Jumaat, 2 Oktober 2020

PRN Sabah 4

 PILIHAN RAYA NEGERI SABAH MENGUKUHKAN  ASAS ARUS BARU POLITIK NASIONAL

Kejayaan pemuafakatan politik di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GPS) menguasai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke 16 membuka ruang baru politik Malaysia setelah melalui 14 kali Pilihan Raya Umum (PRU). Sungguhpun PRN Sabah 2020 mengambil ruang satu pilihan raya dalam semua negeri, ianya membuka halaman baru  politik kepilihanrayaan di Malaysia. Dalam 14 kali PRU, satu gabungan besar parti-parti menguasai medan dengan dicabar parti-parti pembangkang yang berbagai. Bezanya, sebelum ini, satu parti dominasi iaitu UMNO lebih menonjol yang dikelilingi oleh parti-parti komponen, dalam PRN Sabah 2020, tidak jelas kewujudan parti dominan. 

GRS adalah satu pemuafakatan melibatkan tiga entiti; Barisan Nasional (UMNO, MCA dan PBRS), Perikatan Nasional (Bersatu, STAR, SAPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS). Pemuafakatan ini meletakkan seramai 92 calon di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 17 kawasan melibatkan pertembungan sesama sendiri. BN mempertaruhkan 41 calon ( 32 UMNO, 4 MCA, 5 PBRS) dengan memenangi 14 kerusi menerusi UMNO dan mengumpul 140,993 undi atau 19.31% undi kesuluruhan. PN meletakkan 29 calon (19 Bersatu, 8 STAR, 2 SAPP), meraih 17 kerusi dengan pungutan 125,116 undi atau 17.13%. PBS yang bertanding di 22 kerusi, memenangi 7 kerusi dan menguasai 49,941 undi atau 6.84% undi. Keseluruhannya  menerusi 92 calon, dengan menang 38 kerusi, GRS mengumpul 316,050 undi atau 43.28% undi. 
 
Parti Warisan Sabah bersama sekutunya yang mempertahankan kerajaan negeri mempertaruhkan calon tunggal di setiap 73 kerusi. Parti Warisan bersama sekutu mengagihkan pencalonan kepada Warisan 46, DAP 7, Parti Amanah Negara 1, UPKO 12, PKR 7. Gagal pertahankan kuasa pemerintahan setelah cuma memenangi 32 kerusi (23 Warisan, 6 DAP, 2 PKR, 1 UPKO). Undi dipungut oleh Warisan Plus berjumlah 317,531 undi atau 43.49% undi keseluruhan lebih tinggi berbandingan undi keseluruhan GRS.   

Undi dipungut oleh Warisan Plus dan sekutunya lebih tinggi berbanding pungutan undi GRS walaupun Warisan hanya mememangi 32 kerusi berbanding 38 oleh GPS dipandu oleh faktor kemenangan besar calon-calon Warisan di beberapa kawasan. Di kawasan bandar dan pinggiran bandar, calon-calon Warisan yang diwakili DAP mencatat peratusan undi yang tinggi. Di Likas, calon DAP memungut 8,173 undi atau 86.33% undi meninggalkan calon MCA yang mewakili BN hanya meraih 656 undi atau 6.92% undi. Di Luyang, calon DAP mengumpul 15,510 undi atau 90.55% undi sementara calon SAPP yang mewakili PN hanya meraih 989 undi atau 5.77% undi sahaja. Bagi kerusi Kepayan, calon DAP memungut 15,053 undi atau 77.40% untuk meninggalkan calon MCA yang meraih 1,889 undi atau 9.71% undi dan calon PBS yang perolehi 803 undi atau 4.12%. Kesemua calon GRS berkenaan hilang wang pertaruhan setelah gagal perolehi satu perlapan dari jumlah undi sah atau 12.5% undi.

Di kerusi Api-Api, calon PKR perolehi 7,796 undi atau 67.79% undi berbanding calon PBS mewakili  GRS memperolehi 2,449 undi atau 21.29%, dalam pertandingan 9 penjuru. Dalam saingan 10 penjuru di Inanam, calon PKR mengaut 8,586 undi atau 50.83%, berbanding calon GRS menerusi calon PKR yang meraih 2,948 undi atau 17.45%. Di kerusi Moyog, calon Warisan, meraih 8,437 undi atau 73.80%, sementara GRS yang menurunkan  2 orang calon hanya perolehi 2,502 undi atau 21.55% menerusi calon STAR dan 1,175 undi atau 10.21% undi oleh calon PBS. 

Kerusi Likas, Luyang, Api-Api dan Inanan terletak dalam kawasan bandaraya Kota Kinabalu, sementara Kepayan dan Moyog dalam daerah Penampang, yang memiliki majoriti pengundi Cina dan Bumiputera Bukan Islam. Di kerusi majoriti pengundi Bumiputera Islam dalam kawasan pentadbiran Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang: Karambunai, Darau, Petagas, Tanjung Aru dan Tanjung Keramat, berlaku saingan seimbang, sama ada calon Warisan Plus atau GRS yang menang dengan perbezaan undi yang lebih rendah. 

Secara puratanya calon Warisan Plus memungut 4,350 undi, calon PN 4,314 undi, BN 3,439 undi dan PBS hanya purata 2,270 undi. Perbandingan ini disebabkan tiada calon Warisan Plus yang hilang wang pertaruhan berbanding dengan 2 calon BN, seorang calon PN dan 9 calon PBS. Saingan sebenar PRN Sabah 2020 ialah antara Warisan Plus sebagai kerajaan dengan GRS, walaupun Warisan Plus hilang kuasa pemerintahan tetapi mampu dipertahankan moral lantaran peratus undi yang dipungut dan purata undi per calon serta tiada calon hilang wang pertaruhan. 

Walaupun PRN ini nampak meriah dengan bilangan parti serta calon yang bertanding dengan purata 6 orang calon setiap kerusi, prestasi dan pencapaian 9 buah parti yang bertanding bersendirian tidak memberi apa-apa kesan dan cabaran kepada saingan utama Warisan Plus lawan GRS. Parti Cinta Sabah yang mempertaruhkan calon di semua 73 kerusi, seramai 68 orang calonnya hilang wang pertaruhan. Hanya Presidennya, Anifah Aman mampu beri saingan kepada Warisan dan GSR di Bongawan. Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)yang diaktifkan semula hanya mampu memberikan Presidenya Pandikan Amin Haji Mulia kalah tipis kepada calon PN di Pintasan, sementara baki 46 calonnya hilang wang pertaruhan. 
 
Liberal Democratic Party (LDP) dulunya lebih bertumpu ke kawasan bandar, meletakkan seramai 46 calon seluruh negeri dan semuanya gagal pertahan deposit, termasuk Penasihatnya dan bekas Ketua Menteri, Chong Kah Kiat. Di samping itu, semua calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan) 28 calon, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dengan 24 calonnya, Parti Kerjasama Anaknegeri (2 calon), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) yang masing-masing meletakkan calon tunggal, hilang wang pertaruhan. 

Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) lebih berjaya berbanding parti-parti kecil, apabila 2 daripada 5 calonnya berjaya pertahan wang pertaruhan. Pungutan undi calon PHRS mampu memberi saingan kepada Warisan Plus dan GRS di 4 kerusi dalam daerah Tawau. 

Calon-calon bebas lebih menonjol dalam memberi saingan kepada parti-parti utama di mana 3 orang calon bebas berjaya memenangi kerusi yang ditandingi, walaupun 43 orang daripada jumlah 56 calon bebas hilang wang pertaruhan. Ketiga-tiga orang calon bebas menang dikerusi yang ditandingi oleh calon UMNO mewakili BN: Pitas, Kemabong, Kuamut. Di Kuamut, Masiung Banah bekas ADUN UPKO mempertahankan kerusi atas tiket bebas. Rubin Balang, calon bebas yang menang di Kemabong adalah  Ketua Bersatu Bahagian dan bekas ADUN UMNO dan bekas Menteri negeri.
 
Apabila dianalisis pencapaian parti mengikut sokongan kaum telah menampakkan kecenderungan pengaruh kaum menjadi faktor kemenangan atau kekuatan parti.  Keseluruhannya penceraikinan kerusi DUN Sabah menunjukkan 38 kerusi mempunyai bilangan pengundinya melebihi 60% adalah Bumiputera Islam, 17 kerusi majoriti (lebih 60%) pengundi Bumiputera Bukan Islam, 5 kerusi mempunyai lebih 40% pengundi Cina, sementara 13 kerusi adalah campuran. 

Di kawasan pengundi Bumiputera Islam melebihi 80%, 8 kerusi dimenangi Warisan Plus, dan 12 oleh GRS menerusi UMNO 8, Bersatu 3, PBS 1). Di Lumadan (90% Bumiputera Islam), saingan adalah antara PBS dengan UMNO. 

Di kawasan pengundi Bumiputera Islam menguasai 60 hingga 80%, Warisan Plus menang di 10 kerusi, sementara GSR menang 8 kerusi (UMNO 4, Bersatu 4). 
 
Warisan Plus menguasai 149,032 undi atau 41.92% keseluruhan undi di kawasan majoriti pengundi Bumiputera Islam (melebihi 60%). Sebaliknya GRS mengumpul 171,909 undi atau 48.35% undi keseluruhan di kawasan berkenaan, yang merangkumi 38 kerusi. 

Sementara kawasan majoriti Bumiputera Bukan Islam melebihi 80% pengundi, 2 dimenangi oleh calon Warisan Plus (1 Warisan dan 1 UPKO), 3 kerusi oleh GSR menerusi STAR (2) dan PBS (1). Bagi kerusi yang mengandungi 60 hingga 80% Bumiputera Bukan Islam, 2 kerusi diraih oleh Warisan Plus, 8 kerusi oleh GSR (STAR 4, PBS 4) dan 2 kerusi dibolot oleh calon bebas. 
 
GSR menguasai undi yang lebih besar di kawasan majoriti Bumiputera Bukan Islam yang mengandungi 17 kerusi, GSR meraih 87,846 undi, yang merupakan  52.52%. Warisan Plus memungut 54,440 undi, atau 32.53% undi kawasan berkenaan.  

Kesemua 5 kerusi yang mempunyai pengundi Cina melebihi 40% dimenangi oleh calon DAP; Likas (48% Cina), Luyang (50%), Elopora (44%), Tanjong Papat (43%), Sri Tanjung (49%). 

Baki 13 kerusi campuran, GSR mengatasi Warisan Plus. GSR menang di 7 kerusi menerusi UMNO (2), Bersatu (2), PBS (2) dan STAR (1), Warisan Plus meraih 5 kerusi melalui Warisan (2), PKR (2) dan DAP (1). Baki satu kerusi dimenangi oleh calon bebas. 
 
PRN Sabah ke 16 ini menyaksikan menguasai keseluruhan pengundi tetapi direncatkan oleh sokongan yang tinggi kepada calon Warisan Plus di kawasan pengundi Cina yang mampu imbangi komposisi pengundi Bumiputera. Sokongan kuat ini dipadukan dengan peratusan undi yang tinggi diraih oleh calon-calon Warisan Plus dari etnik Cina hingga menyebabkan beberapa orang calon GSR hilang wang pertaruhan. Faktor ini menyokong pembentukan kerajaan negeri Sabah pasca PRN tanpa perwakilan Cina. 
 
Kerajaan tanpa merangkumi semua kaum yang terbentuk di Sabah lebih menampakkan arus yang berlaku di peringkat Persekutuan sudah mula menjadi realiti. Realitinya arus baru ini disahkan menerusi amalan demokrasi yang membina kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara langsung.  

Sungguhpun GSR berjaya membina kerajaan apabila meraih 38 dari 73 kerusi atau 52.05% kerusi DUN tetapi ianya hanya menguasai 43.28% undi popular berbanding 43.49% undi menyokong Warisan Plus.  Namun begitu, kerajaan bawah pimpinan GRS ini lebih kukuh apabila disokong oleh 3 wakil rakyat bebas dan 6 ADUN lantikan. Kerajaan Persekutuan dibentuk Barisan Nasional pasca PRU13 dulu pun hanya perolehi sokongan 47% pengundi sahaja, secara langsung bibit-bibit arus baru politik nasional.

 


 
 



 
 
 
 


 
 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan