Sabtu, 22 November 2014

Persempadanan semula 9: sambungan 1

MERAIKAN SUARA RAKYAT MENERUSI PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHAN RAYA

(Bahagian ii)

Empat negeri kebetulan negeri majoriti pengundi Melayu tidak terlibat dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen terakhir, kecuali Perlis perlu ditambahkan kawasan pilihan raya Parlimen. Pertambahan kerusi bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu meningkatkan kerusi majoriti Melayu dan luar bandar sifatnya. 

Pertembahan kerusi di tiga negeri tersebut iaitu pertambahan 2 kerusi di Kedah, 2 untuk Kelantan dan 3 untuk Terengganu setara dengan purata pengundi kawasan luar bandar di Semenanjung, ikut angka pemilih dalam PRU13. Dengan pertambahan ini menjadikan purata pemilihi setiap kawasan Parlimen di Kedah ialah 61,200 pemilih, sementara Kelantan ialah 57,500 pemilih dan Terengganu; 57,800 orang. Angka ini setara dengan purata pemilih di Perak (58,700 pemilih) dan Pahang (52,600 pemilih) dalam PRU13. Apatah lagi Perak yang lebih terkedepan dari sudut pembangunan fizikal serta pertumbuhan ekonomi, dan antara negeri paling maju di Malaysia, tetapi kadar peningkatan pemilih lebih rendah berbanding peratusan peningkatan pemilih nasional.

Kewajaran tambahan 7 kerusi Parlimen di kawasan penguasaan pengundi Melayu tersebut mampu dilaksanakan untuk BN menanggung talian hayat, sebagaimana dakwaan undi BN dalam PRU13 bergantung kepada undi dari kawasan luar bandar, relatifnya sokongan masyarakat pemilih Melayu. Dalam PRU13, BN menguasai 50.58% undi keseluruhan bagi kawasan Parlimen di Kedah, 51.43% di Terengganu dan 46.26% di Kelantan (dengan andaian undi calon bebas di P022, Pasir Mas adalah sebenarnya undi penyokong BN). 

Pertambahan 7 kerusi Parlimen ini, memberi sedikit nafas lega kepada UMNO/BN menghadapi PRU14, atas andaian UMNO sebuah parti kampungan.  Sebelum kemerosotan berlanjutan, lebih baik strategi awal diatur. Di Terengganu, sokongan kepada BN adalah 56.46% dalam PRU11, 55.11% dalam PRU12, terus merosot kepada 51.43% dalam PRU13. Apa nasib BN di Terengganu, tanpa pertambahan kerusi dalam persempadanan semula yang sepatutnya sudah bermula.

Di Pulau Pinang, purata pemilih kerusi Parlimen ialah 65,200 orang. Lebih rendah dari purata pemilih bagi setiap kawasan pilihan raya Parlimen di Semenanjung. Kesemua 13 bahagian pilihan raya Parlimen di Pulau Pinang adalah bersifat bandar dan separa bandar.  Hanya 4 kawasan sahaja yang mengandungi majoriti pengundi Melayu. 

Trend sokongan pemilih kepada BN merosot setiap kali PRU selepas persempadanan terakhir. Undi BN bagi kerusi Parlimen di Pulai Pinang ialah 56.85% dalam PRU11, turun ke 38.72% dalam PRU12 dan turun lagi ke 31.65% dalam PRU13. Di samping itu, pengundi di Pulau Pinang hanya bertambah sebanyak 26.12% sahaja dalam tempoh 9 tahun.

Rasionalnya jumlah kerusi Parlimen di Pulau Pinang sudah cukup, malah boleh dikurangkan kerana beberapa kawasan tidak mewakili wajaran pengundi bandar. Kerusi Parlimen Tanjung cuma mengandungi 51,000 pengundi sahaja, jauh lebih rendah berbanding kawasan luar bandar seperti Baling atau Tumpat.

Komposisi pengundi di Perak, tidak mewakili dan tidak setara  dengan taraf sosio-ekonomi serta antara negeri termaju di Malaysia. Purata pemilih 58,700 bagi kawasan pilihan raya Parlimen dan peningkatan pengundi paling rendah di Semenanjung, iaitu 20.44% (2004-2013), meletakkan jumlah 24 kerusi Parlimen adalah memadai dan sudah cukup. Tambahan pula, walaupun BN menguasai kerajaan negeri Perak, tetapi sokongan kepada BN cuma 44.91% sahaja. Atas sifat sebuah kerajaan yang tidak popular, menghalang Perak mendapat tambahan kerusi perundangan.

Pahang yang memberi sumbangan besar pengekalan kuasa BN, bila mencatat negeri ketiga sokongan kepada BN paling tinggi. BN menguasai 55.18% undian bagi kerusi Parlimen. Purata pemilih bagi kerusi Parlimen di negeri Pahang ialah 52,600 orang. Pertambahan pengundi di Pahang dalam tempoh 9 tahun adalah sederhana, 29.36%. Justeru Pahang, rata-rata kawasan pilihan raya adalah bersifat luar bandar, angka terebut adalah wajar. 

Anehnya kawasan pilihan P085 Pekan mempunyai pengundi seramai 80,300 pengundi dengan pertambahan sebanyak 52.58% dari PRU11 hingga PRU13. Kadar pertambahan pengundi serta jumlah pemilih bagi P085 tidak menggambarkan sifat fizikal kawasan ini yang bercirikan luar bandar; penempatan penerokaan rancangan tanah, kampung Melayu tradisional serta penempatan orang asli. 

Jumlah pemilih P085 tak seimbang dan setara dengan kawasan yang berjiran P084 Paya Besar, dengan 48,000 pengundi dan P086 Maran dengan 38,000 pengundi. Sewajarnya sebahagian kawasan pilihan raya P085 dimasukkan ke P084 dan P086, sebagaimana daerah mengundi asal yang diubah dalam persempadanan 2003. Sepatutnya agenda politik dikesampingkan demi muwujudkan ketelusan dalam kerja-kerja persempadanan kawasan pilihan raya.

bersambung









.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan