Ulasan Buku KYT
ULASAN TULISAN MOHD HASBIE MUDA: KEMENANGAN YANG TERTANGGUH
Buku hasil keringat Saudara Mohd Hasbie Muda: Kemenangan Yang Tertangguh (Jun 2013: Megamind Leadership Consultancy, Petaling Jaya), sebuah kupasan dan analisis terawal dalam bentuk buku, selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Sungguhpun analisisnya berfokus kepada sebuah parti yang terlibat dalam PRU13, dengan gaya penyampaian serta kupasan yang mudah, amat sesuai untuk khalayak masyarakat umum. Syabas untuk penulis lantaran melontarkan idea yang membina dan gigih serta berani melahirkan sebuah tulisan dalam tempoh masa yang singkat.
Namun demikian tulisan setebal 145 halaman ini, mengundang saya untuk membuat ulasan serta pandangan demi memeriahkan medan pengetahuan am dan memperluaskan penyebaran ilmu.
Saya tercari-cari di mana 7 kerusi parlimen di Kedah dan 2 kerusi parlimen di Kelantan (hal. 14), yang gagal dipertahankan oleh Pas dalam PRU13 tempoh hari. Jika dimaksudkan 2 kerusi yang gagal dimenangi Pas di Kelantan: Jeli dan Gua Musang, kerusi Jeli cuma dimenangi sekali sahaja, dalam PRU10, sementara Pas tidak pernah menang kerusi parlimen Gua Musang, sejak kawasan tersebut diwujudkan selepas persempadanan tahun 1973. Di Kedah, Pas gagal pertahan 5 kerusi parlimen yang dimenangi dalam PRU12.
Ulasan mengenai penyertaan sebuah NGO, ISMA yang bertanding meminjam logo BERJASA di kawasan di mana Pakatan Rakyat (PR) meletakkan calon bukan Islam, untuk menarik pengundi Islam tidak mengundi calon bukan Islam sama ada BN atau PR, tergantung huraiannya, di halaman 34. Apakah kesan penyertaan calon-calon ISMA ke atas prestasi calon PR dan BN. Apakah penyertaan ISMA untuk membantu BN atau sebaliknya.
Isu penolakan pengundi parlimen Pasir Mas terhadap Datuk Ibrahim Ali, di halaman 47 hingga 49, sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sedemikian, jika dianalisis dari sudut kutipan angka. Sungguhpun Ibrahim Ali bertanding atas nama Calon Bebas, dan calon UMNO/BN menarik diri, sebenarnya pungutan undi beliau adalah undi untuk BN. Beliau perolehi 25,384 undi, gagal mengatasi undi calon Pas, Ustaz Nik Muhamad Abduh, 33,431 undi dan meletakkan beliau tewas dengan majoriti agak besar, 8,047 undi. Tidak jauh beza, jumlah undi ketiga-tiga calon UMNO/BN, di semua kerusi Dun dalam parlimen Pasir Mas: Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok; berjumlah 25,695 undi. Beza 311 undi sahaja. Undi tiga calon Pas di 3 kerusi tersebut ialah 33,373 undi, kurang 58 undi saja dengan undi Nik Muhamad Abduh. Secara tidak langsung, tiada undi peribadi Ibrahim Ali, undi beliau adalah undi untuk BN. Cuma sekitar 300 pengundi sahaja, yang tidak memberi undi untuk Ibrahim, tetapi mengundi BN di kerusi Dun. Sungguhpun beliau guna lambang bunga raya, hakikatnya beliau mewakili lambang dacing. Dengan lain perkataan, peribadi batang tubuh Ibrahim Ali tidak membantu tarikan undi untuk BN.
Dalam Pilihan Raya Umum ke 6 (PRU 1982), di kerusi Dun Salor, borang pencalonan calon Berjasa/BN, Suffian Awang telah ditolak, meninggalkan 2 calon bertanding, Mustapha Ibrahim (Pas) dan Muhamad Tahar Jalaadin Hussin (calon bebas). BN meminta penyokongnya mengundi calon bebas. Calon bebas yang tidak terkenal dan dijangka hilang deposit memberi saingan sengit, hasilnya beliau tewas dengan majoriti kecil 498 undi di kawasan kubu Pas. Calon Pas dapat 5,528 undi dan calon bebas 5,030 undi.
Di ambil kes Salor (1982) sebagai perbandingan, perolehan undi Ibrahim Ali selaku calon bebas, bukanlah undi untuk calon bebas yang bergantung atas keupayaan peribadi, tetapi undi perolehan beliau adalah undi untuk BN, ganti batang tubuh calon BN yang menarik diri sebelum bertarung. Berdasarkan pungutan undi BN di kerusi Dun, jika calon BN, Johan Che Pa bertanding, pastinya, akan kalah dengan majoriti 8,000 undi juga, tiada beza dengan meletakkan Ibrahim Ali.
Ulasan mengenai kejayaan Tengku Razaleigh Hamzah mempertahankan kerusi parlimen Gua Musang dengan undi yang lebih besar serta majoriti bertambah, di halaman 53. dalam kes Gua Musang, perlu dilihat dari sudut teknikal kerja-kerja jentera pilihan raya. Dalam tempoh 2009-2012, pertambahan undi yang besar di kawasan pilihan raya Gua Musang, hasil kerja-kerja pendaftaran pemilih yang dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan terutama Jabatan Orang Asli, KEMAS, RELA dan Unit Khas Jabatan Penerangan. Hasil kerja ini banyak membantu meningkatkan pendaftaran pengundi baru pro-BN. Kadar pertambahan pemilih adalah paling tinggi di Kelantan, namun demikian kerja-kerja pendaftaran pemilih oleh jentera Pas di kawasan parlimen ini adalah terendah dan amat perlahan di Kelantan dalam tempoh berkenaan.
Dalam Jadual 22, di halaman 65, adalah tidak tepat mengambil data kerusi Dun Pandan (PRU10/1999) untuk dianalisis bersama data kerusi parlimen Pandan (PRU11, PRU12 dan PRU13). Kerusi Dun Pandan (PRU10) yang merupakan sebahagian kawasan parlimen Pandan yang diwujudkan dalam persempadanan 2003, memiliki peratusan pengundi Melayu yang lebih tinggi, berbanding dengan kerusi baru, parlimen Pandan. Membandingkan angka PRU10 dengan PRU11 adalah amat tidak adil, dari sudut statistikalnya. Dalam tahun 1995, 57.3 peratus pengundi di kerusi Dun Pandan adalah Melayu, berbanding 49.5 peratus pengundi Melayu di kerusi parlimen Pandan dalam tahun 2008.
Merujuk kepada catatan di halaman 89 mengenai penglibatan dengan subversif komunis. Tarikh tahanan 3 Abdul di bawah ISA dalam tahun 1976 bersama 3 individu lain adalah serentak dan menjadi headline akhbar utama masa itu. Terpapar foto 6 individu berkenaan: 2 orang timbalan menteri persekutuan dari UMNO, seorang ketua pengarang akhbar mainstream, seorang ahli parlimen dari DAP, seorang pemimpin MCA dan seorang pengerusi sebuah parti pembangkang (PSRM). 4 Melayu dan 2 Cina.
Tiga buat pengakuan di kaca tv, termasuk Dato' Abdullah Ahmad dan Dato' Abdullah Majid. Kassim Ahmad (kemudiannya masuk UMNO) tak mahu buat pengakuan di kaca tv. Ahli Parlimen Sungai Besi, Chan Kok Kit enggan buat pengakuan. Maksudnya memanglah tepat tiada seorangpun ahli politik dari Pas pernah ditahan berkaitan dengan isu komunis, sementara ahli DAP tak mengaku berbanding dengan ahli UMNO yang pernah buat pengakuan dalam media perdana.
Berhubung dengan catatan Tengku Razaleigh dan penyokongnya tidak dibenarkan menyertai UMNO (Baru), di halaman 52, lebih kemas dicatatkan putar belit kerja-kerja pihak berkuasa masa itu. Bila UMNO diharamkan, Tengku Razaleigh menubuhkan UMNO 46. Satu kumpulan lagi, kemukakan pendaftaran UMNO Malaysia. Permohonan pendaftaran 2 parti ini ditolak oleh ROS dengan alasan nama sama dengan parti yang diharamkan. Kumpulan Dr Mahathir mengambil kesempatan terancang ini, mendaftaran UMNO (Baru).
Penulis memuatkan saranan dalam bab 4, beberapa isu yang perlu diselesaikan oleh Pas untuk mengukuhkan sokongan serta memantapkan jentera pilihan raya untuk menghadapi PRU14. Isu yang dikemukakan menepati keperluan mengatasi kelemahan dan kekurangan semasa PRU13 tempoh hari, tetapi kurang fokus kepada kerja-kerja teknikal yang banyak membantu gerak kerja persiapan pilihan raya dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Ini termasuk gerak kerja pendaftaran pemilih pengundi baru berpotensi, di samping pendidikan dan pendedahan kerja mendekati masyarakat sivil yang lebih luas.
Sebagai graduan ekonomi, penulis berjaya memberikan panorama yang jelas, mudah difahami dan menepati keupayaan masyarakat umum mengenai isu ekonomi sebagaimana paparan halaman 102 hingga 111. Tidak sebagaimana penjelasan seorang timbalan menteri yang juga bekas pensyarah ekonomi sebuah IPTA tempatan dalam perbahasan parlimen satu masa dahulu, penjelasan yang terlalu teoritis dan akademik, sukar berpijak pada minda masyarakat umum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan