Isnin, 24 Disember 2012

DAP dan kerusi Menteri Besar

DAP TIADA NIAT KERUSI MENTERI BESAR

Isu kegagalan meletakkan kepimpinan Melayu dalam pemilihan Jawatankuasa Pusat DAP (CEC) hujung minggu lepas, telah dipolimikkan kalangan tertentu, seolah-olah melahirkan kepekaan di atas nasib anggota Melayu dalam DAP. Suara-suara pembelaan disertai dengan kritikan bertujuan menyeru orang-orang Melayu dalam DAP memikirkan, apa perlu mereka terus berada dalam parti tersebut. Di samping itu, ada pihak merumuskan DAP sebuah parti perkauman yang didominasi serta menjaga kepentingan orang Cina.

Lanskap politik Malaysia yang terbina asasnya sebelum merdeka, dengan identifikasi sokongan dan medan bercirikan penempatan. Ianya banyak dipengaruhi oleh lingkungan geografis yang membentuk pertapakan pengaruh politik. Kawasan desa yang bersifat ekonomi primary menjadi medan bagi UMNO bersaingan dengan Pas, serta parti-parti lain yang didominasi oleh orang Melayu. Sementara sektor kota dan semi-urban, dengan secondary economy, meletakkan MCA bersaing bersama Gerakan dan DAP, sebagai parti dominant.

DAP sebagai parti berasaskan masyarakat kota, di awal lagi tidak meletakkan orang Melayu, mewakili kaum utama memimpin parti. Tidak mengambil pengalaman Partai Buruh Malaya (yang diharamkan dalam tahun 1967) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Partai Buruh Malaya bergabung dengan Partai Rakyat Malaya  membentuk Socialist Front, menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) 1959. Partai Buruh yang didominasi oleh kaum Cina, meletakkan Ishak Muhamad (Pak Sako) sebagai ketua, sementara Ahmad Boestamam mengetuai Partai Rakyat, mewakili  segmen masyarakat desa, masyarakat Melayu. Socialist Front cuma berjaya di kawasan bandar sahaja. Ahmad Boestamam pun menang di kerusi Parlimen Setapak,  dan satu kerusi DUN untuk Partai Rakyat, Mohd Nazar Nung di Sentul, kawasan ibu kota. Sungguhpun Socialist Front menang 8 kerusi Parlimen, dan beberapa kerusi negeri di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor, kecuali dua kerusi di atas, yang lainnya semua menerusi calon-calon Partai Buruh, yang bertanding di kawasan bandar. Antara pemimpin Parti Buruh yang berjaya menduduki kerusi Parlimen: Lim Kean Siew (Datuk Keramat), V. David (Bangsar), Tan Phock Kin (Tanjung), V. Veerapan (Seberang Selatan) dan K. Karam Singh (Damansara).

Dalam PRU2 (PRU 1964), Socialist Front memperluaskan anggota gabungannya kepada Parti Perhimpunan Kebangsaan yang dipimpin oleh Abdul Aziz Ishak, Menteri Pertanian dan Naib Yang Dipertua UMNO yang dipecat, setelah krisis kerajaan Perikatan, 1962. Sungguhpun ketiga-tiga parti dalam Socialist Front dipimpin oleh orang Melayu, tetapi gagal menjadi satu tenaga pembangkang yang kuat. Socialist Front cuma mampu menang 2 kerusi Parlimen menerusi calon Parti Buruh: Lim Kean Siew (Datuk Keramat) dan Dr Tan Chee Khoon (Batu). Hilang semua kerusi negeri di Negeri Sembilan dan Johor.

Kerusi Parlimen Tanjung, direbut oleh United Democratic Party (UDP) yang dipimpin oleh Dr Lim Chong Eu, bekas Yang Dipertua MCA. Kekuatan Parti Buruh di Pulau Pinang diambil alih oleh UDP. Kerusi Parlimen Bangsar, dirampas oleh Parti Tindakan Rakyat (Petir) menerusi J.V. Devan Nair. Petir berdaftar di Singapura, meletakkan calonnya yang pertama dalam PRU dalam Malaysia.

Di Perak, People's Progressive Party (PPP) menguasai kerusi-kerusi di Lembah Kinta, sama ada dalam PRU atau pilihan raya kerajaan tempatan. PPP di bawah kepimpinan Seenivasagam bersaudara, mampu bertahan sehingga PRU3 (1969). Penguasaan PPP merosot setelah menyertai Barisan Nasional, 1974.

Parti Gerakan Rakyat Malaysia diasaskan dalam tahun 1968 mencantumkan 3 kelompok: bekas anggota Parti Buruh yang diharamkan, bekas anggota UDP yang dibubarkan dan tenaga akademik. Di antara anggota pengasasnya: dari kelompok bekas Parti Buruh; Dr Tan Chee Khoo, V. David, V. Veerapan. Bekas UDP; Dr Lim Chong Eu, Khor Khay Por, Teh Ewe Lim. Dari kelompok tenaga akademik: Dr Syed Husin Alattas, Dr Wang Gung-wu, Dr Syed Naguib Alattas.

Gerakan meletakkan Dr Syed Husin Alattas sebagai Pengerusi, dan Dr Lim Chong Eu, sebagai Tmbalan Pengerusi. Gerakan menghasilkan keputusan cemerlang dalam PRU3, dengan memenangi 8 kerusi Parlimen  dan menguasai kerajaan Pulau Pinang. Dr Lim sebagai Ketua Menteri, Mustapha Hussien sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Harun Sirat sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri.

Setelah Gerakan sertai BN, kepimpinan Gerakan berpecah 4 kumpulan. 1. Terus bersama Gerakan sebagai anggota komponen BN, terutamanya bekas UDP dan bekas MCA, 2. Menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) terutamanya bekas Socialist Front, diketuai Dr Tan Chee Khoon, 3. Menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) diketuai Mustapha Hussien, 4. Kumpulan akademik keluar parti dan tidak aktif politik, dan akhirnya selepas 4 tahun, Dr Syed Husin Alattas menyertai Barisan Jammah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan dilantik Yang Dipertua.

Selepas pengunduran Alattas, Gerakan lebih menampakkan sebuah parti berbilang kaum yang didominasi masyarakat Cina dan lebih menonjol memperjuangkan kepentingan orang Cina, berbanding asas penubuhannya yang bersifat multiracial. Dari masa ke semasa, bilangan anggota Melayu dalam kepimpinan pusat, semakin kurang. Selepas Mustapha Hussien yang pernah menduduki kerusi Parlimen dan ADUN, serta Harun Sirat sebagai ADUN, tiada mana-mana anggota Melayu diberi peluang bertanding dalam pilihan raya. Paling akhir, Mat Hassan Hussien Gul, menduduki kerusi Naib Presiden dalam tahun 1990an. Sedikit demi sedikit suara Melayu dalam Gerakan dilenyapkan perlahan-lahan.

Ruang kepada orang Melayu dalam parti berbilang kaum, lebih luas dalam DAP berbanding Gerakan. Terutamanya dalam fasa 20 tahun pertama selepas penubuhan BN. DAP pernah melahirkan seorang Ahli Parlimen (Ahmad Nor) dan beberapa orang ADUN seperti: Fadzlan Yahya, Daing Ibrahim Othman, Mohd Salleh Nakhoda Itam, Ibrahim Singgeh, Mohd Asri Othman (semuanya ADUN Perak) dan Haji Hassan Haji Ahmad (ADUN Negeri Sembilan). Peranan Fadzlan Yahya mengetuai sayap pemuda, DAPSY dalam tempoh yang panjang menggambarkan wawasan parti.

Dalam 4 PRU terakhir, DAP gagal melahirkan seorang Yang Berhormat. Dengan corak pemilihan CEC sesi ini, memperlihatkan keperluan sumbangan dan peranan anggota Melayu tidaklah sepenting mana, bagi sebuah parti berbilang kaum. Di samping itu, peranan kelompok masyarakat lain khususnya masyarakat Bumiputera Sabah dan Sarawak dikesampingkan.

Apakah hasil daripada pengalaman Partai Buruh dan Gerakan yang berketuakan orang Melayu, gagal mempromosikan konsep dan perjuangan berbilang kaum, gagal menarik keanggotaan berbilang kaum untuk mengikis  gambaran dominasi kaum Cina. Perjuangan Malaysian Malaysia yang mengilhamkan 1Malaysia, tidak serasi dan masih belum dihayati untuk meletakkan kepimpinan parti yang menggambarkan keperlbagaian kaum.

Pemilihan keanggotaan CEC kali ini yang bolehlah disifatkan realiti parti menghadapi PRU13, menampakkan DAP tidak ada impian dan tiada minat untuk menonjolkan ahlinya menjadi Menteri Besar, di mana-mana negeri kecuali Pulau Pinang dan Melaka. Ini kerana perlantikan dan syarat Menteri Besar berkaitan dengan status kaum atau bangsa dan status agama yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Contohnya: jika keputusan PRU12 diambil kira, DAP ada peluang mencalonkan ADUNnya menjadi MB di Perak, atau di Selangor, atau di Negeri Sembilan, jika DAP bersama PKR dan Pas, berjaya menambah 3 kerusi lagi.

Calon Melayu DAP pernah menang di Negeri Sembilan, di Sirusa, kawasan campuran, dalam PRU3. Keputusan pemilihan CEC itu, seolah-olah menggambarkan DAP tidak berminat menaikkan anggota Melayu dipilih ke jawatan penting parti yang akan menjadi antara calon potensi ketuai kerajaan negeri.
Rumusan awal dari corak pemilihan CEC sesi ini, menjurus kepada ikatan parti yang menguasai kerajaan adalah parti yang mewakili golongan terbesar komposisi penduduk iaitu orang Melayu. Justeru itu, Pas dan PKR, adalah sekutu yang mewakili kelompok ras sedemikian, maka memang wajar DAP mengelakkan diri, memiliki calon Menteri Besar yang akan mengetuai kerajaan.
Di samping itu, DAP menginsafi kelompok pengaruh dan penyokongnya terbatas di sektor kota dan pinggiran yang menguasai ekonomi bersifat kebandaran. Pas dan PKR, menguasai kawasan pengaruh yang luas, bukan terkongkong di kota sahaja, menguasai keseluruhan pelusuk negeri. Amatlah wajar perwakilan dalam Kongres DAP Pusat ke 16, tidak mengangkat kepimpinan Melayu, kerana mengambil roh setiakawan dalam Pakatan Rakyat, jawatan Menteri Besar adalah hak sama ada Pas atau PKR.
Dalam semangat setiakawan BN, dalam PRU8 (1990), apabila BN cuma menang 19 kerusi dari jumlah 33 kerusi DUN Pulau Pinang. UMNO dapat 11, Gerakan 7 dan MIC satu kerusi, sementara semua calon MCA kalah. BN tidak menawarkan jawatan Ketua Menteri kepada UMNO, walaupun milik kerusi terbanyak, tetapi diberikan kepada ADUN Gerakan mengetuai kerajaan, kerajaan majoriti penduduk Pulau Pinang adalah masyarakat Cina. Sebab itu, Gerakan tidak menonjolkan kepimpinan Melayu dalam parti, lantaran basenya sungguhpun berbilang bangsa, tetapi yang dominantnya ialah kaum Cina. Selain Pulau Pinang, semua negeri di Semenanjung, majoriti penduduknya adalah Melayu, UMNO mewakili BN, Pas dan PKR mewakili Pakatan Rakyat. ADUN dari UMNO atau Pas atau PKR yang berhak mengetuai kerajaan negeri-negeri berkenaan. Lantaran itu, baik DAP, mahupun Gerakan atau PPP, tidak menolak kepimpinan Melayu ke atas, kalau ada pun yang dilantik, bukan dipilih oleh perwakilan.

Selamat menyambut Hari Krismas untuk penganut Kristian

2 ulasan:

  1. Satu analisis yg menarik..tahniah cikgu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih. Saya alukan pandangan & kritikan untuk percambahan ilmu

      Padam