Jumaat, 30 Oktober 2020

3 PM Setahun

WAJARKAH TIGA ORANG PERDANA MENTERI DALAM TEMPOH SETAHUN

Persoalan keperluan negara Malaysia memerlukan kekerapan menukar Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan sehinggakan memaksa terima tiga orang Perdana Menteri dalam tempoh satu tahun. Amat ganjil dan terpencil hinggakan terpaksa kena tukar Perdana Menteri tiga kali setahun. Kes seumpama ini hanya berlaku di negara-negara bermasalah dengan pergolakan politik khususnya di negara-negara yang tidak terbatas kepada ekonomi yang mundur atau sebaliknya. Apakah ciri yang sama akan tercatat dalam sejarah Malaysia, selepas 60 tahun merdeka. 

Tanpa mengambil pengalaman dan perkembangan negara-negara yang sering tukar ketua kerajaan, kesan jangka pendek sudah terhidang kepada suasana yang berlaku dalam negara hari ini. Prestasi kerajaan Pakatan Harapan yang mencorakkan berbagai masalah kepada kehidupan dan harapan rakyat telah mempercepatkan keruntuhan sebuah kerajaan yng baru berusia 22 bulan. Krisis dalaman beberapa parti komponen Pakatan Harapan lebih membuka ruang untuk meruntuhkan sebuah kerajaan baru. Kegagalan menunaikan menifesto memudahkan hambatan kepada ketidakyakinan dan tanggapan negatif rakyat kepada pemerintah. Ianya diterjemahkan menerusi prestasi Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil yang mengecewakan cerminan tindakbalas rakyat, di mana pilihan raya kecil menghasilkan gambaran penilaian terhadap kerajaan Pakatan Harapan. 
 
Pengalaman penulis meninjau kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai, dapat mengumpul beberapa kutipan kekecewaan rakyat terhadap pencapaian kerajaan Pakatan Harapan.  Sungguhpun sekadar menemui segelintir pengundi Tanjung Piai di Pekan Nenas, Rimba Terjun dan Andek Mori, rata-rata memberikan respons negatif kepada pencapaian pemerintahan Pakatan Harapan. Rata-rata menimbulkan keresahan punca pendapatan serta sara hidup, lebih kepada berbicara kepada "cake and butter" merentasi sempadan kaum. Hasilnya, keputusan pengundi Tanjung Piai mengejutkan, bahagian besar pengundi telah membuat pusingan U tanpa mengenal asal keturunan. Awal-awal lagi sudah ada kedengaran usia kerajaan Pakatan Harapan tidaklah panjang, ditambah dengan perubahan luar jangka yang cuba merombak sistem nilai, status quo dan peraturan sosial sebuah masyarakat berbilang bangsa dan agama yang meletakkan kedudukan Orang Melayu dan Islam sebagai teras.
 
Dewan Rakyat akan mula bersidang minggu depan bermula 2 November, dan kemuncaknya pembentangan belanjawan atau bajet 2021 pada 6 November. Rakyat sedang menanti apakah dengan majoriti kecil pemerintahan Perikatan Nasional, mendapat sokongan majoriti ahli. Kegagalan sokongan pembentangan bajet akan membuka jalan kepada pertukaran kerajaan, sebuah kerajaan baru akan terbentuk. 
 
Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim dengan penuh yakin mengadap SPB Yang Di-pertuan Agong memaklumkan beliau mempunyai sokongan 121 ADR yang secara langsung menghilangkan majoriti kerajaan semasa pimpinan TS Muhyiddin Yassin. Diikuti kenyataan beberapa ADR UMNO yang mendedahkan kecenderungan ADR UMNO menyokong DSAI. Hingga kini belum menampakkan terjelma realiti usaha untuk menukar kerajaan. Tengku Razaleigh Hamzah menzahirkan tidak akan meneruskan sokongan kepada pimpinan TS Muhyiddin. Mantan PM, DS Najib Tun Razak mengemukakan beberapa cadangan antaranya akan bersama DSAI. Dipercayai beliau memiliki sokongan rapat beberapa ADR UMNO. Presiden UMNO, DS Zahid Hamidi menzahirkan keterbukaan UMNO mengizinkan kebebasan ADRnya membuat pilihan. Apa saja bisa berlaku, satu dua orang mengambil tindakan sendiri, boleh menghilangkan majoriti kerajaan Perikatan Nasional. 
 
Apa saja kemungkinan boleh berlaku yang menjemput seorang lagi PM tahun ini. Daripada gempur DS Anwar Ibrahim, kenyataan-kenyataan kepimpinan UMNO di atas, tidak mustahil pemerintahan Perikatan Nasional tumbang lebih awal sebelum usul undi tidak percaya terhadap PM dibawa ke sidang Dewan Rakyat. UMNO rasminya sebagai sebuah organisasi meletakkan syarat membentuk kerajaan "no DAP". Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal dengan pendirian "no DAP". Pas meletakkan syarat "no Anwar, no DAP". DAP pula sanggup beri kerajsama menukar kerajaan dengan tanpa pemimpin korup. Apapun, ADR boleh mengambil tindakan apa kapasiti persendirian yang boleh membuka kepada situasi apa saja boleh berlaku apabila Dewan Rakyat memulakan sidangnya minggu depan.
 
Sebaliknya, perkembangan terkini nampaknya suasana kembali tenang menjelang pembentangan bajet 2021. Kekerapan UMNO mengadakan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) dilihat sebagai usaha sebuah parti dominan dalam politik nasional untuk mengelakkan Malaysia memiliki PM ketiga tahun ini. Kematangan politik UMNO dalam meredakan gelora politik di kala negara berdepan dengan isu yang lebih besar, pandemik Covid-19, memperlihatkan kebertanggungjawaban sebuah politik senior dalam membina jati diri ketamadunan. 

Sewajarnya peluang harus diberikan kepada kepimpinan yang ada, meredakan ancaman Covid-19 yang turut merencatkan pertumbuhan ekonomi dan mengganggu kehidupan rakyat. Ketepikan dulu ruang mencari PM ketiga dan serahkan kepada kebijaksanaan rakyat setelah Covid-19 reda menerusi PRU15, berilah laluan Dewan Rakyat meluluskan bajet 2021 demi melunaskan perancangan ekonomi untuk memenuhi  tuntutan kebajikan rakyat.
 
 





 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan