Rabu, 27 Februari 2013

Murnikan Demokrasi

DEMI DEMOKRASI PAS TAK WAJAR BERSENDIRIAN

Suara menyerang Pas kerana tidak bersendirian menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), sebagaimana era 1960an dan 1980an terus dimainkan oleh beberapa pihak. Serangan ini lebih menampakkan kegagalan usaha dan saranan, agar Pas bersama UMNO (Baru), demi kepentingan orang Melayu dan perpaduan umat Islam.

Pendirian parti dan kepimpinan tidak tergugat dengan dua saranan yang lebih merupakan ancaman dan serangan demi melumpuhkan Pas, yang sedang mengadakan tahalus siyasi atau pakatan berdepan musuh yang sama. Itu adalah hak dan keputusan politik yang diambil Pas, untuk terus mewarnai gelanggang demokrasi kepilihanrayaan.

Dari segi semangat demokrasi, apapun pendirian Pas, itu adalah keputusan yang terbaik mungkin bersesuaian dengan realiti dan tuntutan politik semasa.

Sungguhpun demokrasi memberi hak kebebasan bersuara dan kebebasan membuat keputusan, serta menghormati suara majoriti adalah keputusan yang mutlak yang seharusnya diterima semua rakyat. Namun demikian, suara majoriti itu, masih tidak mutlak. Ini lantaran, tafsiran suara majoriti itu diukur dari amalan dan kaedah yang berbeza.

Sistem demokrasi menerusi pilihan raya sebagai mekanisme, yang diamalkan di negara kita, mengikut model amalan Great Britain dan kebanyakannya negara Commonwealth adalah berasas sistem perwakilan berbagai parti mengikut kawasan pilihan raya atau multi-party territorial representation. Asasnya pemilihan perwakilan "the first past the post", di mana calon yang undi tertinggi akan diistihar sebagai pemenang atau sebagai perwakilan.

Sistem ini, tidak menjamin calon yang menang mewakili suara terbanyak di kawasannya (constituency). Dengan amalan pelbagai parti menjadikan undi akan berpecah, di mana pemenang tidak menggambarkan mewakili majoriti penduduk. 

Dalam PRU1 (1959), di kerusi negeri Kuala Besut, DUN Terengganu, Haji Wan Said Mohd Nor dari Pas cuma memungut 39.2 peratus undi atau 1,303 undi untuk mengatasi undi calon Socialist Front, 1,078 undi dan calon Perikatan, 942 undi. 

Di kerusi negeri Langkap, juga di Terengganu, calon Parti Negara, Ismail Abas memperolehi 32.54 peratus undi atau 910 undi, untuk memenangi kerusi berkenaan, mengalahkan 3 calon yang lain: Perikatan (774 undi), Pas (685 undi) dan calon bebas (470 undi).

Dalam PRU yang sama, di kerusi DUN Kelantan, kawasan Ulu Kelantan Barat, calon Pas, Khaidir Khatib yang menang cuma dapat 36.86 peratus undi sahaja iaitu 1,472 undi mengalakan Wong Yuen Wye (Perikatan) yang perolehi 1,126 undi, dan 4 calon lain, Haji Mohd Yusof Bangs (Bebas) 853 undi, Wan Yaacob Wan Ahmad (Parti Negara) 347 undi, Hussien Sulaiman (Socialist Front) 99 undi dan Mohamad Latif (Bebas) 96 undi.

Di kerusi negeri, Tumpat Tengah, calon Pas, Mustapha Awang cuma pungut 39.10 peratus undi atau 2,253 undi untuk mengalahkan 3 calon lain: Foo Chow Yong (Perikatan) 2,200 undi, Yahya Abdullah (Parti Negara) 968 undi dan C.W. Sook (Socialist Front) yang dapat 341 undi.

Dalam PRU terakhir (PRU12), calon DAP, Dr Hiew King Cheu, memeangi kerusi Parlimen Kota Kinabalu, cuma pungut 34.3 peratus undi sahaja, atau 9,464 undi, sementara calon PKR, Christina Liew perolehi 9,358 undi atau 33.91 peratus, sementara calon BN, Chin Teik Meng hanya berada di tangga ketiga dengan 8,429 undi atau 30.59 peratus. Calon Bebas pungut 341 undi dan hilang wang pertaruhan.

Contoh-contoh di atas adalah antara kutipan gambaran hasil demokrasi pilihan raya menerusi sistem pelbagai parti yang berasaskan "who first passed the post", yang tidak menggambarkan sokongan majoriti. Dari pengalaman dan hasil pilihan raya di negara kita, khususnya PRU tahun 1960an, yang disertai oleh banyak parti. Persaingan melebihi 3 penjuru banyak berlaku. Keadaan ini, agak berkurang dalam PRU3 (1969), terutamanya kawasan bandar, ada kerjasama pilihan raya antara PPP, Gerakan dan DAP, untuk pastikan perlawanan satu lawan satu menentang calon Perikatan.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang pertama (1969), di 28 kerusi dari jumlah 48 kerusi Council Negeri, calon yang menang memperolehi undi di bawah 50 peratus. Justeru itu, wakil rakyat dalam Council Negeri (Dewan Undangan Negeri) tidak mewakili suara majoriti rakyat Sarawak. Purata setiap kerusi ditandingi 4 calon. Kerusi Simanggang ditandingi 8 calon.

Jelaslah persaingan banyak penjuru yang diizinkan oleh sistem banyak parti tidak menggambarkan kehendak demokrasi yang sebenar iaitu suara majoriti yang memerintah. Calon yang disokong oleh cuma satu pertiga rakyat dimartabatkan sebagai pemenang menggambarkan "the minority rules the majority".

PRU8 (1990) adalah perintis kepada "the winner gets absolute power" kerana pemenang diundi oleh lebih separuh pengundi. Ini kerana, PRU8, bermulanya kepada era sistem dua parti. Kerjasama pilihan raya menerusi Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat merealisasikan persaingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional.

Keterlibatan Pas dalam Angkatan Perpaduan Ummah, terdahulu Harakah Keadilan (HAK) 1986, yang gagal, kemudiannya Barisan Alternatif (1999) dan Pakatan Rakyat (2008), demi mempastikan realiti demokrasi terlaksana hakikat dan rohnya. Iaitu suara majoriti harus dihormati. Ianya lebih tepat bila wujudnya sistem dua parti.

Andainya Pas bersendirian sebagaimana yang disaran dan diterjahkan oleh beberapa pihak, maka kemungkinan PRU13 yang bakal tiba yang dilabelkan sebagai PRU paling sengit, ibu segala pilihan raya dan pilihan raya yang sukar diramalkan, akan menghasilkan keputusan sebagaimana beberapa contoh di atas. Kemungkinan calon yang menang dapat undi di bawah separuh atau bawah 50 peratus. Ini memberikan satu gambaran kegagalan demokrasi menghormati suara majoriti. Akan wujudlah "the minority rules the majority".

Pas yang mempelopori sistem dua parti menerusi HAK walaupun tidak menampakkan hasil, tidak sewajarnya terjerumus dalam persaingan tiga atau empat penjuru, yang menafikan kemenangan mutlak kerana terikat dengan the first who passed the post. 

Berbeza dengan sistem pilihan raya amalan Perancis yang turut diamalkan oleh beberapa negara, walaupun sistem kepelbagaian parti (multi-parties), tetapi pemenang perlu perolehi suara majoriti. Calon yang menang perlu mendapat majoriti mudah, iaitu melebihi 50 peratus. Kiranya tidak, maka pilihan raya pusingan kedua akan diadakan, melibatkan dua calon yang mendapat undi tertinggi. Secara tidak langsung, kemenangan atau suara majoriti mutlak cuma praktikal menerusi bila berlaku persaingan satu lawan satu.

Ikut amalan sistem pilihan raya ini, bagi kes Parlimen Kota Kinabalu, calon DAP dan calon PKR perlu bertanding dalam pusingan kedua untuk pastikan calon yang menang mendapat sokongan majoriti. 8,770 pengundi yang mengundi calon BN dan Bebas, akan menentukan sama ada calon DAP boleh mengatasi undi calon PKR, di pusingan kedua. 

Oleh kerana sistem multi-parties territorial representation yang berasaskan kepada the first past the post, amatlah wajar Pas tidak bersendirian. Status quo yang melibatkan Pas dalam Pakatan Rakyat yang lebih ke arah mereliasasikan sistem dua parti, yang memberikan pengertian sebenar pilihan raya adalah penentu suara majoriti

Keputusan PRU2 (1964) bagi kerusi DUN Selangor, Kepong, yang mencatatkan kemenangan paling tipis. Dr Tan Chee Khoon (Socialist Front) dapat 7,487 undi mengatasi Chan Koon Hon (Perikatan) 7,485 undi. Peratusan undi Dr Tan ialah 50.0007 peratus.

Keputusan yang sama dicatat Zakaria Yaacob, calon Pas yang memenangi kerusi Kemuning, DUN Kelantan dalam PRU11 (2004). Beliau perolehi 6,078 undi, juga beza 2 undi, atasi undi calon BN, Dato' Nik Mohd Zain Nik Min, 6,076 undi. Zakaria perolehi 50.0008 peratus undi sah.

Mengambil kira kes Kepong dan Kemuning, adalah lebih demokratik dan lebih adil berbanding perolehan undi calon-calon yang menang dalam kes-kes Kuala Besut, Langkap, Ulu Kelantan Barat, Tumpat Barat dan Kota Kinabalu, serta 28 kes dalam PRN Sarawak, 1969 dan taburan kes-kes seumpama dalam PRU yang lain. 

  Pendekatan tahaluf siyasi yang diambil Pas adalah amat tepat demi mempastikan penafian kepada puak yang sedikit menguasai kumpulan besar. Ini menepati prinsip keadilan sejagat dan naluri kemanusiaan yang menuntut kebebasan bersuara dan kebebasan memilih serta memberi hak kepada yang sepatutnya. 



  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan