Isnin, 15 September 2014

Pengkalan Kubor 4: faktor tempatan lebih dominan

SEJAUHMANA ISU TEMPATAN  MENDOMINASI KEPUTUSAN PEMILIH

Bacaan awal penguasaan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01 dapat diperhatikan pada hari penamaan calon pada 13/09/14 tempoh hari. Berbanding dengan PRK Galas (2010) dan Manek Urai (2009), yang menyaksikan calon Pas mempertahankan kerusi, menguasai  hari penamaan calon, berdasarkan kepada kehadiran penyokong serta penyertaan pucuk kepimpinan parti serta parti sahabat. Keramaian penyokong Pas mengatasi BN di hari penamaan calon, sebagai penanda aras awal, menjadi taruhan serta harapan tinggi untuk mempertahankan kerusi serta persediaan memberi saingan sengit kepada pihak lawan.

Senario di hari penamaan calon PRK Pengkalan Kubor, sungguhpun calon Pas sebagai pencabar agak ketinggalan. Kebiasaannya, kehadiran penyokong Pas kalau tidak mengatasi khalayak yang hadir menyokong BN, di Kelantan, dapat mengimbangi pihak lawan. Di hari penamaan calon tersebut, secara mata kasar kehadiran penyokong calon Pas seolah-olah menggambarkan suasana saingan PRK Pengkalan Kubur tak jauh beza dengan PRU 2013 bagi kerusi berkenaan. Gambaran awal ini, seolah kehadiran serta penyertaan calon Pas sekadar mengukur prestasi, serta mengumpul maklumat untuk perancangan strategi jangka panjang.

Dalam tempoh awal selepas hari penamaan calon, biodata serta latar belakang calon diketengahkan. Faktor ini ditonjolkan berasaskan kepada 2 elemen utama: calon tempatan dan latar belakang agama. Dipromosikan oleh media, calon BN adalah anak tempatan berasal dari Kg Ketil, sementara calon Pas, sungguhpun menetap di Kg Kajang Sebidang, tetapi asalnya dari daerah Tanah Merah serta kod kad pengenalannya "02" bukan "03". 

Kawasan Pengkalan Kubor, antara kawasan terdapat pusat pengajian pondok, calon yang ada kaitan dengan pondok ditonjolkan. Walaupun calon BN seorang "Guru Sejarah", kerana mengajar qiraati, terlibat dengan taranum, mengasas pusat pengajian pondok, diketengahkan sebagai golongan yang ada nilai dalam masyarakat Melayu dan disebut "Ustaz". Calon Pas lebih ditonjolkan sebagai aktivis parti.

Justeru PRK ini di peringkat awal kempen, isu tempatan yang difokuskan kepada latar belakang calon menjadi taruhan. Ini berbeza dengan PRU, di mana isu nasional dan fokus kepada manifesto parti menjadi agenda utama kempen mana-mana pihak. 

Bagi kerusi ini, dulunya Tumpat Barat, kemudiannya diubah kepada Simpangan, kemudian Geting, isu tempatan seumpama itu tidak signifikan. Dalam PRU 1969, UMNO yang sudah 2 kali kalah, meletakkan anak tempatan Che Deraman Che Omar dari Kg Telaga Bata, tetapi tewas kepada calon Pas, Wan Abdullah Wan Omar, yang didatangkan dari Pasir Pekan. 

Dalam PRU 1990, calon Hamim, Datuk Nik Man Nik Mohamad, dari daerah Pasir Mas, berjaya mengalahkan calon UMNO dan ADUN yang pertahan kerusi, Mat Nawawi Mat Jusoh, anak tempatan daerah Tumpat.

Calon Pas Tok Iman Wan Hussien Wan Ahmad, anak tempatan selaku Imam Mukim Kg Ketil gagal pertahan kerusi yang disandangnya dalam PRU 2004, kepada calon UMNO, Noor Zahidi Omar, yang berasal dan menetap di Pasir Pekan.

Itulah keistimewaan PRK, isu anak tempatan, isu perwatakan, latar belakang pendidikan, menjadi faktor serta bahan utama kempen pilihan raya, menenggelamkan; agenda nasional, manifesto parti, dasar dan ideologi parti, isu-isu nasional yang berkaitan dengan survival kehidupan. 

Isu tempatan hanya bersifat sementara sahaja, dalam PRU ianya akan dipengaruhi oleh isu nasional serta isu yang yang memiliki skop yang lebih luas dan berskala besar. Justeru itu, dalam PRK Manek Urai (2009), calon Pas yang menang dengan hanya 65 undi, menang dengan majoriti besar dalam PRU13. Dalam PRK Pengkalan Pasir (2006), calon Pas yang kalah 134 undi, menang dengan majoriti besar, melebihi 2,000 undi dalam PRU12, di mana calon-calon yang sama bertanding dalam kedua-dua pilihan raya tersebut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan