Khamis, 25 Julai 2013

PRK Kuala Besut 3

 PEMILIH KUALA BESUT AMBIL PENDEKATAN NON-CONFLICT

Lazimnya mana-mana kawasan yang sering bertukar tangan antara parti yang berlainan dalam pilihan raya sejak Merdeka, terdedah kepada beberapa kemungkinan, serta sebarang keputusan pemilih bukanlah satu kejutan. 

Di Terengganu, cuma ada 2 kerusi atau kawasan pilihan raya yang  tidak pernah bertukar tangan dalam 13 siri pilihan raya, dalam tempoh 54 tahun: Seberang Takir dan Kemasik (dulunya Kemaman Utara). Dua kawasan ini dimenangi oleh calon Perikatan/BN menerusi UMNO. Semasa Perikatan kalah dalam PRU1 (1959) dan PRU10 (1999) dan zaman  menang tipis bentuk kerajaan dengan beza 2 kerusi, PRU3 (1969) dan PRU13 (2013), Perikatan/BN berjaya kuasai kedua-kedua kerusi berkenaan. 

Pilihan Raya Kecil Kuala Besut, satu detik dalam perjalanan harian politik Malaysia yang menarik, kerana kerusi Kuala Besut, tidak menyerupai sejarah Seberang Takir dan Kemasik. Di Kuala Besut, sungguhpun BN dianggap dominan berasaskan tiga PRU terakhir, tetapi rekod PRU sebelumnya, Pas pernah menang beberapa kali, dan BN pernah beberapa kali menang dengan majoriti kecil. Pernah calon UMNO menduduki tangga ketiga dalam pungutan undi. 

Keputusan PRK kelmarin menampilkan sebuah tindakan politik kontemporari pengundi Kuala Besut. Gambaran awal hasil PRK tersebut, walaupun peratusan keluar mengundi menurun berbanding dengan PRU13, dua bulan lepas, memperperlihatkan gelagat dan tindakan pengundi Kuala Besut tersendiri.

Peratusan keluar mengundi yang menurun dari 87.0 dalam PRU13 kepada 79.7 peratus, tidak banyak berlaku perubahan besar sokongan kepada kedua-dua parti yang bertanding. Calon BN yang menang memperolehi 8,288 undi iaitu penurunan 521 undi atau kejatuhan 5.91 peratus daripada perolehan 8,809 undi dalam PRU13, sementara calon Pas, memungut 5,696 undi berbanding 6,375 undi dalam PRU13, atau penurunan 679 undi atau 10.45 peratus.

Perolehan undi kelmarin memberikan majoriti 2,592 undi atau 18.18 peratus kepada calon BN, berbanding dengan 2,434 undi atau 16.03 peratus yang dicapai oleh arwah calon BN, dua bulan lepas. 

Dari pencapaian di atas, menampakkan pengundi Kuala Besut membuat keputusan yang cenderung kepada empat faktor utama;

1. Pengundi mengambil pendekatan non-conflict, iaitu mengelakkan keputusan PRK ini menjurus kepada memuncak politiking. Justeru PRU berjarak 2 bulan, mereka sudah buat keputusan, adalah tidak rasional menukar pendirian dalam tempoh yang pendek. Kedua-dua calon, tidak menampakkan masalah peribadi yang boleh menjejaskan pilihan seseorang pengundi. Kes Kuala Besut tidak boleh disamakan dengan kes Kuala Terengganu (2009), walaupun tempoh PRU dengan PRK cuma 8 bulan saja. Di dalam PRK Kuala Terengganu, isu peribadi calon BN menjadi antara faktor utama menyumbang kepada terjejas sokongan pengundi. Sungguhpun Pas mensasarkan faktor calon dijadikan daya tarikan sebagaimana kes Kuala Terengganu, faktor ini kurang berjaya bagi calon Pas untuk menarik ayungan 1,200 pengundi yang menyokong BN dalam PRU13 lalu.

2. Demi mengelakkan konflik berterusan antara parti yang bertanding, pengundi memilih mengekalkan status quo. Hasrat dan strategi, kedua-dua parti dinafikan oleh pemilih Kuala Besut yang mengambil pendekatan non-conflict, dengan memberikan pencapaian yang  lebih kurang sebagai mereka laksanakan pada hari mengundi 2 bulan lepas. Strategi dan harapan BN ialah menang dengan majoriti yang lebih besar, iaitu 4,000 undi majoriti, sementara pihak Pas, mensasarkan kedudukan 16:16 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).  Pengundi tidak inginkan membuat satu "up set" sama ada majoriti 4,000 undi atau kedudukan 16:16, yang akan merancakkan konflik, majoriti 4,000 undi akan menjadikan BN lebih berkuasa, sementara 16:16 menambahkan kuasa kepada Pas. Jalan yang paling bijak bagi orang Kuala Besut, sama ada di Tok Has atau Teluk Bayu, ialah kekalkan status quo.

3. Dalam mana-mana PRK, contoh Semerak (1997), Galas (2010), Manek Urai (2009) dan Hulu Selangor (2010), peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding PRU terdekat, memberi kelebihan kepada BN. Semerak, Galas dan Hulu Selangor dirampas oleh BN dan BN kalah tipis di Manek Urai. Hal yang sama bolehlah dikesan daripada PRK di seluruh negara dalam tempoh 20 tahun terakhir, jika peratusan mengundi tinggi, peluang BN menang serta membesarkan majoriti adalah tinggi. Kegagalan BN mencapai sasaran 4,000 undi majoriti secara langsung berkait rapat dengan kemerosotan peratusan keluar mengundi (percentage of casting). 

4. Kedua-dua calon memperolehi undi yang lebih rendah berbanding calon yang bertanding dalam PRU13 kekurangan sebanyak 521 undi (BN) dan 679 undi (Pas). Punca yang amat nyata ialah hari pengundian pada hari Rabu, pertengahan minggu. Tindakan menetapkan hari pertengahan minggu ini, adalah satu taktik nakal SPR yang sedia maklum, untuk mengelakkan pengundi luar pulang mengundi. Kebanyakkan pengundi luar adalah pengundi muda, menyukarkan permohonan cuti serta komitmen kerja, menjadi penyebab kemerosotan peratusan pengundian. Analisis PRU12 dan PRU13, undi BN adalah ketinggalan di Semenanjung, di saluran pengundian yang melibatkan anak muda. 
Kesimpulannya PRK Kuala Besut adalah sebuah kegagalan bagi kedua-dua parti: UMNO/BN dan Pas, mempersembahkan penawaran lebih menarik untuk khalayak pengundi dalam era pasca PRU13. PRK Kuala Besut memanifestasikan satu realiti bahawa faktor calon adalah satu faktor dominan, lantaran itulah keseimbangan nilai kedua-dua calon memberikan pemilih Kuala Besut memilih parti sebagaimana mereka lakukan 2 bulan lepas.


 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan