Isnin, 13 Oktober 2014

Raikan Anak Muda Berpolitik

JANGANLAH JUMUD MELAYANI HAK ANAK MUDA BERPOLITIK

Membaca ulasan media pro UMNO bila beberapa wanita muda Melayu menyertai DAP, mengingatkan senario tipikal  penolakan orang Melayu bila ada jiran sekampung atau sanak saudara menghantar anak ke sekolah aliran Inggeris sebelum Merdeka. Pandangan cerminan watak kolot serta fanatik agama setiap perubahan sosial sesuatu yang negatif. 

Bila DAP mencalonkan Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan tempoh hari, bukan main garang suara kepimpinan UMNO menyerang gadis Melayu lulusan undang-undang itu. Tambahan pula Dyana anak kepada seorang aktivis UMNO peringkat negeri. Cara pengolahan dan penampilan hujjah tentang penyertaan anak-anak muda Melayu ke dalam DAP, lebih menggambarkan bias, berat sebelah dan di luar batasan kotak akademik. Pengaruh serta penekanan emosional menumpulkan daya fikir pembinaan sebuah bangsa Malaysia, sebuah nation building dan kesejagatan Malaysia serta orang Melayu di pentas antarabangsa. 

Nama Dyana Sofya menjadi popular dan watak kontroversi ikut versi UMNO bila terlibat dengan PRK Teluk Intan. Sebagai parti yang memperjuangkan rasisme Melayu, usaha-usaha proaktif anak-anak muda Melayu menyertai politik dianggap sebagai satu ancaman. Ancaman yang membimbangkan survival UMNO kerana tradisinya UMNO yang mengongkong persepsi politik Melayu, menguasai teras politik iaitu politik tradisional. 

Politik feudal tradisional yang bersifat kampungan, mengekang penguasaan dan pengaruh menjadikan jiwa Melayu itu penuh dengan ketakutan hasil berbagai dongengan dan propaganda. Justeru itu, kuasa dan kepimpinan beredar dalam kelompok yang terbatas. Sebarang cubaan untuk memecahkan kelompok disifatkan sebagai satu ancaman masa depan orang Melayu. Di peringkat akar umbi, ada sekatan menghalang seseorang individu sertai parti di peringkat cawangan, khususnya di negeri-negeri tegar sokongan kepada UMNO. Budaya ini, menafikan keterbukaan dan mematikan kepentingan ummah dalam ragam partisipasi politik demokrasi ala Malaysia.

Setelah penyertaan Dyana Sofya, diikuti Syafura Othman dan terakhir Jamila Rahim  menimbulkan kritikan pedas dari setengah pihak, seolah cetusan fenomena ini suatu yang membimbangkan generasi muda. Tulisan pensyarah UTAR, Edwin Micheal dalam portal berita, Free Malaysia Today, memperli kecenderungan baru iaitu gadis Melayu memilih DAP sebagai wadah perjuangan. Tulisan beliau " DAP dan Politik Onani" meletakkan rasa tidak senang perkembangan baru pasca PRU13. 

Penglibatan gadis berpurdah Melati @ Jamila Rahim bersama DAP, sebuah portal tajaan UMNO, mykmu.net, menyelar tindakan gadis itu dalam sebuah rencana bertajuk, "Melalti lebih baik jadi pelacur dari sertai DAP". Wah, hebatnya angan-angan dan khayalan cyber tropper pro UMNO, seolah UMNO parti paling mulia, bermaruah dan penuh dengan estatika utuh. Bagus juga jawapan balas dari anak muda Melayu; berilah peluang anak muda sertai sebuah wadah demi kebebasan, ketelusan dan persamaan hak yang dituntut oleh demokrasi, daripada sertai sebuah parti yang penuh dengan propaganda fitnah, konspirasi politik demi survival serta mengajar rakyat sikap berpecah belah dengan perkauman sempit.

Fokus semua parti dalam pilihan raya umum adalah kepada pengundi muda, pengundi di bawah umur 40 tahun. Dengan inisiatif Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibantu parti-parti politik, kesedaran mendaftar sebagai pemilih semakin meningkat khususnya selepas PRU12. Cetusan gelombang tsunami politik dalam PRU12 memberikan suntikan kesedaran keperluan kepada penglibatan semaksima  mungkin semua rakyat menyertai politik demokrasi kepilihanrayaan. Sebenarnya, kepekaan khalayak masyarakat sivil ke momentun ini bermula lebih awal, iaitu zaman Reformasi yang memberi impaks kepada PRU10 (PRU 1999). 

Hampir separuh pengundi hari ini adalah di bawah 40 tahun di samping separuh adalah wanita, menggambarkan satu keperluan perwakilan yang aktif dan seimbang mewakili kelompok ini. UMNO yang memiliki 88 kerusi di Parlimen, cuma diwakili oleh 10 peratus sahaja dengan 8 orang Ahli Parlimen wanita. Parti Bumiputra Bersatu (PBB), mempunyai perwakilan wanita yang paling tinggi, 4 dari jumlah 14 Ahli Parlimen atau 28 peratus, begitu jugalah Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan 2 dari 4 Ahli Parlimennya wanita atau 50 peratus. Keseluruhannya di pihak penyokong kerajaan dalam Parlimen, jumlah anggota wanita adalah 14 orang atau 10 peratus.

Usaha UMNO merekrutkan kepimpinan pelapis berakarkan sayap Puteri, amatlah dikagumi. 3 bekas Ketua Puteri Pusat dan Ketua Puteri kini menduduki kerusi Parlimen hari ini; Azalina Othman, Noraini Ahmad, Rosnah Rashid Shirlin dan Mas Ermieyati Shamsuddin. Makna UMNO menampilkan separuh anggota perundangan berlatarbelakangkan aktivis anak muda.

Sementara di pihak pakatan pembangkang Parlimen, DAP mempunyai 4 wakil rakyat wanita dari 37 Ahli parlimennya, PKR pula 3 dari 30 Ahli Parlimen, dan Pas 2 orang dari jumlah 21 Ahli Parlimen, masing-masing mewakili 10 peratus setiap parti. 

Sama ada barisan kerajaan mahupun pembangkang, masing-masing memiliki 10 peratus keanggotaan dewan legislatif Persekutuan. Angka ini jauh dari sasaran dan rancangan semua pihak meletakkan angka 30 peratus penyertaan wanita dalam pentadbiran dan pembuat dasar. 

Justeru itu, langkah DAP mengorak langkah mengaktifkan wanita muda Melayu dalam politik sepatutnya disambut baik dan diberi galakan dan sokongan. Sekurang-kurangnya 3 rasionale dapat dikumpulkan;

1. Meningkatkan bilangan perwakilan Melayu mewakili DAP sebagai parti berbilang kaum kerana di Parlimen semasa, DAP diwakili oleh 29 Ahli Parlimen berbangsa Cina, 6 India dan 2 Melayu;

2. Meletakkan wanita Melayu sebagai anggota perundangan kerana hari ini dari 4 Ahli Parlimen wanita DAP, terdiri dari 3 Cina dan satu India. Di peringkat Dewan Undangan Negeri, ADUN wanita dari DAP hari ini adalah 4 di Johor, 2 Pahang, 3 Pulau Pinang, 2 di Perak, 3 di Sarawak dan 4 dalam DUN Selangor, dengan keseluruhannya 19 orang: 18 Cina, 1 India, tanpa wakil dari wanita Melayu.

3. Berbeza dengan parti politik lain, di kalangan perwakilan dewan legislatif sama ada Parlimen atau DUN, lebih separuh wakil rakyat wanita DAP adalah dalam lingkungan umur belia, bawah 40 tahun dan berpelajaran tinggi. 

Ruang dilebarkan oleh DAP adalah satu tajaan politik masa depan yang pragmatis. Anak-anak muda yang terdedah dengan pendidikan politik dan persekitaran anti-demokratik, akan melompat keluar dari kepompong, demi mengejar impian politik baru berasaskan realiti, keharmonian dan keadilan untuk semua. Keberanian kepimpinan DAP meletak anak muda, Hannah Yeoh mengetuai Dewan Undangan Negeri Selangor serta menghantar peguam-peguam muda seperti Teo Nie Ching dan Alice Lau, di samping peguam-peguam muda lelaki ke Parlimen, menjadi ancaman besar dalam perebutan sokongan dan perhatian pengundi muda.

Sentimen rasis UMNO hanyalah sebuah sendiwara untuk meraih sokongan orang Melayu selaku teras kuasa politik tanah air, kerana keahlian UMNO tidak terbatas kepada orang Melayu dan Bumiputera Islam sahaja. Di Sabah, Ketua UMNO bahagian Penampang, Datuk John Ambrose, seorang penganut Kristian. Veteran politik Sabah, John Ghani, juga ahli UMNO penganut Kristian, dalam satu Perhimpunan Agung UMNO menyebut, 8 bahagian UMNO mempunyai jumlah ahli yang ramai bukan penganut Islam; Penampang, Tenom, Pensiangan, Papar, Kota Belud, Keningau, Kota Marudu dan Kudat. 

Di Semenanjung,  cawangan-cawangan UMNO ditubuh di perkampungan masyarakat Thai berugama Buddha di Perlis dan Kedah. Datuk Charen Intrachat, yang mengetuai Persatuan Siam Malaysia dengan keahlian lebih 60,000 orang, adalah Ketua UMNO cawangan Kota Giam Sungai Baru, di Kubang Pasu. Senator Datuk Boon Som a/l Ing, seorang Ketua UMNO Cawangan di Perlis. 

Tidak sewajarnya UMNO yang mengetuai BN mengambil tindakan secara halus menghalang penglibatan anak-anak muda mencari alternatif lain demi memenuhi tuntutan realiti politik baru. Realiti politik yang berasaskan persamaan hak, good governance, tatakelola pentadbiran yang baik dan telus, serta meraikan roh dan semangat demokrasi. Realiti politik yang meminggirkan nilai-nilai rasis, perkauman sempit serta manafikan kemuliaan ilmu dan elemen keadilan.







 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan