Sabtu, 9 Februari 2013

Bila Pas Bersendirian

SARANAN PAS KELUAR PAKATAN

Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas mencadangkan Pas keluar dari pakatan kerjasama, sebagaimana dilaporkan di muka depan Berita Harian 7/2/2013. Bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga mengutarakan idea yang sama. Beberapa pihak yang mengaku ahli seumur hidup Pas dan penyokong tegar Pas, mendesak kepimpinan Pas menarik diri dalam pakatan tahalus siasi bersama DAP dan PKR.

Keterlibatan Pas dalam menyertai pilihan raya di negara ini semenjak Merdeka menerusi 12 kali PRU menjadi parameter untuk mengukur kejayaan dan kegagalannya. Dimensi pengukuran prestasi Pas, dapatlah diringkaskan dalam 3 tahap: pasca Merdeka, pasca 13 Mei atau era Dasar Ekonomi Baru, periode 20 tahun terakhir (1990-2010).

Pasca Merdeka yang meletakkan Pas bertanding secara persendirian, bersaing dengan Perikatan dan parti-parti lain, menampilkan Pas mampu berdikari dan bersendirian. Secara bersendirian Pas mampu menguasai kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, dalam Pilihan Raya Umum Pertama (PRU1 - 1959). Pas menguasai 13 kerusi Parlimen: 9 di Kelantan dan 4 di Terengganu.

Namun begitu, Pas sudah pun ada asas tahalul siasi dengan Parti Negara di Terengganu. Pas tidak bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan, untuk membolehkan Ketua Parti Negara, Dato' Onn Jaafar berlawan satu lawan satu dengan calon Perikatan. Sungguhpun Perkatan (UMNO-MCA-MIC) menguasai kerajaan Persekutuan, kerajaan pertama selepas Merdeka, Perikatan cuma menang 1 kerusi Parlimen sahaja di Kelantan (Ulu Kelantan) dan 1 kerusi di Terengganu (Kemaman). 

Di luar Kelantan dan Terengganu, Pas tidak berjaya. Malah gagal memenangi kerusi tunggal yang dimenangi dalam pilihan raya pertama sebelum Merdeka, Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Kerusi dimenangi Haji Ahmad Tuan Hussien iaitu Krian, yang dijadikan 2 kerusi Parlimen: Krian Laut (sekarang Parit Buntar) dan Krian Darat (sekarang Bagan Serai). Pas cuma memenangi satu kerusi DUN iaitu Gunong Semanggol dalam PRU1.

Pas yang bertanding di kawasan luar bandar, bersaing merebut undi Melayu bersama Perikatan (yang diwakili UMNO), Partai Rakyat Malaya (yang bertanding sebagai calon  Socialist Front hasil gabungan dengan Pan Malayan Labour Party), dan Parti Negara.

Kepimpinan pusat Pas diturunkan bertanding di Pantai Timur: Yang Dipertua (sekarang Presiden), Dr Burhanuddin Al Helmy Mohd Nor (Besut), Timbalan YDP, Zulkifli Muhammad (Bachok), Naib YDP, Hassan Adli Hj Arshad (Kuala Terengganu Utara) dan Dato' Raja Abu Hanifah Abdul Ghani (Pasir Mas Hulu), Setiausaha Agung, Othman Abdullah (Tanah Merah), Ketua Dewan Muslimat, Khadijah Sidek (Dungun), AJK Pusat, Ahmad Abdullah (Kelantan Hilir). Semuanya menang dan berjaya menjadi Ahli Parlimen pertama. Dr Burhanuddin, Zulkifli, Hassan Adli dan Othman berasal dari Perak, Khadijah dari Johor, Abu Hanifah dari Negeri Sembilan dan Ahmad dari Pulau Pinang (lebih dikenali Haji Ahmad Prai).

Dalam PRU2 (1964), Pas alami kemerosotan. Hilang kuasa di Terengganu. Pas cuma pertahan 3 kerusi DUN, berbanding 13 dalam PRU1. Sementara bagi kerusi Parlimen, cuma mampu bertahan di Besut sahaja. Di Kelantan, walaupun Pas berjaya menguasai kerajaan negeri, tetapi pembangkang (UMNO dan MCA) telah berjaya mengurangkan kerusi Pas dalam DUN dari 28 kepada 21. Pas gagal pertahan kerusi Parlimen Kota Bharu Hilir. Kerusi Pas dalam Dewan Rakyat berkurang dari 13 (PRU1) kepada 9. Di luar Kelantan dan Terengganu, Pas cuma menang satu kerusi DUN sahaja; Utan Aji (Perlis).

Kehadiran tokoh-tokoh seperti Mohd Asri Haji Muda (Pas-Pasir Puteh), Zulkifli Muhammad (Pas-Bachok) kemudiannya diganti Abu Bakar Hamzah, setelah kematiannya, Dr Tan Chee Khoo (Socialist Front-Batu), Dr Mahathir Mohamad (Perikatan-Kota Star Selatan), D.R.Seenivasagam (PPP-Ipoh), S.P.Seenivasagam (PPP-Menglembu) di Dewan Rakyat, dalam tahun 1960an, menjadikan Parlimen satu institusi yang disegani secara tidak langsung menampilkan kehebatan Ahli Parlimen yang hebat berhujah, berani dan terbuka. Justeru media tahun 1960an lebih terbuka, berintergriti dan bebas, menjadikan laporan sidang Parlimen, satu medan yang sangat menarik, diminati dan antara rancangan atau ruangan yang popular.

Sebagai negara baru merdeka, persidangan Dewan Rakyat atau Parlimen, adalah medan pembuat dasar bertukar minda, fikiran dan maklumat untuk mengisi kemerdekaan. Pas menguasai kelompok pembangkang dan PRU3 (1969) memperlihatkan kemerosotan pencapaian parti-parti pembangkang ditebusi. Pas berjaya mempertahan kerajaan negeri Kelatan dengan kemerosotan kerusi DUN: 19 Pas, dan 11 pembangkang (UMNO-MCA). Di samping itu kerusi Parlimen di Kelantan: Pas 6, UMNO 4, setelah kerusi Parlimen Tumpat dan Tanah Merah dimenangi Perikatan.

Di luar Kelantan, prestasi Pas bertambah baik. Di Terengganu, Pas memenangi 11 kerusi DUN berbanding Perikatan 13 kerusi. Namun jumlah undi popular Pas lebih besar berbanding undi popular Perikatan. Ini kerana, Pas memenangi kerusi yang mempunyai jumlah pengundi ramai, khususnya kawasan bandar dan pinggiran bandar. Pas menguasai 2 kerusi Parlimen di Terengganu: Kuala Terengganu Selatan dan Dungun, tetapi gagal pertahan Besut.

PRU3 adalah bermulanya Pas bertapak di Kedah. Di Kedah, Pas menang 3 kerusi Parlimen dan 8 kerusi DUN. Pas berjaya menyingkirkan 3 tokoh UMNO: Dato' Senu Abdul Rahman, Menteri Penerangan di kerusi Parlimen Kubang Pasu Barat (sekarang Jerlun), Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen yang outspoken dan popular, di kerusi Parlimen Kota Star Selatan (sekarang Pendang), dan Mohd Zahir Haji Ismail, bekas hakim, di Kota Star Utara (sekarang Padang Terap dan Pokok Sena).

Di samping itu, Pas menang 1 kerusi Parlimen di Perak (Parit) dan 1 kerusi DUN (Kampung Gajah). PRU3 menjumlahkan 12 kerusi Parlimen dimenangi Pas. PRU3 juga mengubah lanskap politik masyarakat bandar apabila pembangkang berjaya menghantar 25 wakil rakyat dari kawasan bandar ke Parlimen menerusi PPP (4 kerusi), serta parti-parti baru: DAP (13 kerusi) dan Gerakan (8 kerusi). 

Era pasca Merdeka menampakkan Pas yang bertanding bersendirian muncul sebagai pembangkang utama. Mohd Asri Haji Muda, diangkat sebagai Ketua Pembangkang Parlimen yang pertama, bila jawatan itu diwujudkan selepas PRU3, bila bermulanya Parlimen Ketiga. Era ini mampu melonjakkan Pas sebagai satu political force untuk menyaingi Perikatan. Justeru itu, di samping mengekalkan kuasa kerajaan negeri di Kelantan, hampir merampas Terengganu. 

Era selepas Peristiwa 13 Mei dan dalam periode Dasar Ekonomi Baru (DEB), terutamanya selepas tersingkirnya Pas dari Barisan Nasional (1977), menampakkan ketidakupayaan Pas bersendirian. Ini dapat dikesan dari PRU5 (1978), PRU6 (1982) dan PRU7 (1986), di mana Pas gagal mengembalikan prestasi semasa bersendirian, dari 1959 hingga 1972. 

Dalam tahun 1978, Pas hilang kekuasaan di Kelantan, kegagalan di Terengganu, dan nafas Pas banyak dibantu, kejayaan memenangi beberapa kerusi di sebelah pantai barat: Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Kerusi Parlimen Pas cuma 5 sahaja dari PRU5: 2 dari Kelantan (Pengkalan Chepa dan Bachok), 2 dari Kedah (Kota Star dan Baling) dan 1 dari Pulau Pinang (Permatang Pauh). Di Kelantan, satu kelompok penyokong parti menubuhkan parti baru: Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), yang banyak membantu memerosotkan undi dan sokongan Pas.

Dalam PRU6, Pas mula memulihkan imej dan pengaruh, khususnya di Kelantan dan Terengganu. Di Kelantan, berjaya memenangi 4 kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN. Di Terengganu, dapat menguasai 5 kerusi DUN. Tetapi di sebelah pantai barat Semenanjung, pengaruh Pas menurun. Pas cuma mampu pertahan kerusi Parlimen Kota Star sahaja. 

Dalam PRU7, usaha Pas mencuba kerjasama dengan parti dan pressure groups, tidak mendatangkan hasil. Chinese Consultative Council (CCC) gagal membantu Pas menarik sokongan orang bukan Islam. Persefahaman pilihan raya dengan Partai Rakyat Malaya (PRM) dan parti-parti baru: Socialist Democratic Party (SDP) dan Parti Nasionalisme Malaysia (NasMa), menerusi Harakah Keadilan (HAK), bolehlah disifatkan gagal. 

DAP mengambil alih tempat Pas sebagai pembangkang utama dalam era ini. DAP tidak menyertai HAK. Sepanjang era ini, DAP berjaya main peranan pembangkang utama bila memenangi 9 kerusi dalam PRU5, 16 kerusi dalam PRU6 dan paling cemerlang 24 kerusi dalam PRU7. DAP yang bertanding bersendirian berjaya menjadi sebuah parti nasional kerana berjaya menguasai kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Atas sifat parti yang bertapak di luar batasan wilayah, imej DAP lebih terkedepan berbanding Pas. 

PRU7 bukan sekadar kegagalan persefahaman pilihan raya anjuran Pas tetapi menghukumkan Pas. Pas cuma satu kerusi Parlimen sahaja. Prestasi paling teruk untuk Pas, semenjak menyertai pilihan raya di negara ini.

Era Dasar Ekonomi Baru (1970-1990), era dikuasai oleh DAP sebagai pihak menjadi check and balance dalam arena politik tanah air. Justeru itu, dalam tempoh ini, Lim Kit Siang, pemimpin DAP, diberi peluang menjadi Ketua Pembangkang, walaupun dalam tempoh pendek sebelumnya, peranan tersebut diberikan kepada Dr Tan Chee Khoon, pemimpin PEKEMAS. 

Di penghujung DEB, kelompok pengundi Melayu dan luar bandar mula diresapi perlunya peranan orang Melayu menguasai kuasa pengimbang dalam politik tanah air, kesan kekecewaan kegagalan DEB, yang lebih cenderung kepada amalan nepotisme, kronisme dan kepuakan. Ini mendorong perlunya satu perubahan kepimpinan dalam UMNO selaku peneraju komponen parti pemerintah. Kesan kegagalan mesej perubahan dalaman itu, kelompok inginkan perubahan itu mendekati beberapa kumpulan berkepentingan untuk membuat perubahan dari luar.

Ruang kepada kebangkitan kepada perubahan tersebut, diambil kesempatan oleh Pas. Pas menyertai kolobarasi politik pilihan raya yang ditaja oleh parti serpihan, Semangat 46, bersama Berjasa dan Hamim dalam Angkatan Perpaduan Ummah. Di samping itu, Semangat 46 bekerjasama dengan DAP, PBS, PRM dan IPF, menerusi Gagasan Rakyat. PRU8 (1990), menghasilkan DAP memenangi 20 kerusi Parlimen, PBS 14, Semangat 46 dengan 8 kerusi dan Pas 7 kerusi. Pas berjaya merampas kerajaan negeri Kelantan, di samping menambah kejayaan di Terengganu.

Tahap kedua periode zaman lepas DEB, parti-parti pembangkang utama mengadakan persefahaman pilihan raya menerusi satu entiti. Pas, DAP, PRM bekerjasama dengan parti baru, Parti Keadilan Nasional (KeADILan) menerusi Barisan Alternatif. Kerjasama ini memberikan pulangan yang tinggi untuk Pas, menerusi PRU10 (1999).

Menerusi PRU10, Pas berjaya menguasai negeri Terengganu di samping mengekalkan kemenangan di Kelantan dengan penuh bergaya. Pas berjaya menyerbarluaskan pengaruhnya ke sebelah pantai barat, kawasan bandar dan pinggir bandar. Pas menang 27 kerusi Parlimen, serta mengatur kerusi-kerusinya dalam DUN Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang.

Dengan 27 kerusi Parlimen milik Pas, 10 DAP, 5 Keadilan, 3 PBS, membolehkan Presiden Pas, Fadzil Noor, diangkat sebagai Ketua Pembangkang, selepas kematiannya, diambilalih oleh TG Abdul Hadi Awang.

Selepas DAP keluar Barisan Alternatif kesan kemerosotannya, PRU11 (2004), telah merudumkan prestasi Pas dan rakan-rakannya. Kemunculan pakatan tak rasmi dalam PRU12 yang melonjakkan pencapaian parti-parti pembangkang Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan 82 kerusi Parlimen dan menguasai 5 DUN menyakinkan kerjasama politik untuk membolehkan ke arah perlawanan satu lawan satu serta ke arah sistem dua parti.

Daripada pengalaman Pas dalam 3 tahap di atas, yang menyaksikan pahit manis pengalaman dan percaturan politik, amat sukar untuk Pas kembali kepada tindakan bersendirian dalam tahun 1960an dulu. Perubahan tuntutan zaman yang lebih terbuka serta nasional sifatnya, memerlukan tindakan politik ke arah kejayaan dan penglibatan yang lebih luas. Secara bersendirian, akan menghadkan dan membataskan peranan Pas dalam keterlibatkan menyusun dasar-dasar awam demi kepentingan ummah dan negara.

Justeru itu, wajarkah Pas kembali bersendirian seperti dalam tahap awal pasca kemerdekaan dulu. Apakah Pas perlu mengekalkan tradisinya sebagai sebuah parti dalam lingkup keterbatasan wilayah, keterbatasan sektor dan keterbatasan sokongan khalayak. Perlukah Pas mengasingkan dokrinnya dalam pentas politik tanah air, yang nasional sifatnya, sekadar mewakili satu segmen khalayak yang terbatas pengaruhnya. Atau apakah saranan agar Pas bersendirian untuk mengembalikan Pas sebagai kuasa utama pembangkang dalam era pasca Merdeka (1959-1969) atau berhasrat untuk memudahkan UMNO/BN mengungguli PRU13.

Gong Xi Fa Chai buat rakan-rakan Tionghua 




1 ulasan:

  1. Satu persoalan yang memerlukan pengalaman dan percaturan politik yang cukup matang. Kalau Dr M mampu menghalalkan cara untuk mencapai matlamat. Apakah PAS tidak boleh membuat sesuatu yang sebegitu untuk menumbangkan UMNO BN?
    Mampukah PAS nanti menangani kelecekan politik DAP dalam percaturan kuasa sekirnya PR memenangi PRU13 tanpa mengorban kepentingan Islam?
    Kejayaan PAS keatas Kelantan, Kedah dan Terengganu dapat menghapuskan gejala RASUAH dalam UMNO BN tetapi adakah penyakit ini tidak berlaku didalam PAS, setidak2nya RASUAH moral. Pandangan saya didalam PAS pun ada isu RASUAH. Berapa ramai pemimpin PAS yang memenangi kerusi DUN yang benar2 berkhidmat untuk rakyat? Malah ada dikalangan mereka yang mengambil peluang untuk mengumpul harta didalam satu penggal yang diduduki. Apa akan terjadi sekiranya DAP yang bersama dalam PR nanti akan juga membawa budaya rasuah kaum Cina menular kedalam PR? Mampukah pemimpin PAS dan PKR menolaknya?
    Mohon saudara berkongsi pencerahan dalam isu PERGABUNGAN, MATLAMAT DAN BUDAYA untuk pemahan bersama didalam hal ini.

    BalasPadam