Sabtu, 6 September 2014

Pengkalan Kubor 2: senario persempadanan

PENAFIAN HAK PEMILIH MENERUSI PERSEMPADAN KAWASAN PILIHAN RAYA

Kawasan pilihan raya Parlimen Tumpat adalah antara kawasan pilihanraya yang digunakan untuk manipulasi politik demi kepentingan kelompok atau puak tertentu. Dalam sejarah 57 tahun cuma berlaku sekali sahaja yang mengundang pecah sempadan untuk menambah satu kerusi atau kawasan pilihanraya. Justeru itu, menjadikan kawasan pilihan raya di daerah ini: 1 Parlimen dan 4 kerusi DUN, antara kawasan yang mempunyai bilangan pengundi yang tinggi, seolah-olah ianya satu kawasan penempatan yang bersifat perbandaran. Taburan pengundinya mewakili penempatan bandar, sedangkan hakikinya, Tumpat adalah satu kawasan luar bandar yang majoriti pengundinya orang Melayu, 92.45 peratus dalam Pilihan Raya Umum 2013. Kaum Thai, penghuni sektor desa, adalah menguasai 7.0 peratus pengundi.

Pemimpin BN semasa berucap di Sabah tahun lepas di Sabah, tanya rakyat Sabah negeri mana paling miskin di Malaysia. Jawapannya; Kelantan, dan disuruh ulang jawapan. Relatifnya antara daerah paling miskin di Kelantan ialah Tumpat, secara langsung antara yang paling miskin di Malaysia. Dari sudut bilangan jumlah pemilih dalam PRU terakhir, Tumpat termasuk antara kawasan Parlimen memiliki pemilih paling ramai. Perbandingannya, Tumpat setaraf dengan Kota Raja, Gombak, Selayang, Johor Bahru atau Seremban. 

Jumlah pemilih yang disahkan untuk PRU13 bagi Parlimen Tumpat ialah 98,832 orang. Angka tersebut  menyamai jumlah pemilih kawasan perbandaran atau kawasan pengundi sektor pengeluaran dan perkhidmatan seperti kawasan Parlimen Johor Bahru (96,515 pemilih), Seremban (102,507 pemilih), Kota Melaka (92,511 pemilih), Shah Alam (100,076 pemilih). Kerusi Parlimen Tumpat, yang mewakili penghuni sektor utama; pertanian, perikanan dan penternakan yang mendiami satu daerah pentabiran dari Pengkalan Kubor di sebelah utara sampai ke selatan di Pasir Pekan dan Kutan, lebih tinggi pemilihnya berbanding beberapa bandar utama; Parlimen Kuala Kangsar (38,607 pemilih), Muar (48,331 pemilih), Tanjong (51,690 pemilih) dan Kuantan (56,418 pemilih). Kawasan-kawasan pilihan raya Parlimen yang jauh lebih rendah pemilihnya berbanding Tumpat, terlibat lebih dua kali pengubahan persempadanan kawasan sejak 57 tahun lalu. Jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan Parlimen berkenaan, kawasan Parlimen Tumpat sepatutnya membentuk 2 kawasan pilihan raya Parlimen dan sekurang-kurangnya 6 kawasan pilihan raya negeri.

Sungguhpun Parlimen Tumpat bukanlah satu kawasan selamat bagi Pas, peringkat awal pasca merdeka, Pas hanya bertapak di kerusi DUN Tumpat Barat (sekarang Pengkalan Kubor) sahaja, persempadanan kawasan pilihan raya tidak diberi perhatian oleh pihak berwajib; SPR. Persempadanan kawasan pilihan raya, satu agenda UMNO/BN memperkukuhkan kuasa, tidak beri perhatian serius ke kawasan ini, seperti kawasan Hulu Kelantan Tanah Merah dan Jeli. 

Kawasan pilihan raya negeri Pengkalan Kubor adalah hasil persempadanan kawasan pilihan raya 1995. Kawasan asalnya Tumpat Barat, kemudian Simpang, kemudian Geting mempunyai 16 daerah mengundi: Pengkalan Kubor, Kg Ketil, Kg Tebing, Kg Geting, Simpangan, Tujoh, Jubakar Pantai, Kg Baru Nelayan, Terbak, Kg Periok, Kelaboran, Telaga Bata, Bunohan, Jubakar Darat, Bendang Pak Yong dan Kubang Sawa/Teluk Jering. 

Persempadanan kawasan pilihan raya tahun 1995, menyaksikan pertambahan satu kerusi negeri dalam kawasan pentadbiran atau jajahan Tumpat. Kerusi negeri dalam Parlimen Tumpat hasil persempadana tersebut: Pengkalan Kubor, Kelaboran dan Pasir Pekan. Sementara Wakaf Bahru, dimasukkan dalam kawasan Parlimen Pasir Mas. Kawasan pilihan raya negeri Pengkalan Kubor dikecilkan dengan mengeluarkan daerah mengundi Jubakar Pantai, Kg Baru Nelayan, Terbak, Kg Periok dan Kelaboran untuk membentuk kawasan pilihan raya Kelaboran. Di samping itu,  Kelaboran juga diambil sebahagian daerah mengundi dalam kawasan pilihan raya Sungai Pinang, selebihnya dimasukkan dalam kawasan pilihan raya baru; Pasir Pekan. 

Pengecilan kawasan pilihan raya bagi kerusi Pengkalan Kubor menguntungkan UMNO/BN dalam PRU9 (PRU 1995), di mana sungguhpun bilangan pemilih berkurangan; dari 16,800 (1990) kepada 15,846 (1995), di mana calon BN berjaya merampas kerusi ini. Undi calon BN, Mat Nawawi Mat Junoh meningkat dari 5,301 kepada 6,086 undi, sementara undi calon Hamim yang bertanding atas tiket Semangat 46, berkurang undinya dari 6,728 kepada 4,788 undi sahaja. Seolah-olah memperlihatkan perpindahan beberapa peti undi ke kawasan pilihan raya Kelaboran, mengurangkan undi calon Hamim, tetapi calon Pas menang bergaya di Pasir Pekan serta Semangat 46 mengekalkan Kelaboran, sebagai ganti kerusi Sungai Pinang. 

Sungguhpun berlaku perubahan sempadan hasil persempadanan tahun 1995 itu, sebenarnya masih perlu dipecahkan lagi kawasan pilihan raya di Tumpat. Bilangan pemilih dalam PRU13 bagi kerusi Pengkalan Kubor ialah 24,140 orang, di mana pengundi Melayu 91.9 peratus, pengundi Thai 7.03 peratus, tidak seimbangan perbandingan dengan kerusi DUN Kedah, Kota Darul Aman yang hanya memiliki 15,466 orang, pengundi Melayu hanya 31.12 peratus sahaja. Pengkalan Kubor satu kawasan luar bandar dengan majoriti penduduknya terlibat dalam sektor utama; pertanian, perikanan dan penternakan, sedangkan Kota Darul Aman, kawasan pusat bandaraya dengan pemilihnya menguasai sektor perindustrian, perniagaan dan perkhidmatan. Apakah di sebalik perancangan persempadanan ini untuk memberi keistimewaan satu kelompok tertentu dengan mengenepikan nisbah desa:kota dalam menggariskan kadar pemilih.

Pilihan raya kecil bagi N.01 Pengkalan Kubor pada 25/09/2014 nanti bukan sekadar untuk menganalisis kejayaan dan kegagalan mana-mana pihak yang menyertainya, tetapi juga sebuah gambaran pemilih dipermainkan dengan atas nama demokrasi kepilihanrayaan. Sepatutnya rakyat selaku pemilih mempunyai hak yang seimbang memilih wakil mereka ke dewan perundangan, nisbah bilangan pemilih dengan wakil mereka dengan mengambil kira struktur geodemografik. Sepatutnya penduduk Pengkalan Kubor layak diwakili 2 orang wakil rakyat, secara perbandingan dengan Kota Darul Aman.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan