CALON ULAMAK DALAM PRU3
Berita muka depan harian Sinar Harian, Khamis 14/02/2013 yang meramalkan 3 tokoh muda: Dr Asri Zainal Abidin (bekas Mufti Perlis), Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis) dan Fathul Bari Mat Jahaya (Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sektretariat Ulama Muda Malaysia), akan bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke 13(PRU13), mendapat reaksi berbagai golongan setiap hari, dalam tempoh seminggu.
Golongan berpendidikan agama lebih diberikan peranan dalam partisipasi politik yang melibatkan masyarakat Melayu. UMNO telah mengambil satu pendekatan memberikan ruang lebih luas kepada golongan ini, khususnya menghadapi PRU13, dalam menghadapi cabaran Pakatan Rakyat yang lebih bersedia dan tersusun berbanding menjelang PRU12, 5 tahun lalu.
Mengimbas pengalaman lepas, peranan golongan berpendidikan agama dan ulamak yang mendominasi Pas sejak awal peranannya dalam politik kepilihanrayaan, seawal 1955, banyak membantu parti tersebut mendapat asas yang kukuh dan mampu bertahan hingga hari ini. Justeru itu, dalam menawan sebuah kerajaan negeri, yang dikuasai Pas, iaitu Kelantan, UMNO terpaksa meniru pendekatan Pas dengan memberi peranan yang lebih besar golongan tersebut dalam politik kepilihanrayaan.
Dalam pilihan raya pertama, Pilihan Raya Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, seorang ulamak telah memenangi kerusi tunggal dan pertama Pas, Haji Ahmad Tuan Hussien di Kerian. Diikuti pilihan raya sebaik mencapai kemerdekaan, golongan ini menguasai senarai calon yang dipertandingankan oleh Pas.
Dalam PRU1 (PRU 1959), 4 orang guru pondok "Tuanguru" berjaya dihantar ke dewan legislatif di Kelantan: TG Haji Hussien Rahimi (Parlimen Kota Bharu Hulu), TG Haji Daud Yusoff (kerusi DUN Tumpat Barat), TG Haji Harun Sulong (Lemal) dan TG Haji Che Hassan Haji Ismail (Tendong). Di samping itu, sebahagian besar Ahli Parlimen dan ADUN Pas adalah berlatarbelakangkan pendidikan agama.
Keempat-empat Tuanguru tersebut, berjaya pertahan kerusi masing-masing dalam PRU2 (PRU 1964).
Dalam PRU2 , UMNO telah berjaya dalam cubaan awal dengan penglibatan golongan ulamak, bila seorang guru pondok dari Pengkalan Pauh, Pasir Puteh, memenangi kerusi DUN Pasir Puteh Tengah.
Justeru itu, selepas gagal menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan dalam episod lompat parti, 1968, dalam PRU3 (PRU 1969), UMNO telah memilih golongan berkenaan sebagai sebahagian calonnya untuk mencabar Pas. PRU3 adalah usaha awal UMNO menggunakan calon latar belakang pendidikan agama untuk menyaingi Pas.
Dari 10 calon Parlimen, Perikatan menerusi UMNO meletakkan 4 calon aliran agama. Haji Mohd Salleh Haji Ibrahim (saudara Dato' Mohd Noor, Mufti Kelantan masa itu) di Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa), Haji Ahmad Haji Idris (bekas Kadhi Besar Kelantan) di kerusi Bachok, Haji Ali Haji Hussien (bekas Kadhi) di Kota Bharu Hulu, Dasuki Haji Ahmad (guru agama lepasan Al Azhar dan dari keluarga ulamak terkenal) di Pasir Mas Hulu.
Di peringkat DUN, Perikatan mengemukakan 7 calon aliran agama. Haji Mohd Noor Hj Daud (bekas Imam) di Kota Bharu Tengah, Haji Mohamad Idris (guru pondok) di Kota Bharu Pantai, Haji Mohamad Haji Ismail (guru pondok) di Pasir Puteh Tengah, Zakaria Haji Taib (guru pondok) di Pasir Puteh Utara, Haji Mohd Amin Haji Othman (bekas Kadhi) di Bachok Tengah, Ismail Haji Mamat (bekas Imam) di Bachok Utara, Haji Mohd Nor Abdullah (guru pondok) di Tendong.
Dari 11 calon tersebut, cuma Haji Mohamad Haji Ismail sahaja yang menang dan mengekalkan kerusinya di kerusi Pasir Puteh Tengah (sekarang Limbongan dan sebahagian Gaal). Beliau cuma menang dengan majoriti yang merosot, 15 undi sahaja, berbanding lebih 400 undi dalam PRU2.
Selepas kegagalan strategi meletakkan calon aliran agama dalam PRU3 di Kelantan, UMNO tidak lagi menggunakan penglibatan besar golongan berkenaan. Dalam 9 siri pilihan raya berikutnya yang berakhir dengan PRU12, UMNO cuma meletakkan satu atau dua orang calon aliran ini, di negeri-negeri tertentu.
Isu ini diketengahkan semula sebagai memenuhi dakwaan UMNO pembela agama. Ada penceramah UMNO mengeluarkan pandangan haram mengundi calon Islam yang bertanding atas nama Pas atau parti lain, selain UMNO. UMNO yang menggunakan berbagai isu agama berkait dengan masa depan orang Melayu, dalam usaha mempastikan sokongan terhadap Pas menurun. Di samping untuk memecahkan kerjasama Pas dengan DAP menerusi Pakatan Rakyat, demi memudahkan misi UMNO/BN terus mendominasi kekuasan kerajaan Persekutuan dan negeri.
Akhir-akhir ini pun, penyokong dan pemimpin peringkat menengah dan bawahan UMNO sudah memakai kopiah, setengahnya berserban. Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2012, ada gerai jual kopiah berlambangkan UMNO. Suatu ketika dulu, guru-guru diarahkan meninggalkan kopiah putih di pintu pagar sekolah. Songkok hitam sahaja dibenarkan. Kesan dari kemerosotan prestasi BN dalam PRU12, lambang-lambang keagamaan mula diminati UMNO, untuk menyaingi Pas.
Interpretasi "politik suku agama suku" yang dipopularkan oleh pendokong UMNO dulu, sudah semakin dinafikan dan beransur menerima hakikat Islam adalah syumul dan merangkumi seluruh bidang kehidupan. Amatlah diharapkan penyertaan calon-calon berpendidikan agama mewakili BN dalam PRU13 nanti akan menyuburkan kesyumulan Islam. Ajaran dan framework Islam, bukan sekadar hebat di dalam kitab, dalam bilik kuliah dan medan perbincangan di studio berhawa dingin.
Amatlah dinantikan dan diharapkan calon-calon berlatar belakang pendidikan Islam akan mewarnai kerancakan PRU13 yang disifatkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebagai ibu segala pilihan raya. Janganlah menjadikan kegagalan UMNO yang membarisi calon-calon demikian dalam PRU3 di Kelantan dulu, menjadi satu keperitan dan igauan yang sukar dilupakan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan