Sabtu, 8 Disember 2012

Provokasi untuk meranapkan demokrasi

PROVOKASI UNTUK MENYINGKIRKAN NILAI-NILAI MURNI DEMOKRASI


Kegagalan menyaingi lawan politik secara demokratik mendorongkan terbinanya ruang untuk melemahkan lawan menerusi provokasi. Pendekatan provokasi biasanya digunakan apabila gagal untuk mengatasi hujah, fakta, kekuatan pengaruh dan tarikan massa yang dimiliki pihak lawan.

Peristiwa gangguan ceramah Pakatan Rakyat di Batu 8 1/2, Gombak, minggu lepas lepas, adalah satu manifestasi kegagalan penghayatan nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan berkumpul dan kebebasan berorganisasi yang menjadi asas demokrasi. Gangguan dari pihak Pemuda UMNO Gombak terhadap majlis ceramah Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membarisi antara penceramahnya DS Anwar Ibrahim, menampakkan bermula politik samseng ekoran galakan dari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari. Mesyuarat agung tahunan parti yang sepatutnya medan para pemimpin menegur ahli, sebaliknya pemimpin dan ahli yang jadi perwakilan berucap penuh dengan maki hamun terhadap pihak lawan.

PAU seolah mengabsahkan politik samseng yang dipenuhi dengan ugutan, antaranya ugutan akan berlakunya Peristiwa 13 Mei sekali lagi, andainya UMNO tewas dalam PRU13. Justeru itu, tidak pelik, dua hari sahaja selesai PAU, bermulalah episod politik samseng, lanjutan daripada beberapa gangguan tidak demokratik beberapa ceramah anjuran Pakatan Rakyat amnya, dan PKR khususnya, sebelum ini.

Kedua-dua pihak, UMNO dan PKR saling menyalah antara satu sama lain, dalam kes ceramah di Batu 8 1/2 Gombak. Bagi mereka yang berfikiran waras, UMNO yang melakukan provokasi dan anti demokrasi. UMNO mengadakan majlis taklimat di premisnya berhampiran majlis PKR malam itu. Kerana, mengikut Seksyen 9, Public Assembly Act (PAA) 2012, pihak yang akan mengadakan ceramah perlu mengemukakan permohonan permit, tidak lewat dari 10 hari sebelum majlis berlangsung. Sesuatu ceramah, perlu dihebohkan lebih awal. Biasanya, paling lewat 3 atau 4 hari, poster sudah dipasang mewarwarkan majlis berkenaan. Takkanlah pihak UMNO tiada dalam pemerhatian dan pengetahuan bahawa majlis ceramah pihak lawan akan berlangsung: masa, tarikh dan lokasinya. Tak masuk akal tak tahu. Tambahan pula, majlis ceramah tersebut, bukan malam minggu atau malam hari cuti, yang menjadi rebutan untuk mengadakan majlis. Gombak adalah kawasan bandar, kependudukan padat, sebaran maklumat lebih cepat dan mudah.

Ini taktik lama, tahun 1960an lagi. Bila ada majlis ceramah parti lawan, UMNO cawangan akan adakan majlis di lokasi berhampiran secara mengejut: majlis tahlil, taklimat jentera parti, majlis marhaban, majlis berzanji, majlis hiburan dan sebagainya. Pengalaman ini berlaku di seluruh negara, sejak 40 hingga 50 tahun lalu. Tiada orang yang boleh nafikan.

Dalam wacana anjuran akhbar Sinar Harian, " Politik Samseng Di Mana Maruah Kita", pada 6/12/2012 lalu, rumusan dari keempat-empat ahli panel bahawa di pihak pemimpin politik yang mendorong kepada politik samseng ialah bila pemimpin rakus kuasa. Sang pemimpin yang rakus kuasa mendorong menghasut pengikut atau penyokong. Justeru itu, penyokong atau ahli parti yang taksub akan bertindak ganas dan melakukan provokasi ke atas pihak lawan.

Provokasi dalam bentuk mengganggu ceramah atau majlis pihak lawan adalah satu manifestasi keangguhan dan bodoh sombong demi kerakusan kuasa. Dengan kata lain, manusia yang gila kuasa, akan melanggar peraturan dan undang-undang bikinan sendiri. Demokrasi dinilai mengikut acuan sendiri demi mempastikan kuasa tidak terlepas tangan. Dengan kata lain, kalau dalam perlawanan bola sepak, tugas pengadil ialah mempastikan kemenangan sebagaimana diaturkan. Pasukan A mesti menang dengan apa cara sekali pun. Mala petaka jika Pasukan A kalah.

Menodai nilai-nilai demokrasi yang disanjung selama ini: kebebasan bersuara, kebebasan berkumpul, kebebasan memilih, adalah satu kemunafikan yang menggambarkan betapa rendahnya nilai moral dan etika sesuatu bangsa. Berilah ruang yang sama rata, berilah khalayak pengundi peluang mengumpul kepelbagaian maklumat sebelum mereka membuat keputusan di peti undi.

Ceramah, rapat umum, debat atau seumpamanya adalah medan bagi khalayak pengundi menilai, menganalisis dan mengadili semaksima mungkin demi penyuburan dan kemurniaan demokrasi, sebagaimana kita melihat demokrasi itu sebagai cara yang lebih adil dan sesuai untuk mengurus, mentadbir dan mengorganisasikan kelompok-kelompok manusia, yang membentuk institusi kenegaraan.

Lainlah jika ada pihak yang memahami demokrasi itu akan tercapai apabila agihan kekayaan secara sama rata dan adil di kalangan penduduk, tanpa membuka ruang kebebasan-kebebasan hak kemanusiaan. Demokrasi  amalan negara-negara fahaman komunisme ini meletakkan persamaan hak itu dari sudut ekonomi, berbeza persamaan politik yang memperkenalkan politik kepilihanrayaan untuk membentuk negara. Apakah mereka yang rakus mempertahankan kuasa dengan melakukan sabotaj pihak lawan, tanpa memberi ruang khalayak mendapat maklumat seimbang dan adil, lebih menyakini demokrasi amalan komunisme dari demokrasi yang dipelopori masyarakat Greek ribuan tahun lalu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan