Selasa, 4 November 2014

Persempadanan semula 8: alasan dangkal

SPR USAH TAKUT PERSEMPADANAN SEMULA  

Kenyataan kepada media Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) TS Abdul Aziz Mohd Yusof, dua hari lepas menjawab soalan keganjilan kerja-kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya yang lazimnya setiap 8 tahun, sejak 40 tahun lalu. SPR menjangka akan mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dun penghujung tahun ini. 

Salah satu tugasan utama SPR ialah menjalankan persempadan kawasan pilihan raya, paling cepat setelah 8 tahun, selepas kajian terdahulu, sebagaimana diperuntukan oleh Seksyen 8, Jadual ke 13 Perlembagaan Persekutuan. Peraturan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan, serta Akta Pilihan Raya bersama mekanisme pelaksaan tidaklah dipersoalkan kerana ianya tugasan eksekutif SPR. 

Persoalan orang ramai ialah kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan peringkat nasional terdahulu tidak lari dari peruntukan Perlembagaan. Justeru itu, terbina skima kerja seragam dalam 4 persempadanan yang lepas. Maksudnya selepas kita mencapai kemerdekaan, kecuali persempadanan bagi negeri Sarawak yang terasing dari kerja atau jadual induk SPR. Setiap 10 tahun dibentangkan di dewan legislatif serta diwartakan persempadanan kawasan iaitu 1973, 1983, 1992 dan 2003, di mana kerja-kerja ke arah persempadanan bermula 8 tahun selepas pewartakaan persempadanan terdahulu. 

Kerja-kerja untuk persempadanan nasional yang kelima sepatutnya dilaksanakan dalam tahun 2011, iaitu sekurang-kurangnya 8 tahun selepas persempadanan yang terakhir, 2003. SPR memberi alasan penangguhan ini berlaku kerana SPR takut bertembung dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13. Anihnya, mengapa takut bertembung dengan PRU, sedangkan persempadanan sebelum ini menjelang PRU yang menyusulinya.

PRU3 yang diadakan dalam tahun 1969, walaupun Parlimen digantung untuk tempoh lebih setahun, tempoh PRU4 sepatutnya dalam tahun 1975, tetapi diadakan dalam tahun 1974. Apakah pada masa itu, SPR sudah menjangka PRU4 akan diadakan dalam tahun 1974, dan memaksa SPR melaksanakan persempadanan kawasan pilihan raya dalam tahun 1973, di mana tambahan 10 kawasan pilihan raya baru untuk kerusi Parlimen adalah memecah dan mempersempadankan kawasan majoriti Melayu atau bertujuan menambah perwakilan Melayu di samping mengagih kerusi untuk komponen Perikatan/Barisan Nasional. 

Kawasan Parlimen Kuala Krai dan Parlimen Machang adalah sebahagian dari kawasan Parlimen Ulu Kelantan dan Parlimen Tanah Merah. Kawasan Parlimen Ulu Nerus adalah cantuman pecahan kawasan Parlimen Kuala Terengganu Utara (kemudiannya Kuala Nerus) dan Parlimen Besut.  Kawasan Parlimen Seberang Prai Tengah yang diwakili UMNO dipecahkan untuk membentuk Parlimen Bukit Mertajam dan Parlimen Permatang Pauh. Kerusi Bukit Mertajam diberi kepada MCA dan Permatang Pauh untuk UMNO.

Selepas kejayaan lawatan Tun Abdul Razak ke China, bertemu Pengerusi Mao, merintis hubungan diplomatik dengan negara itu serta kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dalam tahun 1974, memberikan advantage serta keyakinan BN mengadakan PRU pertama selepas Peristiwa 13 Mei. Pertemuan Tun Razak dengan Pengerusi Mao memberi impaks besar menarik pengundi Cina menyokong BN, sementara kejayaan Persidangan OIC menaikkan imej BN di kalangan masyarakat Melayu dan Islam. Apakah persempadanan kawasan 1973 bersama 2 peristiwa besar itu sebagai agenda terancang bagi BN menghadapi PRU4. 

Sungguhpun persempadanan perlu diadakan sebagaimana peruntukan Perlembagaan, kerana perubahan fizikal kawasan, perubahan kependudukan, perubahan kemudahan prasarana di samping menambahbaik pengurusan pendaftaran pemilih dan urusan pilihan raya, tetapi faktor political mileage kepada pemegang kuasa lebih diutamakan. Pencapaian terburuk dialami Perikatan dalam PRU3, memberi ruang menggunakan SPR untuk mengukuhkan kuasa legislatif.  Kemerosotan sokongan bukan Melayu kepada Perikatan, memberi peluang untuk memperbanyakkan kawasan pilihanraya majoriti Melayu.

Trend yang sama diterjemahkan dalam persempadanan 1983 dan 1992, untuk memperkukuhkan Barisan Nasional yang dikepalai UMNO menghadapi PRU selepas persempadanan semula. Pengiraan undi di pusat pengundi atau mengikut daerah mengundi, bermula PRU8 (PRU 1990) memudahkan kerja-kerja membentuk kawasan pilihanraya yang boleh memberi jaminan berpihak kepada BN. Menyusun dan mengkelompokkan daerah mengundi berasaskan pencapaian parti-parti tertentu, bagi memberi ruang potensi parti pemerintah menang, mengakibatkan ketidakseimbangan bilangan pengundi, bentuk peta kawasan pilihanraya yang lucu di samping memecahkan kawasan pentadbiran. 

Persempadanan terakhir iaitu dilaksanakan dalam tahun 2003, nampak sangat agendanya berasaskan keputusan PRU terakhir, iaitu PRU10 (PRU 1999) yang menyaksikan hambatan keluar pengundi Melayu dari BN. Kemenangan BN di Semenanjung banyak bergantung kepada pengundi bukan Melayu. Persempadanan 2003 menumpukkan kepada pembentukan kawasan-kawasan pilihanraya campuran dengan mengabaikan kawasan majoriti Melayu, menyebabkan tidak berlaku pertambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu; Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. 

Adakah persempadanan tidak diadakan dalam tahun 2011, sebagaimana kelazimannya setiap paling kurang 8 tahun, kerana kesibukan untuk hadapi PRU13. Jikalau atas rasional bimbang bertembung dengan persiapan PRU, apa beza dengan 3 persempadanan dulu. PRU11 (PRU 2004) boleh diadakan dalam tahun 2003, iaitu tahun keempat selepas PRU terakhir sebagaimana PRU lain sebelum itu. PRU8 (1990) adalah tahun keempat selepas PRU7 (1986). Jarak antara PRU5 (1978) dengan PRU6 (1982) 3 tahun 8 bulan sahaja. 

Perkara pokok mengapa persempadanan tidak diadakan 2011, mungkin kejutan hasil PRU12 (PRU 2008), menghasilkan pencapaian terburuk parti pemerintah. Tumpuan utama SPR adalah menjalankan kerja-kerja teknikal berganda mempastikan BN terus mempertahankan kuasa. Antara kerja utama teknikal ialah pendaftaran pemilih. Mekanisme strategik ini menjadi benteng terakhir BN untuk menandingi pihak lawan, lantaran sejak akhir-akhir ini sangat menyerlah kerja-kerja SPR yang diragui ketelusan, intergriti dan keterbukaan. 

Oleh kerana hasil PRU13 tahun lepas, pencapaian BN berterusan merosot, tidaklah sepatutnya SPR mencari berbagai alasan memperlambatkan mewartakan notis Kajian Semula Persempadanan. 

Sewajarnya SPR bertindak dan menjalankan tangungjawab sebagai sebuah badan profesional berasaskan Perlembagaan serta asas demokrasi amalan kita iaitu sistem perwakilan. Sistem perwakilan sepatutnya menggambarkan suara majoriti menguasai demokrasi diterjemahkan undi popular seiring dengan nisbah perwakilan. Amat malang bagi sebuah sistem demokrasi kuasa 48 peratus menguasai keseluruhan sistem. Justeru itu, taburan pemilih berimbangan mengikut kawasan tanpa prejudis atas rasisme, akan dapat memenuhi hakikat tuntutan demokrasi " satu orang satu suara". 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan