Isnin, 8 September 2014

Pengkalan Kubor 3: PKR atau Pas

GILIRAN UNTUK SIAPA PULA: ANTARA PKR DAN PAS 

Pilihan raya kecil bagi N.01 Pengkalan Kubor yang akan berlangsung 25/09/2014, kiranya ada pertandingan, memperlihatkan riak-riak mengulang episod lama. Kawasan pilihan raya ini dulunya Simpangan, kemudian Geting, sering berlaku pertukaran antara parti. 

Di pihak Barisan Nasional, pernah UMNO beri peluang kepada Pas dan Berjasa, semasa Pas berada dalam BN, begitu juga Berjasa. Bila Pas keluar dari BN, di samping bertanding bersendirian, pernah memberikan kerusi ini kepada calon Hamim, semasa Angkatan Perpaduan Ummah, dan kepada PKR dalam kerjasama Pakatan Rakyat. 

Kepelbagaian parti yang pernah bertanding dalam 13 PRU mewakili kelompok parti adalah suatu yang menarik, dalam pesta demokrasi kepilihanrayaan. BN yang mempertahankan kerusi ini menerusi calon UMNO, dilihat tiada masalah untuk terus mengekalkan calon UMNO, di kawasan 91.9 peratus pemilihnya berbangsa Melayu. 

Sungguhpun UMNO pernah memberikan kerusi Tumpat Tengah (sekarang bahagian besarnya dalam DUN Kelaboran) kepada MCA dalam PRU1, memberikan laluan mudah Pas menumpaskan calon Perikatan di kawasan majoriti Melayu. Meletakkan calon MCA itu adalah satu kesilapan dalam konsep tolak ansur politik Perikatan, tidak sama dengan UMNO memberikan calon Berjasa bertanding di Simpangan dalam PRN 1978 dan PRU6 (PRU 1982). UMNO beruntung, kerana mengisi kekosongan ditinggalkan Berjasa dalam  PRU7 (PRU 1986), yang memprotes penerimaan Hamim ke dalam BN, dan mengekalkan kerusi itu hingga PRU13 tahun lepas.

Pas yang menguasai kerusi negeri ini dalam empat PRU pertama, kemudiannya kerusi ini bertukar tangan dari Berjasa kepada UMNO, kemudian kepada Hamim dan dirampas kembali oleh UMNO. Kekalahan calon Hamim dalam PRU9 (PRU 1995), kerusi ini diberikan kepada Pas dalam PRU10 (PRU 1999). Dalam PRU12 (PRU 2008), kerusi ini diberikan kepada PKR, setelah calon Pas gagal pertahan kerusi dalam PRU11, yang dimenanginya dalam PRU10. 

Calon PKR dalam PRU12, kalah dengan 100 undi sahaja, berbanding kekalahan calon Pas, 714 undi dalam PRU11. Tetapi, dalam PRU13, calon PKR tewas dengan majoriti yang agak besar, 1736 undi.  

Ikut rekod bermula PRU8 (1990) hingga PRU13 (2013), dalam 6 PRU, setiap parti diberi peluang 2 kali, calon Hamim dan calon Pas menang dalam cubaan pertama tetapi gagal dalam cubaan kedua, PKR pula kalah tipis dalam cubaan pertama tetapi kalah lebih besar dalam cubaan kedua. Kalau rekod ini, PRK N.01 sepatutnya PKR menyerahkan kerusi ini kepada rakan lain, tiada alternatif cuma Pas. 

Undi calon Parlimen dari Pas dari semua peti undi dalam DUN Pengkalan Kubor dalam PRU13 ialah 9,559 undi, mengatasi 347 undi, jumlah undi calon BN, 9,212 undi. Sebaliknya undian DUN, calon PKR dapat 8,438 undi, sementara BN, 10,174 undi. Perbezaan undi calon Parlimen dan DUN, bagi calon-calon Pakatan Rakyat dan BN, menjelaskan sokongan kepada calon Pas mengatasi calon PKR.

Atas dua faktor asas pengiraan politik tersebut, Pakatan Rakyat perlu memberi peluang kepada Pas meletakkan calon dalam PRK ini, setelah kegagalan serta prestasi merosot calon PKR dalam cubaan kedua, sebagaimana dialami calon-calon Hamim dan Pas. 

Tambahan pula, yang menjalankan urusan khidmat kerajaan negeri dan kemasyarakatan di bahu petugas Pas, dikepalai Penyelia DUN. Kerja-kerja kemasyarakatan dan jentera parti dikendalikan oleh petugas Pas, sejak kekalahan calon Pas dalam PRU11.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan