Rabu, 7 Ogos 2013

Pasca PRU13 1

SENARIO AWAL PASCA PRU13 

Selesai Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang dianggap sebagai ibu segala PRU, kesan jangka pendek dapat dikutip hasil beberapa peristiwa dalam tempoh 2 bulan terakhir. Peristiwa atau cetusan pandangan pasca PRU13 lebih menampakkan kesan yang lebih cenderung kepada meningkatnya tahap krisis keyakinan masa depan negara kita.

Kesan pertama yang melibatkan seluruh rakyat selaku pengguna ialah kenaikan harga barangan, yang mula dirasai sebulan selepas selesai PRU13. Contonnya, roti Gardenia, satu pek kecil yang berharga RM2.10 sebelum PRU13, naik kepada RM2.40 atau kenaikan sebanyak 13.0 peratus. Harga ayam biasa dari RM6.80 naik sebanyak 13.0 peratus kepada RM7.70. Menteri yang bertanggungjawab menyeru rakyat dengan satu kenyataan kelas rakyat picisan; jangan beli ayam. 

Kesan kedua, pembunuhan dalam bentuk tembakan terbuka berlaku dalam kekerapan yang tinggi. Dalam minggu ini sahaja ada empat kes tembakan maut, dari bekas ketua eksekutif sebuah bank terkemuka, seorang awam di Parit Buntar, sehari kemudian, satu pembunuhan di Sabah, sehari berikutnya di Pasir Puteh, Kelantan. Sebelum ini, dalam jarak selesai PRU13 hingga akhir bulan Julai, sudah berlaku beberapa pembunuhan dalam bentuk yang sama, di Kulim, di Bachok, di Semerak. 

Akhbar Singapura melahirkan kebimbangan sebagai jiran, dengan jenayah berbentuk pembunuhan sedemikan. Akhbar berkenaan merumuskan peningkatan kadar jenayah ala comboy, yang merupakan satu perkembangan baru di Malaysia, menggambarkan tahap keselamatan yang berisiko tinggi. Seorang pemimpin kanan parti pemerintah yang kalah dalam PRU13, mempersalahkan parti pembangkang yang memperjuangkan melonggarkan undang-undang keselamatan dalam negeri. Mungkin kekecewaan kerana kekalahan dalam pilihan raya, diwarwarkan dimasukkan dalam Kabinet Pusat jika berjaya menang kerusi Parlimen,  beliau menuding jari ke arah pihak lawan.

Kesan ketiga, sungguhpun Barisan Nasional berjaya mempertahankan kerajaan. Sebagai sebuah kerajaan minoriti yang disokong oleh 47 peratus pengundi sahaja, kekecewaan menguasai sokongan rakyat terbanyak tersebut diteruskan dengan agenda rasis menanamkan kebencian ke arah pihak lawan. Sebuah blog; bnbesut.blogspot.com, menerbitkan sebuah tulisan, "Cina pun mahu duit zakat", menfitnah Ahli Parlimen Siputeh, Teresa Kok, mengeluarkan kenyataan demikian, 2 hari lepas. Ekorannya teresa Kok terpksa laporan polis. Kekecewaan penolakan undi masyarakat kota, masyarakat celik maklumat, masyarakat berilmu, serta igauan "tsunami Cina", kelompok rasis dalam BN menghasilkan kenyataan-kenyataan menghasut serta menyinggung perasaan perkauman atau sedition.

Kesan keempat, terbaru, mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dalam satu makluman kepada media, beliau akan melancarkan sebuah cetusan fikirannya; "Awakening: The Abdullah Badawi Years in Malaysia", selepas perayaan Aidilfitri, menceritakan serta menjawab bidasan terhadap kepimpinan UMNO dan kerajaan zaman beliau.

Sinopsis tulisan beliau, perkara pokoknya beliau menyebut "UMNO is at crossroads and more immediately reform". UMNO perlu lakukan perubahan untuk terus berada di persada politik nasional serta menjamin kelangsungan penerimaan rakyat, dalam PRU14 khususnya.

Mengenai "the forth floor boys" yang ditujukan kepada menantu beliau Khairy Jamaluddin dan rakan-rakan, beliau menafikan penguasaan mereka dalam membuat keputusan eksekutif. 

Tun Abdullah juga mempersoalkan peranan Utusan Melayu serta kegagalan kepimpinan UMNO semasa mengawal akhbar berkenaan, menjadikan media perdana tersebut terlalu tebal dengan agenda racism dan sedition. Kebimbangan BN yang dikepalai UMNO yang rasis, didokong oleh Utusan Melayu memainkan isu, akan melonjakkan BN sebagai pendokong agenda rasis yang mulai ditolak oleh sebahagian rakyat bermula PRU12, meningkat penolakan dalam PRU13, dan terus meningkat dalam PRU14. 

Hakikinya, pasca PRU13 akan menyaksikan berbagai episod, amukan dan kebangkitan parah yang belum sembuh. Justeru itu, sebagaimana peringatan Tun Abdullah, ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO bukan suatu hak, tetapi sesuatu yang perlu dicapai. Ianya bukan slogan untuk memperkukuhkan kapitalis Melayu serta memantapkan kelas borjuis Melayu baru serta menyaksikan rakyat kelas bawah, terus tertindas dan terbiar, kerana kemiskinan adalah teras kekuatan UMNO. 

Salam Eidul Fitri diucapkan kepada semua pengunjung beragama Islam, maaf dzahir dan bathin. Semua pandangan dalam blog ini, sekadar memantapkan mental exercises demi kejernihan ilmu dan kemeriahan dunia akademik.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan