Selasa, 30 September 2014

Pengkalan Kubor 6: senario PR

PRK PENGKALAN KUBOR MENGANALISIS SENARIO PAKATAN RAKYAT

Keputusan PRK N.01 Pengkalan Kubor Khamis lepas,  yang memberikan kemenangan kepada calon UMNO/BN semenangnya sudah diduga,  yang menarik perhatian ialah peningkatan peratusan majoriti yang lebih besar. Majoriti sebanyak 2,625 undi atau 15.15 peratus berbanding 1,736 undi atau 9.28 peratus dalam PRU13. Kemenangan UMNO/BN sememangnya diduga berasaskan senario pilihan raya kecil (PRK) melibatkan kawasan luar bandar sama ada di Semenanjung atau di Sabah dan Sarawak. 

Satu faktor yang perlu diberi perhatian ialah faktor peratusan keluar mengundi. Peratusan keluar mengundi yang rendah 73.25 peratus, lebih rendah dari peratusan 79.00 peratus dalam PRU13, tidak menghalang usaha BN meningkatkan pungutan undi serta saiz majoriti kemenangan. Lazimnya, peratusan keluar mengundi yang rendah akan mengurangkan pencapaian calon BN dalam mana-mana PRK. Biasanya dalam mana-mana PRK, bila selesai pengundian, SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi yang tinggi, melebihi 80 peratus, sudah dapat dibayangkan prestasi undi BN yang meningkat; menang dengan majoriti yang meningkat atau kalah dengan majoriti yang mengecil berbanding dengan PRU terakhir.

Dalam tempoh lima hari selesai PRK berkenaan, berbagai ulasan, komentar dan tafsiran diutarakan berbagai pihak. Namun ulasan pergerakan undi parti-parti yang bertanding mengikut daerah mengundi tidak diberi keutamaan. Pemerhatian secara lebih fokus kepada daerah mengundi sepatutnya dijadikan salah satu sudut pandangan yang menarik dalam penganalisisan gelagat, ragam dan sikap membina keputusan politik, kerana pengundi di Pengkalan Kubor memiliki latar belakang yang berbeza mengikut penempatan penduduk. 

Perbezaan lokasi yang dipengaruhi oleh latar belakang sosio-budaya serta ekonomi membentuk keragaman pola pengundian. Pakatan Rakyat yang diwakili PKR dalam PRU13 dan Pas dalam PRK tempoh hari lebih menguasai kawasan pinggiran pantai serta kawasan mempunyai infrasuktur pendidikan keagamaan. Dalam PRK, undi Pas mewakili Pakatan Rakyat kali ini merosot dengan kadar yang tinggi di kawasan ini. 

Undi Pas di daerah mengundi Kg Ketil, berkurangan sebanyak 103 undi dari 1115 undi dalam PRU13 kepada 1012 undi, atau dari 52.59 peratus kepada 49.93 peratus. Di daerah mengundi Kg Tebing, menurun dari 668 undi kepada 609 undi atau dari 57.05 peratus (PRU13) kepada 54.82 peratus. Kehilangan 59 undi popular. Kubu Pas paling kuat, daerah mengundi, daerah mengundi Kg Geting, undi Pas merosot sebanyak 213 undi, dari 1540 undi (60.75%) kepada 1327 undi (56.56%). 

Di daerah mengundi Kedai Geting, undi Pas menurun dari 742 undi atau 58.80% kepada 671 undi atau 55.78 peratus dari jumlah undi sah dalam PRK. Di daerah mengundi Tujoh, Pas kehilangan 158 undi dari 1129 undi dalam PRU13 atau 49.91% kepada 971 undi atau 47.32 peratus sahaja. Kelima-lima daerah mengundi berkenaan mengandungi peratusan pengundi Melayu/Islam yang sangat tinggi, melebihi 99 peratus, kecuali Kg Ketil, 98.75 peratus.

Satu-satunya daerah mengundi di pedalaman, berlatar belakangkan masyarakat penanam padi, yang mempunyai pengaruh Pas yang tinggi, Telaga Bata, juga mengalami kemerosotan undi Pas yang besar. Undi Pas berkurangan sebanyak 140 undi berbanding undi Pakatan Rakyat menerusi PKR dalam PRU13. Dari 747 undi atau 52.35% dari jumlah undi sah, kepada 607 undi atau 45.67%.

Undi popular bahagian pilihan raya negeri dalam PRU13, dari 6 daerah mengundi di mana undi Pakatan Rakyat melebihi 49 peratus ini berjumlah 5,941  undi, menurun sebanyak 744 undi kepada 5,197 undi. Penurunan sebanyak 12.52 peratus memberi sumbangan yang besar kepada melebarkan kekalahan Pas dalam PRK ini. 

Undi dipungut calon Pas dalam PRK adalah merosot di semua 12 daerah mengundi, menjumlah Pas kekurangan 1112 undi atau kejatuhan 13.17 peratus. Ini memperlihatkan prestasi Pas di  daerah mengundi yang menjadi kubu BN: Pengkalan Kubor, Jubakar Darat, Bendang Pak Yong, Telok Jering, Simpangan dan Bunohan, cuma ada sedikit yang mempengaruhi pencapaian Pas secara keseluruhan. Pengundi Melayu/Islam di daerah mengundi Jubakar Darat cuma 0.80 peratus sahaja, sementara di bawah 90 peratus di Pengkalan Kubor (85.59%), Telok Jaring (85.87%) dan Simpangan (84.07%). Kecuali Pengkalan Kubor, semua daerah mengundi kubu BN adalah kawasan pedalaman berlatar belakangan masyarakat tani.

BN mengekalkan perolehan peratusan yang tinggi, 90.30% undi di daerah mengundi Jubakar Darat yang mengandungi 990 pengundi bukan Melayu dari jumlah 998 pemilih berdaftar.

Analisis mengikut daerah mengundi lebih menampakkan perbezaan kecenderungan sokongan kepada parti yang bertanding. Pas bergantung kepada undi di kawasan pantai, kawasan yang padat kependudukan, di mana dari 6 daerah mengundi di sini, Pas perolehi 69.15% undinya dalam PRK lepas, berbanding dengan PRU13 menerusi PKR sebanyak 67.56%. Sungguhpun peratus keluar mengundi yang menurun turun mengurangkan undian untuk Pas, pergantungan undi Pas bertumpu ke kawasan berkenaan. 

Komposisi pengundi dari segi kaum dan kegiatan ekonomi juga menggambarkan sokongan kepada parti. Di daerah mengundi Pengkalan Kubor, yang mempunyai seramai 262 pengundi bukan Melayu/Islam atau 14.40% dari jumlah 2513 pemilih, undi yang dipungut oleh calon Pas cuma 31.54% sahaja, dan dalam PRU13, PKR perolehi 32.54% undi sah. Sementara prestasi undian Pas menguasai lebih separuh undian sah di 5 daerah mengundi kawasan berkenaan secara  purata.

Di kawasan pedalaman iaitu 6 daerah mengundi, BN menguasai 67.50% dari jumlah undi sah dalam PRK, iaitu 4,669 undi dari jumlah 6,917 undi sah. Berbanding dengan pencapaian BN dalam PRU13, undi BN adalah 4755 undi atau 64.56% dari jumlah 7365 undi sah di 6 daerah mengundi tersebut. Perolehan undian tersebut adalah 46.87% dari jumlah undi BN dalam PRK, dengan sedikit peningkatan dari 46.74% dalam PRU13. Sungguhpun undian BN besar di kawasan berkenaan, namun perolehan undi yang lebih tinggi di kawasan pantai membantu BN meningkatkan majoriti kemenangan dalam PRK, walaupun peratus keluar mengundi yang menurun.

Peratus keluar mengundi yang lebih rendah berbanding dengan peratusan mengundi dalam PRU13, menyaksikan perolehan undi Pas menurun di semua saluran pengundian. Sebaliknya BN berjaya menambahkan undi di 4 daerah mengundi; Kg Ketil, Telaga Bata, Kedai Geting dan Simpangan. Peratusan undi Pas dari jumlah undi sah juga merosot di semua daerah mengundi, sebaliknya peratusan undi BN meningkat di semua daerah mengundi.

Bagi Pas dan Pakatan Rakyat, PRK ini bukan  faktor pengundi luar yang tak pulang mengundi tetapi pengaruh serta gerakkerja jentera parti yang gagal  merentasi batasan ras, latar sosio-ekonomi dan taburan penempatan. Tanpa penglibatan kepimpinan PKR dan DAP jelas menjejaskan momentun Pakatan Rakyat yang berbeza dengan PRK Galas dan Manek Urai. Pemimpin-pemimpin besar PKR dan DAP libat sama dalam kempen dan perarakan calon di Galas dan Manek Urai dulu. Di Manek Urai, peratusan pengundi bukan Melayu amat kecil berbanding dengan Pengkalan Kubor. 


 

 

 

 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan