HORMATI DEMOKRASI, JANGAN UGUT
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang baru selesai hujung minggu lalu, setelah bersidang selama 3 hari, 29 November hingga 1 Disember, lebih menampakkan serangan ke atas pihak lawan UMNO. Secara relatifnya, menyalahkan segala kelemahan parti ke atas pihak lain, yang menggambarkan UMNO sebuah pertubuhan yang tak boleh disentuh, dikritik dan dihina. Kononnya ianya parti keramat, yang mendominasi kerajaan sejak 57 tahun lalu. Taksub inilah, PAU tempoh hari, lebih merupakan satu pentas atau medan membelasah pihak lawan, tanpa tolak ansur, tanpa muhasabah diri.
Perwakilan berucap penuh dengan maki hamun. Maki hamun pula ditujukan kepada mereka di luar gelanggang atau mereka yang tiada sangkut paut dengan mesyuarat agung parti. Seolah-olah maki hamun ditujukan kepada sebilangan dari 2,718 perwakilan yang hadir hari itu, yang disahkan sabotaj parti, mengkhianati parti dan tidak menyokong calon BN dalam Pilihan Raya Umum 2008 (PRU12).
Dalam menghadapi PRU13, medan yang paling sukar dalam sejarah pilihan raya di negara ini bagi UMNO/BN, mengikut setengah pendapat, malah pemimpin kanan UMNO sendiri akui sebagai pilihan raya hidup mati UMNO. Tumpuan PAU ke arah membaiki prestasi UMNO/BN dalam PRU lepas diabaikan, lantaran semangat yang meronta-ronta dengan retorik maki hamun, menyaksikan sukar kita khalayak awam, menyenaraikan strategi parti dalam memantapkan jentera parti menghadapi PRU13.
Apakah dengan berbekalkan, strategi berbentuk ganjaran materialistik seperti BR1M 2.0, bonus kakitangan awam 1 bulan setengah, dan sebagainya, menjamin mengekalkan sokongan serta menarik sokongan baru. Lantaran menyedari strategi ini adalah tindakan dalam masa pendek dan tidak kekal kerana bila wang itu sudah habis dalam poket individu, mungkin sokongan akan beralih, maka untuk jaminan jangka panjang supaya sokongan pemilih bertahan lama, diterjahkanlah dengan retorik maki hamun terhadap pihak lawan. Apakah jaminan mentaliti kerendahan moral sebegini akan menarik khalayak ramai menyokong UMNO/BN dalam PRU13.
Di samping itu, modal ugutan digunakan untuk memperkukuhkan serangan kepada pihak lawan dan perwakilan yang berminat untuk menolak calon UMNO/BN dalam PRU akan datang. Yang peliknya, macam mana perwakilan di peringkat bahagian, boleh menghantar perwakilan menerusi pemilihan 7 orang perwakilan bahagian dan kepimpinan bahagian, yang dikhuatiri akan menolak calon UMNO/BN. Ugutan yang paling serius disuarakan oleh ucapan Ketua Pergerakan Wanita, yang mengugut Peristiwa 13 Mei akan berlaku, jika UMNO kalah.
Mungkinkah peristiwa seumpama 13 Mei akan berlaku. Jika berkemungkinan besar akan berlaku, apakah dasar pemerintah memupuk perpaduan kaum, intergrasi kaum, dasar kebudayaan kebangsaan, pengubahan demi pengubahan kurikulum persekolahan, dasar-dasar ekonomi ke arah penghapusan pengenalan kaum, sejak lebih 40 tahun lalu.
Sudah lebih 50 tahun rakyat ditanam dengan sindrom ugutan demi ugutan. Dalam tahun 1970an, komunis akan serang Malaysia, sedangkan Regimen ke 8 dan Regimen ke 12 Partai Komunis Malaya, memiliki anggota yang beberapa kerat saja. Regimen ke 10, PKM, yang lebih dominan pun, yang beroperasi di sempadan Malaysia-Thai semakin lumpuh dan kekurangan kekuatan, dengan kekuatan cuma di sekitar 100 anggota sahaja.
Apakah apa yang dijelmakan menerusi ucapan sama ada pemimpin atau perwakilan mencerminkan, UMNO menyedari hayatnya menuju penghujung. Ucapan-ucapan lebih menjurus kepada serangan kepada pihak musuh, dengan amat sedikit usaha untuk muhasabah mencari kelemahan dalaman parti dan para anggota yang terdiri dari 3,386,274 di seluruh negara. Sepatutnya dengan keanggotaan seramai itu iaitu 25 peratus dari jumlah 13.1 juta pengundi yang diwartakan oleh SPR setakat ini, UMNO tidak perlu gusar berdepan dengan PRU13. Andainya peratus keluar mengundi dalam PRU13 di sekitar 80 peratus sebagaimana jangkaan SPR, UMNO memerlukan tambahan 15 peratus pengundi Malaysia yang menganggotai 13 lagi parti komponen BN, untuk mencatat angka 40 peratus pengundi, sudah menjamin UMNO/BN terus menguasai kerajaan.
Soalnya apa yang dibimbangkan dengan menjadikan PAU sebagai medan maki hamun yang akan memudahkan UMNO akan ditolak oleh pengundi Malaysia, khususnya mereka yang tidak berparti, mereka yang mengamati nilai-nilai demokrasi tulen, mereka yang peka dengan realiti politik baru yang menghendaki politik berhemah, telus, tidak rasuah, tidak membazir dan akur kepada kebebasan bersuara. Apa yang dipaparkan dalam PAU itu lebih merupakan hari-hari terakhir sebelum meninggalkan segala kemewahan, kemudahan dan kekuasaan.
Tidaklah sesuatu yang ganjil dan luar biasa, bila sang Presiden memohon maaf atas segala kesilapan. Dalam budaya Melayu, kita mohon maaf takkala kita hendak berpisah sama ada berpisah buat sementara atau untuk selama-lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan