Rabu, 12 Disember 2012

Kerjasama Pas-UMNO

KERJASAMA PAS-UMNO: TERJAMINKAH TERBENTUKNYA SEBUAH KERAJAAN UNITY

Konsep kerajaan unity atau kerajaan perpaduan yang dipopularkan oleh kalangan tertentu dalam parti UMNO, tiga tahun lalu, masih lagi kedengaran. Konsep kerajaan unity ini adalah satu agenda untuk mengatur satu kerjasama antara dua parti yang mewakili orang Melayu yang terbesar: Pas dan UMNO (Baru) .

Kedua-duanya adalah parti utama yang lebih senior, berbanding parti-parti lain, yang berpengaruh dalam masyarakat Melayu, yang juga dikenali sebagai parti yang mendominasi sektor desa. Pas lebih senior, ditubuhkan dalam tahun 1951, sementara UMNO (Baru) ditubuhkan dalam tahun 1988, namun begitu UMNO didakwa lebih lama usianya mengambil roh UMNO yang ditubuhkan dalam tahun 1946 dan dimatikan dalam tahun 1988.

Idea memujuk agar dibentuk kerajsama Pas-UMNO, kesan langsung dari prestasi UMNO dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional, yang merudum dalam Pilihan Raya Umum 2008 (PRU12). PRU12 mempamirkan, perubahan besar corak pengundian yang menghasilkan kemerosotan undi BN di seluruh negara khususnya di negeri-negeri di Semenanjung, berbanding 11 PRU sejak merdeka. Kejatuhan kerajaan BN di negeri-negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak, mengajak kalangan tertentu dalam UMNO dan mereka yang bersimpati dengan UMNO, mengemukakan agenda kerjasama Pas-UMNO. Agenda menerusi kerajaan unity dengan harapan menjamin UMNO akan terus berkuasa memegang teraju Kerajaan Persekutuan. Di samping meredakan tekanan kecemasan yang dihadapi UMNO,  setelah rekod ketelusan tadbir urus negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, mengatasi pentadbiran zaman pemerintahan BN dulu. 

Amalan kerajaan unity ini, dapat dipertontonkan dari amalan pembentukan kerajaan di Indonesia, selepas Pemilihan Umum (Pemilu) atau PRU, di mana mereka yang terpilih menduduki kerusi Dewan Pemesyuaratan Rakyat, akan dipilih menduduki kabinet. Tidak ada konsep anggota penyokong kerajaan atau barisan pembangkang.

Selepas PRU12, usaha-usaha merintis kerajaan kedua-dua parti ini, bergerak secara sulit dan persendirian, tetapi hingga kini, belum menampakkan hasil. Namun demikian, ianya tidak terhenti, dan suara-suara yang menyokong gerakan itu berterusan walaupun dalam skala kecil.

Pilihan Raya Kecil Manik Urai pada 14/07/2009, di kala isu kerjasama sedang popular, memberi kesan besar kepada prestasi Pas. Majoriti kemenangan Pas menjunam, dari 1,370 undi atau 13.51 peratus dalam PRU12 kepada cuma 65 undi atau 0.61 peratus. Undi Pas merosot dari 5,764 atau 56.67 peratus dalam PRU12, turun ke 5,348 undi atau 50.31 peratus. Secara langsung, meningkatkan undi calon UMNO/BN dari 43.33 peratus ke 49.69 peratus. Isu besar yang memakan hati pengundi, Pas memandang sepi idea kerjasama dengan UMNO demi perpaduan Melayu. Timbalan Presiden Pas (masa itu) Nasharuddin Mat Isa, yang sinonim dengan idea kerajaan unity, dikecualikan menyertai kempen pilihan raya.

Pengundi di luar bandar yang menjadi latar belakang demografi Manek Urai, termakan momokan dan idea kerajaan perpaduan. Khalayak pengundi luar bandar yang terbatas liputan maklumat dan realiti politik nasional semasa, meletakkan kesalahan ke atas bahu Pas, kegagalan gagasan kerajaan perpaduan.

Berdasarkan fakta hasil PRU12, UMNO yang bertanding atas nama BN, di 117 kerusi Parlimen di Semenajung dan Sabah, dan menang 79 kerusi (65 di Semenanjung, 13 di Sabah dan 1 di Labuan). UMNO mengetuai kerajaan dengan 140 kerusi Parlimen bersama 14 rakan komponen BN.

Pas bertanding di 66 kerusi Parlimen (64 di Semenanjung, 1 Sabah dan 1 Labuan) dan menang 23 kerusi, semuanya di Semenanjung.

Jika Pas terima gagasan kerajaan perpaduan tajaan UMNO, menjadikan jumlah kerusi UMNO campur Pas: 79 campur 23, jumlahnya 102 kerusi. Logiknya, gagal bentuk kerajaan Persekutuan, kerana baki 120 kerusi Parlimen dimiliki oleh parti-parti lain. Perpaduan UMNO-Pas sebenarnya gagal membentuk kerajaan Persekutuan, kerana gagal memperolehi simple majority, di Parlimen.

Harus diingat, Parti Keadilan Rakyat yang bertanding di 97 kerusi Parlimen (64 di Semenanjung dan 33 di Sabah dan Sarawak) memenangi 31 kerusi. 20 dari kerusi tersebut dimenangi menerusi calon Melayu. Dalam agenda perpaduan Melayu menerusi kerajaan perpaduan, tidak dicadangkan PKR ikut serta. Mengapa tidak jemput sama PKR, undang Pas sahaja. Justeru itu, gagasan kerajaan perpaduan itu cuma gimik politik dan cetusan murahan, untuk mengabui mata rakyat, yang dihidangkan dengan juadah maklumat terbatas dan terpilih, demi melanjutkan hayat UMNO sahaja. Di samping, untuk memulihkan semangat UMNO yang dalam kondisi cemas kemungkinan akan hilang kuasa.

Yang digempurkan ialah Pas perlu menyertai kerjasama dengan UMNO. Tiada cetusan diketengahkan mengapa perlunya Pas bersama BN. Yang ditumpukan ialah perpaduan Melayu, bukan perpaduan nasional, seolah-olah UMNO adalah BN dan BN adalah UMNO. Seolah-olah cubaan meletakkan parti-parti komponen lain di Semenanjung khususnya: MCA, MIC, Gerakan dan PPP, di beranda. Menunggu masa untuk ditendang keluar, dan Pas akan mengambil tempat. Keempat-empat parti berkenaan cuma menyumbangkan hanya 20 kerusi Parlimen sahaja, berbanding Pas 23 kerusi. Dalam PRU12, MCA bertanding 40 kerusi Parlimen menang 15, MIC bertanding 9 menang 3, Gerakan meletakkan 12 calon menang 2, sementara PPP yang bertanding satu kerusi, kalah. Empat parti ini meletakkan 62 calon, berbanding Pas 64 calon, di Semenanjung.

Tidak pernah kedengaran Pas perlu menyertai BN demi penguasaan suara Melayu dan Islam dalam kerajaan Persekutuan. Justeru itu, menampakkan ketidak seriusnya pelawaan untuk mengadakan kerjasama Pas-UMNO. Atau apakah bentuk kerjasama yang sebenarnya. Jika hasrat yang tinggi untuk memperkukuhkan penguasaan Melayu dan Islam, mengapa tidak diundang sama PKR, sungguhpun parti berbilang kaum, terasnya adalah Melayu, berasaskan bahagian besar kawasan pilihan raya atau kerusi Parlimen atau DUN yang dikuasai.

Hasil PRU12, PKR melahirkan 20 Ahli Parlimen Melayu, sementara Parti Bumiputera Bersatu (PBB) anggota komponen BN, yang memiliki 14 Ahli Parlimen, 10 darinya adalah beragama Islam. Kedua-dua parti ini adalah parti berbilang kaum, tetapi PBB berfokus kepada Bumiputera. UMNO dan Pas tidak mampu membentuk kerajaan tanpa disertai parti-parti lain, untuk mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi. Dalam penawaran kerajaan perpaduan, yang ditonjolkan perpaduan Melayu, perpaduan Islam, demi masa depan orang Melayu, tanpa disebut undangan atau peranan parti-parti lain.

Andainya dikumpulkan Ahli-ahli Parlimen yang beragama Islam sahaja: UMNO, Pas, PKR dan PBB,  79+23+20+10 menjumlahkan 132 kerusi, cukup untuk bentuk kerajaan. Idea ini tidak pernah ditonjolkan dan dihighlightkan. Maka terbentuklah kerajaan yang dikuasai oleh satu kaum dan kaum lain pula menguasai kerusi pembangkang. (Angka-angka di atas, adalah berasaskan kepada PRU12, belum dikira kematian dan lompat parti beberapa Ahli Parlimen selepas PRU12).

Ini amat bahaya, satu realiti politik yang tidak diingini oleh mana-mana pihak yang cintakan keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan. Satu catatan RS Milne & Diane K. Mauzi dalam karya mereka: Politics and Government in Malaysia, yang menyimpulkan jika orang Melayu bersatu sesama Melayu, orang bukan Melayu pula bergabung sesama bukan Melayu, akan menjurus kepada pergaduhan, yang boleh meruntuhkan negara.  





Tiada ulasan:

Catat Ulasan