Jumaat, 7 November 2014

Pak Sako

KENANGAN BUAT PAK SAKO

Hari ini, 7hb November, Allahyarham Dr Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako meninggalkan kita, 23 tahun lalu, 07/11/1991, pada usia 72 tahun. 

Ishak tokoh yang menguasai dua bidang: politik dan kesusasteraan, tokoh yang tidak asing mewarnai sejarah tanah air kita. Latar belakang beliau amat menarik, mempamirkan perwatakan, jatidiri dan keikhlasan seorang pejuang. 

Dalam catatan perjalanan hidup, Ishak yang dilahirkan dalam tahun 1919,  dalam kalangan tapak perjuangan menentang kolonialisme iaitu daerah Temerloh, menampakkan anti-kolonialisme di awal usianya. Seorang pelajar cemerlang, dapat pangkat pertama peperiksaan Senior Cambridge, satu tahap pencapaian pendidikan yang istimewa dan tinggi pada zamannya. Setaraf dengan kelulusannya, beliau dilantik sebagai majisterit. Beliau melihat jawatan ini, memisahkannya dengan masyarakat terbanyak, rakyat awam. Meletakkan beliau di satu kelas, kelas yang memisahkan antara penindas dengan yang tertindas. Justeru itu, beliau meninggalkan jawatan prestif berkenaan.

Semasa saya di penghujung persekolahan rendah, media utama masa itu memunculkan nama beliau bersama beberapa tokoh politik leftist sebagai perancang komplot ganyang Malaysia, ditahan di bawah undang-undang ISA.  Saat itu, saya mengenali Ishak lebih dekat, sebelum itu saya telah membaca beberapa hasil penulisan beliau dalam bentuk buku cerita atau novel. Zaman penjajahan, pernah merengkok dalam tahanan British.

Dalam politik beliau adalah Pengerusi Partai Buruh Malaya dan Pengerusi Socialist Front (gabungan Partai Buruh dan Partai Rakyat), sehinggalah Partai Buruh diharamkan dalam tahun 1967. 

Saya mengkagumi perjalanan hidup dan falsafah hidup beliau setelah membaca teks bicara tokoh semasa beliau dianugerahkan ijazah Doktor Persuratan, dari Univerisiti Kebangsaan Malaysia, 1973. Teks ini disiarkan dalam akhbar Berita Harian. Ucapan beliau banyak menyindir birokrasi dan kepimpinan Melayu yang tidak mempertahankan jatidiri bangsa dan serta ketamadunan bangsa. 

Kehebatan beliau adalah hidup sebagai manusia biasa tanpa limpahan kemewahan dan pangkat, walaupun memulakan kerjaya dengan jawatan berprestif. Sungguhpun tidak nampak kejayaan di bidang politik, mesej dan perjuangan menerusi dunia persuratan, sehingga diiktirafkan dengan penganugerahan ijazah kehormat Doktor Persuratan.

Alfatihah, semoga berkat perjuangan dan pengorbanannya, rohnya ditempatkan di kalangan para syuhada dan salihin. 

1 ulasan:

  1. Semasa remaja saya pernah bersama Allahyarham berebut-rebut menaiki bas Foh Hup di stesen bas pudu.... 197Oan. Hentian Puduraya baru nak dimulakan pembinaannya. Saya menganggumi beliau kerana sentiasa bersama rakyat biasa. Jika saya berkereta ketika itu akan saya heret beliau masuk kereta Toyota Corolla 1.2 untuk dihantar kerumahnya di Ulu Langat. Saya merinduinya, al fatihah.

    BalasPadam