di samping itu, peningkatan pengundi di Terengganu adalah amat tinggi, 39.50%, kedua selepas Selangor (44.36%). 

Lima kerusi Parlimen di Terengganu; Kuala Nerus (76,000 pemilih), Kuala Terengganu (94,000), Marang (90,000), Dungun (78,000) dan Kemaman (92,000), perlu disempadankan semula yang boleh mewujudkan tambahan 3 kerusi Parlimen baru Dengan itu, setiap kawasan Parlimen di Terengganu mempunyai antara 53,000 hingga 55,000 pemilih, munasabah sebagai kawasan luar bandar. 

bersambung



Tiada ulasan:

Catat Ulasan