Jumaat, 28 Disember 2012

Angka 13

2013 = PRU13 = 13 Mei

Tahun 2013 akan mencatatkan beberapa peristiwa penting. Yang pastinya Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), walapun tidak pernah dijanjikan oleh pemegang kuasa menyebut tarikh pilihan raya, sebagaimana amalan beberapa negara jiran, kecuali Singapura.

Penggal Parlimen semasa (Parlimen ke 12), akan berakhir 28 April 2013. Secara langsung, Parlimen akan tergugur dengan sendirinya, andainya Perdana Menteri tidak mengadap Yang Dipertuan Agung, untuk membubarkan Parlimen. Maka akan terbubarnya Parlimen secara otomatis sebagaimana jatuhnya nangka masak ranum ke bumi (meminjam kata-kata DS Rais Yatim takkala mengulas hayat kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan Dato' Ahmad Rais, selepas krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas PRU12).

Tahun 2013 memungkinkan, PRU13 akan diadakan lebih awal, sebelum rapat ke dinding. Tarikh yang munasabah ialah semasa cuti persekolahan di penghujung bulan Mac (23 hinga 31 Mac) . Parlimen akan dibubarkan pada minggu pertama Mac, iaitu selepas Tahun Baru Cina (10 dan 11 Februari), dan selesai Chop Go Meih, minggu akhir Februari.

PRU13 sebelum Tahun Baru Cina, kurang munasabah kerana Parlimen kena bubar dalam bulan Januari. Pendaftaran untuk BR1M 2.0 berakhir 31 Disember 2012. Proses permohonan memakan masa, paling cepat 2 minggu, diikuti pengurusan agihan. Cara kerajaan BN, mengambil peluang bertemu orangramai, pengundi khasnya, memerlukan penjadualan majlis, yang memakan masa. Kerajaan BN juga mengambil peluang menggunakan jabatan dan agensi kerajaan menyumbang dan mengagih beberapa bantuan, di awal tahun, peruntukan masih di peringkat perancangan. Justeru itu, PRU13 di awal tahun, kurang munasabah.

Rang Daftar Pemilih Suku 4, 2012, melibatkan pendaftaran pemilih, pertukaran alamat dan pemotongan, bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember 2012, paling cepat akan dipamerkan untuk semakan dan bantahan, ialah minggu ketiga Januari 2013. Selepas proses bantahan dan perbicaraan, ianya akan diwartakan sebulan kemudian. Justeru itu, jika PRU13 diadakan sebelum Mac, bermakna menafikan  sebahagian rakyat yang mendaftar jadi pemilih dalam tahun 2012.

Ada rasionaliti, PRU13 di akhir Mac berdasarkan 5 faktor. Pertama: pilihan raya perlu dipanggil selepas genap lima tahun selepas PRU12, yang diadakan pada 8 Mac 2008. Ini untuk menjaga imej dan maruah, pihak BN yang berkuasa perlu mengembalikan kepada rakyat untuk mandat baru. Kerajaan Persekutuan perlu elakkan digambarkan gila kuasa, takut kepada kuasa rakyat dan tidak yakin untuk pertahankan kuasa. Tempoh cukup lima tahun ini pernah berlaku kepada PRU3 (1969). Parlimen dibubarkan awal Mac 1969, penamaan calon 23 Mac dan hari mengundi 10 Mei. PRU2 (1964) diadakan pada 24 April 1964, di mana tarikh PRU3 itu, adalah menepati pilihan raya lima tahun sekali. 

Sungguhpun PRU4 yang diadakan pada 24 Ogos 1974, juga menjangkau lima tahun selepas PRU sebelumnya iaitu PRU3, tetapi setelah ditolah tempoh negara di bawah undang-undang darurat yang ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selama satu tahun setengah yang menggantung fungsi badan lagislatif, Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri, tempoh sebenar ialah tiga tahun setengah. Tiga tahun setengah demokrasi berjalan, badan-badan lagislatif berfungsi.

Pengalaman kerajaan Perikatan dalam PRU3, di mana penguasaan kerusi Parlimen merosot, kerajaan negeri Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang, kegagalan membentuk majoriti mudah di Perak dan Selangor, gagal merebut Kelantan, sementara jumlah undi Pas lebih tinggi dari jumlah undi Perikatan, walaupun kerusi Perikatan mengatasi kerusi Pas dalam DUN Terengganu. Pengalaman pahit kerana pilihan raya diadakan bila genap lima tahun, menyebabkan bermula PRU5 (1978) hingga terakhir, PRU12 (2008), tempoh antara satu pilihan raya adalah antara 3 tahun setengah hingga 4 tahun setengah sahaja.

Kedua; akhir Mac sebagaimana pelaksanaan BR1M siri pertama dulu, adalah masa agihan BR1M 2.0. Tambahan pula tahun ini, agihan ini melibatkan pengundi baru dan pengundi bujang. Mungkin sedikit sebanyak dapat menawan hati pengundi tertentu hasil pemberian berkenaan.

Ketiga; pengundi yang mendaftar dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun 2012, sempat diwartakan. Pengundi kali pertama yang akan disogokkan dengan BR1M dalam tempoh masa berkenaan, diharapkan akan memihak kepada parti kerajaan. Jika pilihan raya lambat, pemberian BR1M kurang berkesan dan ianya sudah dilupai.

Keempat; tempoh ini diambil kira tiga faktor di atas, dapat mengelakkan pilihan raya melewati tarikh Parlimen terbubar dengan sendirinya. Bukan sekadar menjatuhkan imej antara kerajaan paling lama di dunia, ianya akan menjadi bahan cemuhan, kerana tiada dalam sejarah, pilihan raya di negara kita, sampai ke tahap dewan lagislatif terbubar secara otomatis.

Kelima; jika pilihan raya selepas 28 April, iaitu dalam tempoh 60 hari bagi negeri-negeri Semenanjung dan 90 hari bagi Sabah dan Sarawak, ada pihak takut kepada 13 Mei. Ketua Wanita UMNO, DS Shahrizat Abdul Jalil dalam ucapannya di Perhimpunan Agung UMNO (Baru) tempoh hari, mengingatkan kalau UMNO kalah dalam PRU13, dibimbangi akan berlaku Peristiwa 13 Mei sekali lagi. Atas logik ini, bagi BN perlulah elak melepasi tarikh 13 Mei.

Dalam tempoh dua tahun terakhir, bermula awal 2011, kita sering dan sudah lali diterjah dengan berbagai ramalan buruk, andaian negatif dan persepsi ketidakstabilan, cetusan dari PRU13. Angka 13, sangat ditakuti dan diberi berbagai andaian yang tidak mengungtungkan masa depan Malaysia. Angka 13, dikaitkan PRU13 dengan 13 Mei. Justeru itu, tahun 2013 yang kita doakan akan berlaku PRU13, bukanlah tahun sial dan tahun malang bagi negara kita. Lantaran itu, ramalan awal menyebut, PRU13 diadakan dalam tahun 2011 atau 2012, kerana ada kalangan tertentu takut ke angka 13, angka 2013.

13 adalah angka berkait dengan amalan setiap orang Islam dalam kehidupan harian. Angka 13 amat penting dalam perjalanan hidup peribadi muslim. Rukun solat ialah 13, yang popular dengan Rukun 13. Tanpa Rukun 13, solat tak sah, batal dan sia-sia. Lantaran itu, perlulah lihat angka 13 itu dari sudut positif. janganlah bila dipertontonkannya, terbayang 13 Mei, yang menyayat dan memilukan.

Angka 13 berkait dengan akidah. Sifat zat Allah diterangkan menerusi 13 sifat, walaupun ada ditambah menjadi 20, menjadikan huraian sifat Allah itu dalam konsep Sifat 20, yang asasnya 13 sifat.

Bagi orang Melayu, dalam amalan mereka menentukan atau membuat perkiraan memutuskan sesuatu berasaskan hitungan: Allah, Muhammad, dajjal pada kiraan 1, 2, 3, kemudian 4,5,6, seterusnya 7,8,9, diikuti 10,11,12, berikutnya 13,14,15. Di mana 13 jatuh kepada giliran hitungan jatuh kepada Allah. Di tambah lagi, satu lagi amalan dan keyakinan dalam masyarakat Melayu ialah hitungan: tanah, air, api, angin pada kiraan 1,2,3,4, diteruskan 5,6,7,8, selanjutnya 9,10,11,12, diteruskan 13,14,15,16. Ertinya angka 13 jatuh ke elemen tanah. Mengikut perkiraan ini, angka 13 adalah kombinasi Allah dan tanah, yang memberi petanda yang paling baik, dalam melakukan sesuatu: 13 haribulan adalah tarikh terbaik untuk mendirikan rumah, mengadakan majlis kahwin, hari meletak kerja dan sebagainya.

Tahun 2013, iaitu tahun ke 13, dalam abad ini, yang terkandung dalamnya angka 13, memiliki pengertiannya yang tersendiri dan sangat istimewa. Mungkinkah keistimewaan angka 13 dalam 2013, akan membuahkan sesautu yang amat istimewa tahun ini. Seandainya PRU13 menjadi realiti, PRU yang ke 13 dalam sebuah negara merdeka, diharap memperlihatkan keistimewaan dan kelainan serta idealnya, berbanding PRU-PRU yang pernah kita lalui.

Harapan yang paling besar bagi setiap pencinta demokrasi ialah semoga demokrasi dipelihara, dihormati dan dipertahankan. Minta dijauhkan dengan izin Allah, demokrasi ditangguhkan dan institusi legasilatif dinafikan peranannya, sebagaimana selepas 13 Mei 1969.  Kedatangan tahun baru 2013, akan menjanjikan angka 13 sebagai harapan baru untuk menjadikan negara kita lebih demokratik, lebih bertamadun dan lebih maju, serta menjanjikan keamanan yang berkekalan.

Selamat tahun baru, 2013, dengan seribu harapan

 



   


Tiada ulasan:

Catat Ulasan