Selasa, 9 Disember 2014

Persempadanan semula 9: sambungan 3

MERAIKAN SUARA RAKYAT MENERUSI PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA

(bahagian 4)

Dewan Undangan Negeri Sarawak telah melulus rang undang-undang untuk menambah jumlah anggotanya dari 71 orang kepada 82 orang, dalam sidangnya pada 01/12/2014. Ini bermakna kerja-kerja persempadanan semula kawasan pilihan raya akan bermula. 

Pertambahan 9 kerusi negeri, sekurang-kurangnya memerlukan permbentukan 3 kerusi Parlimen di Sarawak. Kawasan pilihan raya yang sedia ada, 9 kawasan Parlimen terdiri dari 3 kawasan DUN bagi setiap kerusi Parlimen, dan baki 22 kawasan, 1 Parlimen 2 DUN.

Dalam tempoh 9 tahun iaitu antara PRU11 (PRU 2004) iaitu PRU pertama selepas persempadanan nasional terakhir dengan PRU13, PRU terakhir sebelum persempadanan baru, peningkatan pemilih di Sarawak adalah sangat rendah iaitu 19.65% sahaja.  Jika Sarawak yang mempunyai kadar peningkatan pemilih yang rendah, diberi peruntukan tambahan kerusi pilihan raya, akan membolehkan negeri-negeri lain yang lebih pesat dari segi pertumbuhan kependudukan dan fizikal berhak perolehi lebih banyak kerusi dewan perundangan. 

Secara perbandingannya, tanpa perhitungan demi kepentingan parti pemerintahan, negeri Sarawak tidak sewajarnya ditambahkan kerusi. Seiring dengan itu, persempadanan kawasan sahaja perlu dilakukan demi pertumbuhan pembangunan sosial dan ekonomi. 

Lantaran kegagalan dua parti baru, serpihan komponen BN Sarawak; Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) dan United People's Party (UPP), untuk menyertai BN. Kedua-dua parti ditentang oleh parti asal mereka; SPDP dan SUPP. Jika dua parti tersebut berjaya sertai BN, bermakna BN Sarawak akan dianggotai oleh 6 parti. Awal-awal lagi spekulasi disebut, persempadanan di Sarawak demi pengagihan kerusi anggota komponen. Dengan 4 parti komponen BN Sarawak kini, sewajarnya tiada tambahan kerusi kerana kadar pertumbuhan pengundi yang rendah di negeri itu.

Di Sabah, dalam tempoh 9 tahun, 2004-2013,  jumlah pemilih bertambah seramai 23.88%. Berlaku pertambahan seramai 189,362 pemilih dalam tempoh tersebut, dari 792,943 (PRU11) ke 982,311 (PRU13). Perkembangan jumlah pemilih di Sabah adalah sederhana, di bawah purata nasional 28.90%. 

Sabah diberikan pertambahan kerusi sama ada Parlimen atau negeri yang paling tinggi dalam persempadanan nasional 2003 iaitu pertambahan kerusi 25%. Tak pernah berlaku dalam sejarah persempadanan kawasan pilihan raya di negara kita.  Kerusi Parlimen bertambah dari 20 ke 25, dan kerusi negeri dari 48 ke 60. Secara perbandingannya, pertambahan kerusi yang paling tinggi dalam persempadanan di Semenanjung ialah 14% iaitu dari 145 kerusi ke 166 kerusi dalam persempadanan 2003.

Dengan cuma purata 39,000 pemilih bagi setiap kawasan pilihan raya Parlimen serta peratus peningkatan yang sederhana, sewajarnya tidak perlu sebarang pertambahan kerusi baru untuk Parlimen atau negeri di Sabah. Peruntukan besar diberikan untuk Sabah dalam persempadanan 2003, menafikan perlu pertambahan kerusi baru atau tambahan.

Berbanding dengan Kelantan yang disebutkan sebagai negeri paling miskin di Malaysia kepada penduduk Sabah menjelang PRU13, amat tidak patut kerusi pilihan raya ditambah di Sabah. Purata pemilih di Kelantan ialah 65,700 orang dalam PRU13, jauh lebih tinggi berbanding 39,000 orang di Sabah. Di Semenanjung, purata pemilih setiap kerusi Parlimen ialah 67,800 orang. Andainya berlaku tambahan kerusi Parlimen di Sabah, sepatutnya tambahan yang lebih berganda untuk Kelantan, kiranya alasan penambahan kawasan pilihan raya berasaskan tahap kesukaran dan pembangunan sosio-ekonomi. 

Kesimpulannya, persempadanan kawasan pilihan raya perlu disegerakan selepas melepasi had minima 8 tahun selepas persempadanan terakhir, yang sepatutnya bermula dalam tahun 2011 dan sudah boleh digunakan dalam PRU13 lalu. Janganlah ekoran kemerosotan undi BN dalam PRU12 dan PRU13 serta kemerosotan sokongan pengundi bukan Melayu, memberikan SPR mengambil masa yang panjang dan berdolak-dalih. Janganlah pula kesukaran membentuk lebih banyak kawasan majoriti Melayu memberi masalah mewujudkan taburan pengundi berimbangan, menjadi halangan percepatan proses pelaksanaan persempadanan semula.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan