Guru rasis
KEGAGALAN INTERGRASI KAUM SEBUAH PEMERINTAHAN SEKULAR
"Go back to India or China", portal Free Malaysia Today melaporkan arahan seorang pengetua kepada anak muridnya, dua hari lepas. Semalam, FMT melaporkan sebuah lagi catatan peristiwa, " parents target HM: UMNO target parents". Minggu lepas, digempurkan beberapa media, seorang guru besar mengarahkan murid-murid bukan Islam makan di bilik persalinan. Tiga hari selepas Pilihan Raya Umum ke 13 tempoh hari, seorang pemimpin kanan UMNO mengeluarkan kenyataan meminta pengundi bukan Melayu meninggalkan negara ini. Akhbar Utusan Melayu memilih tajuk "apa orang Cina mahu", beberapa hari selesai PRU13.
Sebelum PRU13, beberapa kenyataan dan tindakan bersifat rasis menjadi berita hangat, lebih difokuskan kepada institusi pendidikan. Antaranya herdikan seorang pengetua sebuah sekolah menengah di Kulai, yang mencabar pelajar bukan Melayu pulang ke negara asal datuk nenek mereka, dalam satu majlis rasmi sekolah; perhimpunan mingguan. Ucapan rasis juga dilaporkan oleh seorang pengetua sekolah di utara tanah air.
Tindakan pentadbir Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, menempatkan pelajar bukan Islam makan waktu rehat di bilik persalinan, mendapat komen panas dari kalangan politik. Guru Besar diminta bercuti, untuk membolehkan pihak Jabatan Pelajaran menyiasat.
Belum pun reda dengan peristiwa tersebut, Pengetua Sekolah Menengah Alam Megat, Seksyen 27, Shah Alam, membuat kenyataan yang lebih panas, lebih sensitif; minta pelajarnya tinggalkan negara ini, balik ke negara asal datuk nenek mereka. Beliau berucap di majlis perhimpunan mingguan, Isnin lepas.
Reaksinya, pemimpin kanan MIC bahagian Shah Alam, A. Prakash Rao, melahirkan rasal yang amat kesal, dan minta jabatan berkenaan ambil tindakan segera. Ibu bapa dan penjaga amat menyinggung dengan kenyataan rasis. Sebaliknya UMNO pula, mempertahankan pentadbir sekolah dan menyalahkan tindakan ibu bapa.
Apapun yang berlaku, menjelang dan selepas selesai PRU13, secara langsung mempamirkan pengukuhan polarisasi kaum di negara ini, yang gagal diselesaikan oleh pemerintah yang menggabungkan parti-parti berasaskan kaum yang dikepalai oleh UMNO. Dengan lain perkataan, rasisme semakin membiak dan menebal, berikutan kemerosotan prestasi BN dalam dua PRU terakhir.
Sepatutnya, sama ada guru besar atau pengetua, selaku penjawat awam memperlihatkan profesionalisme kerjaya serta dapat mengasingkan antara perkhidmatan awam dengan lantikan politik. Adalah amat dikesalkan, penjawat jawatan awam pada gred 54, melakukan tindakan tidak profesionalisme, penuh dengan emosi yang keterlauan dan tebalnya sentimen kepartian.
Penjawat awam di gred 54, satu kedudukan yang amat dihormati dan antara kedudukan kanan dalam perkhidmatan awam, tidak sepatutnya mengambil tindakan yang tidak popular. Semua pengetua sekolah menengah berada di gred 54 (DG54), kalau ada pun pengetua DG52, hanya segelintir sahaja, sekolah baru, sekolah kecil atau baru dilantik. DG52 adalah time based bagi guru biasa. Kalau populasi guru di sesebuah sekolah menengah sekitar 70 hingga 80 orang, tak kurang dari 7 hingga 10 orang, guru biasa gred 52. Setengah jabatan, gred gaji 52, adalah ketua jabatan atau pengarah.
Sewajarnya lantikan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam sepatutnya bersih dari unsur politik kepartian. Sepatutnya tidak ada pengetua atau guru besar atau ketua jabatan, proksi atau atas restu mana-mana Ketua Bahagian, khususnya UMNO. Tidak perlu sokongan dalam apa bentuk dari orang politik untuk melayakkan seseorang diperakui ke jawatan dalam perkhidmatan awam.
Kegagalan perpaduan kaum dan kegagalan menghakis polarisasi kaum sejak merdeka kerana perakuan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan tertentu, ditentukan oleh unsur politik. Bermula dari Rukunegara, Dasar Kebudayaan Nasional, Pembentukan Jabatan Perpaduan Nasional, dan terakhir 1Malaysia, gagal untuk menghakis menghormati hak saksama sebagai warganegara tanpa mengira apa suku kaum, apa asal keturuan, apa fahaman politik dan agama.
Apakah indoktrinasi ke atas kakitangan perkhidmatan awam menerusi Kursus Tatanegara yang gagal menjadikan penjawat awam walaupun di gred jawatan kanan, mengambil tindakan seumpama penjawat awam perkhidmatan sokongan yang kurang didedahkan dengan kursus seperti itu.
Sudah sampai masanya, penjawat awam mesti dibebaskan dari ikatan dan kekangan pemikiran politik rasis yang jumud dan tahap tamadun rendah. Binalah jiwa merdeka, bangsa yang sudah merdeka melepasi separuh abad. Anak-anak di bangku sekolah jangan dihalau balik ke negara asal datuk nenek mereka, sepatutnya persalahkan mengapa datuk nenek mereka diberi taraf kerakyatan 50 tahun lalu. Mereka lahir dan dibesarkan di negara ini, berilah hak mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan