Selasa, 22 September 2020

PRN Sabah 3

 APA STRATEGI PERTEMBUNGAN SAMA SENDIRI

Di sebalik pertembungan di 17 kawasan antara sesama anggota Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yang ditawarkan kepada pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, menjadikan salah satu keunikan politik Sabah. Kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainuddin bahawa parti-parti dalam GRS akan merumuskan calon tunggal mewakili GRS secara rasmi menjelang hari mengundi. Kenyataan balas Penasihat Perdana Parti Bersatu Sabah (PBS), Joseph Pairin Kitingan, PBS akan mengekalkan 22 orang calonnya di kerusi masing-masing. Ertinya, saingan sesama sendiri akan berterusan iaitu di semua 16 kerusi yang turut ditandingi PBS bersama rakan sekutu dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Kecuali di Sook, bila PBRS mewakili BN bertembung dengan STAR yang mewakili PN. 

Strategi awal disebutkan pertembungan tidak dapat dielakkan untuk memberi ruang kepada parti-parti GRS bertembung sesama sendiri di kawasan parti Wawasan Plus kurang berpengaruh. Dijangkakan pertembungan sesama sendiri tidak mencacatkan peluang untuk wakil GRS menang walaupun undi sokongan berbecah. Risiko diambil melencong dari matlamat asal saingan utama PRN Sabah 2020 adalah saingan dua parti utama: Wawasan Plus dan GRS. Asanya satu lawan satu bagi parti utama, terbuka untuk parti lain ikut serta. Realitinya PRN Sabah yang diwarnai pertarungan banyak penjuru adalah lumrah semenjak 30 tahun lalu. Kali ini lebih rancak lagi hinggakan ada persaingan 11 penjuru di satu kerusi. Secara puratanya enam calon setiap kerusi. Paling minima pastinya tiga penjuru, di samping Wawasan Plus dan GRS, Parti Cinta Sabah (PCS) pimpinan bekas menteri Persekutuan, Anifah Aman, meletakkan calon di semua 73 kerusi. 

Apa pula rasional dan strategi apabila berlaku persaingan sama sendiri bagi satu blok pemuakatan. Saingan sama sendiri ini pernah diamalkan dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan 1978. PRN Kelantan 1978 berlangsung setelah DUN Kelantan digantung dalam bulan November 1977 ekoran perintah darurat meletakkan pentadbiran Kelantan di Majlis Gerakan Negeri. Setelah perintah darurat ditarik balik, DUN Kelantan dibubarkan pada akhir Februari 1978. PRN Kelantan 1978 sengaja diadakan berasingan dengan negeri lain di Semenanjung dan Parlimen, usaha tersembunyi kerajaan Persekutuan dikepalai UMNO untuk merampas Kelantan daripada Pas. 

Dalam PRN Kelantan 1978, Barisan Nasional (BN) berkerjasama dengan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), serpihan Pas yang lahir dari krisis politik Kelantan yang membawa kepada pergantungan DUN Kelantan 1977. BN meletakkan 24 calon (23 UMNO, 1 MCA) , Berjasa 25 calon dan Pas bertanding di semua 36 kerusi DUN. BN memberi laluan kepada Berjasa di 12 kerusi, sebaliknya BN diberi laluan untuk bertanding di 11 kerusi, sementara di baki 13 kerusi calon-calon BN dan Berjasa bersaing sama sendiri. BN dan Berjasa bertanding satu lawan satu dengan Pas di 25 kerusi, sementara di 13 kerusi, berlaku saingan tiga penjuru; BN, Berjasa dan Pas. 

BN beri laluan untuk Berjasa bersaing dengan Pas secara satu lawan satu di kawasan kubu kuat Pas. BN tidak bertanding untuk mempastikan semua tenaga BN digunakan untuk menyokong calon Berjasa. Sementara di kawasan harapan tinggi BN, Berjasa tidak bertanding untuk mempastikan undi anti-Pas digembelengkan serta tiada perpecahan undi. Kawasan yang mempunyai pengaruh seimbang antara Pas dan BN, dipertaruhkan Berjasa demi memecahkan undi Pas untuk mempastikan kelebihan memihak kepada BN. PRN Kelantan memberikan Berjasa menang 11 dari 12 kerusi yang bertembung secara langsung dengan Pas, sementara BN menang 10 dari jumlah 11 kerusi yang melibatkan saingan satu lawan satu antara BN dan Pas. Sementara BN menyapu bersih semua 13 kerusi yang turut ditandingi Berjasa bersama Pas. 
 
Di Sabah, satu pengalaman pahit dihadapi BN menerusi PRU 1982. PRU 1982 hanya melibatkan kerusi Dewan Rakyat sahaja di Sabah, kerana PRN Sabah telah diadakan pada tahun 1981. PRN Sabah 1981 memberikan 44 kerusi kepada BN/Berjaya dan 4 kerusi kepada USNO. Di peringkat Persekutuan, kedua=dua parti; Berjaya dan USNO adalah anggota BN. Dalam PRU 1982, Berjaya diperuntukan 11 kerusi dan 5 kerusi kepada USNO. Semua calon BN daripada USNO tewas kepada calon bebas yang ditaja Berjaya. Calon-calon bebas berkenaan: Hj Affandi Tun Mohd Fuad Stephents (Marudu), Mohammad Yahya Lampong (Kota Belud), Hassan Alban Haji Sandukong (Labuk Sugut), Mohamad Yusof Haji Takob (Hilir Padas), Abdillah Haji Abdul Hamid (Silam). 
 
Sama ada kes Kelantan 1978 atau Sabah 1982 telah diambil sebagai pendekatan memenangi undi atau panduan diambil oleh GRS untuk mempastikan kerajaan yang dibentuk pasca PRU14 bukanlah kerajaan yang bermoral. Kekalahan Warisan Plus dalam PRN 2020 akan mengesahkan bahawa keputusan pilihan rakyat sebagai  hak yang harus dihormati. Sabah yang ada beberapa pengalaman membentuk kerajaan menerusi lompatan parti sejurus keputusan pilihan diumumkan atau tempoh terdekat pasca pilihan raya, banyak mengajar erti keikhlasan, kebertanggungjawabab dan intergriti dalam dunia demokrasi. Ianya sekadar langkah sementara dan terdesak jangka pendek untuk selesai masalah dan kebuntuan perundangan.
 
 
 




 
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan