Isnin, 22 September 2014

Pengkalan Kubor 5: faktor pengundi luar

FAKTOR PENGUNDI LUAR DALAM PRK PENGKALAN KUBOR

Sejauh mana peranan pengundi luar iaitu 1,600 daripada jumlah 24,000 pengundi  PRK Pengkalan Kubor menjadi faktor determinan, bergantung kepada medan tempur semasa di lokasi. Selepas 10 hari berkempen, kedua-dua parti yang bertanding BN dan Pas mempunyai peluang yang seimbang, sunguhpun BN menang besar, majoriti 1,736 undi dalam PRU13 lalu. 

Persiapan serta gerakerja kedua parti yang bertanding sedang menuju pecutan akhir sebelum hari mengundi 25/09/2014 nanti. Kemenangan majoriti besar dalam PRU lepas, memberikan advantage kepada BN berada di depan. Namun demikian jentera Pas, sebagaimana BN yang dibantu oleh jentera dari negeri lain serta dalam negeri, memberikan saingan yang agak sengit. Tambahan pula, jika diterjemahkan perolehan undi calon Parlimen dari pungutan undi dari daerah mengundi dalam kawasan pilihan raya negeri Pengkalan Kubor, saingan PRK ini mendebarkan BN. Sokongan kepada Pas mengatasi BN, 347 undi. 

Sungguhpun angka pengundi luar sekitar 1,600 atau 7.0 peratus dari jumlah pengundi, tetapi ianya satu faktor yang tak boleh dikesimpangkan. Ini kerana, kemenangan BN dalam PRU13, majoriti 1736 undi adalah 9.29 peratus sahaja. 

Angka sebenar pengundi luar hanya berada dalam bilik gerakan parti, lebih tepat bilik gerakan asas: mengikut lokaliti atau daerah mengundi. Penculaan yang digerakkan oleh unit jentera pilihan raya asas inilah yang memperincikan pengundi luar. Pengundi luar dikelompokkkan kepada 5 elemen: luar Dun, luar Parlimen, luar negeri (dalam Semenanjung), luar Malaya (maksudnya Sabah, Sarawak, Brunei, Singapura dan Selatan Thai), luar negara. Pecahan kepada 5 elemen ini untuk menentukan kadar bayaran tambang kenderaan diberikan kepada pengundi oleh parti-parti yang bertanding.

Isu di sebalik sudut penentuan pengundi luar dalam keputusan PRK Pengkalan Kubor, menggariskan 4 faktor yang beri kesan kehadiran pengundi:

1. Hari pengundian hari Khamis, hari bekerja. Kecuali pekerja di Kelantan, di mana hari mengundi adalah cuti am untuk negeri Kelantan. Memberi masalah kepada kelompok terbesar pengundi luar: mereka di Lembah Klang dan Johor.

 2. Tarikh mengundi pada 25/09/2014 tidak praktikal atas roh ruang kepada umat Islam diperantauan. Satu kesukaran seorang pemilih mendapat cuti pulang mengundi, seminggu kemudian bercuti lagi untuk Hari Raya Qurban. Hari mengundi ini adalah terlalu awal iaitu selepas 35 hari ADUN meninggal, sedangkan SPR  mempunyai ruang tempoh yang masih panjang, iaitu 60 hari.

3. Kemenangan mana-mana calon; BN, Pas atau Bebas, yang mengubah kerajaan serta majoriti. Kepulangan perantau mengundi, tidak memberi apa-apa kesan politik.

Berdasarkan elemen-elemen tersebut, berkemungkinan peratusan pengundi luar pulang buang undi dijangka rendah. Atas alasan ini memberikan ruang kepada satu pihak mengeluarkan kad pengenalan palsu untuk tujuan pembuangan undi diberikan kepada orang lain, setelah dikenalpasti pengundi asal tidak akan pulang mengundi. Amalan popular sejak sekian lama ini memberi advantage kepada calon tajaan parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan, kerana ianya mempunyai banyak kemudahan, yang disangkutkan dengan "parti menguasai kerajaan".

Sebahagian pengundi luar serik kerana kepulangan mereka mengundi dalam PRU13, tidak dibayar tambang oleh jentera pilihan raya parti sokongan mereka. Kelompok yang tidak puas hati ini, akan mengambil keputusan tidak pulang untuk mengundi, kerana sebarang keputusan PRK ini tidak mengganggu kerajaan yang dibentuk hasil PRU13.

Kesan pengurusan saguhati untuk menampung tambang PRU13 serta jarak tarikh pembuangan undi dengan Hari Raya Qurban yang melibatkan pengambilan cuti, memberikan respons negatif dari pengundi perantau. 

Atas beberapa alasan di atas, BN berada di hadapan dengan: i. bantuan kewangan yang kukuh mengurus kepulangan pengundi yang merantau,  ii. jentera kerajaan main peranan memudahkan pengundi luar berpotensi pulang mengundi, iii. jentera kerajaan mampu menyediakan "pengundi hantu" dengan memanipulasi kad pengenalan pengundi luar yang tidak pulang. Tinjauan rambang membayangkan Pas agak rimas dan ketinggalan di atas faktor-faktor berkait pengundi luar dalam PRK ini.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan