Ahad, 11 Oktober 2020

PM 9

APA PULA AGENDA  KERAJAAN BARU BAKAL DIBENTUK OLEH PERDANA MENTERI KE SEMBILAN

Ketua Pembangkang Parlimen DS Anwar Ibrahim dipercayai akan diterima mengadap Baginda Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong hari Selasa ini (13/10/2020) untuk mempersembahkan senarai Ahli Dewan Rakyat (ADR) yang akan bersama beliau membentuk sebuah kerajaan baru. Dipercayai senarai ini menggabungkan ADR pembangkang serta sebahagian penyokong blok kerajaan hari ini. Berasaskan maklumat yang sudah tersebar sejak 2 minggu, diyakini kerajaan Perikatan Nasional memiliki usia yang lebih pendek daripada kerajaan Malaysia Baru di bawah Pakatan Harspan.
 
Disebutkan sebahagian dari penyokong kerajaan Perikatan Nasional yang termasuk dalam senarai milikan Ketua Pembangkang terdiri dari ADR UMNO. Justeru kerajaan hari ini  Perikatan Nasional cuma memiliki sokongan 113 ADR daripada UMNO, Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), serta parti-parti kecil MCA, MIC, PBS, STAR dan PBRS mengtasi penyokong blok pembangkang yang dibarisi 109 ADR dari DAP, PKR, Amanah, Warisan, Pejuang dan sebuah parti baru dari Sarawak. Keperluan beberapa orang ADR mengubah sokongan, dengan mudah hasrat bakal Perdana Menteri ke 9 akan tercapai.
 
Disebutkan DS Anwar Ibrahim sudah mengumpul seramai 121 ADR bersamanya yang memberikan keyakinan yang tinggi sebuah kerajaan baru akan terbentuk selepas 13/10/2020. Di samping itu, Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) tak dapat dielakkan, seandainya hasil pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, menyusul pembubaran Dewan Rakyat. Pengalaman di Sabah menjadi rujukan dengan kesannya bukan menyelesaikan kemelut politik tetapi peningkatan gejala Covid-19.
 
 Seandainya, negara Malaysia akan menerima Perdana Menteri baru ekoran situasi tidak menentu dewasa ini, apakah pula kecenderungan dan bentuk kerajaan baru. Sebagai rujukan Jadual 1 di bawah bolehlah dijadikan asas untuk melihat halatuju kerajaan baru Perdana Menteri ke 9.
 
Jadual 1

KEANGGOTAN KABINET KERAJAAN PERSEKUTUAN


BN

BN

PH

PN


2004

2015

2018

2020

Melayu/Bumiputera Islam

22

25

16

27

Cina

6

5

5

1

India

1

1

4

1

Bumiputera Bukan Islam

3

5

2

3

JUMLAH

32

36

27

32

Jadual 1 di atas mengambil contoh empat komposisi jemaah menteri di bawah 4  orang Perdana Menteri.

Kabinet 2004 adalah kabinet kedua di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kabinet ini dibentuk hasil PRU11 (PRU 2004) yang memberikan kemenangan paling besar buat BN , apabila menguasai 198 dari jumlah 219 kerusi Parlimen atau 90.41%, rekod tertinggi sebelum ialah dalam PRU4 (PRU 1974) bila BN memenangi 135 kerusi atau 87.7% kerusi Parlimen. Jumlah keanggotaan kabinet ini adalah paling tinggi, semasa Tun Abdullah dilantik sebagai PM dan membentuk kabinetnya dengan seramai 30 ahli. Tun Dr Mahathir membentuk kabinet selepas selesai PRU10 (PRU 1999) dengan kekuatan 30 anggota. Kabinet Tun Abdullah 2004 dianggotai oleh 68% anggota dari keturunan Melayu/Bumiputera Islam dari parti UMNO dan PBB.

Kabinet 2015 ialah kabinet  di bawah DS Najib Tun Razak dibentuk berikutan penyingkiran Timbalan PM/Timbalan Presiden UMNO TS Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden UMNO, DS Panglima Safie Apdal. Kabinet ini lebih ramai berbanding kabinet yang dibentuk selepas PRU13 (PRU 2013) terdiri dari 32 orang. Kabinet 2015 dianggotai oleh 69% dari keturunan Melayu/Bumiputera Islam. 

Kabinet 2018 dibentuk selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 oleh Tun Dr Mahathir. Kabinet 2018 memiliki 59% dari kelompok Melayu/Bumiputera Islam. Berbeza dengan kabinet dibentuk kerajaan BN, kabinet kerajaan Malaysia Baru di bawah Pakatan Harapan, pengurangan keanggotaan Melayu/Islam dan peningkatan keanggotaan keturunan Cina dan India. 

Kabinet 2020 terbentuk selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ekoran perletakan jawatan PM dan tindakan menarik sokongan kepada PH. Kabinet dibentuk atas nama Perikatan Nasional pimpinan TS Muhyiddin Yassin mempersembahkan sebuah jemaah menteri dengan 84% dianggotai menteri keturunan Melayu/Bumiputera Islam. Sungguhpun Perikatan Nasional cuma memiliki majoriti tipis dengan 113 ADR tetapi kabinetnya dibarisi oleh 32 anggota. Hanya ada seorang keturunan Cina dan seorang keturunan India dalam kabinet, kebetulan hanya terdapat masing-masing seorang ADR dari MCA dan MIC. Perikatan Nasional lebih mencerminkan sebuah kerajaan dominasi Melayu-Islam. 

Jadual di atas memaparkan perbandingan komposisi keanggotaan jentera utama pemerintahan negara antara tiga pihak yang menguasai kerajaan Persekutuan. Secara langsung memberi warna kecenderungan dan pendekatan pengkongsian kuasa yang melibatkan 3 komposisi utama penduduk: Melayu, Bumiputera dan Cina+India. PH memperlihatkan kecenderungan kepada agenda kesamaan, PN beragenda Melayu-Islam, sementara BN menekankan pengkongsiaan kuasa dengan UMNO sebagai parti dominan. 

Masyarakat awam dengan penuh minat ingin mengetahui apakah agenda kerajaan baru yang akan terbentuk selepas 13/10/2020. Ke arah manakah pula kerajaan pimpinan DS Anwar Ibrahim untuk masa depan Malaysia. Kabarnya, kerajaan baru bakal dibentuk adalah sebuah kerajaan berpusat Melayu dan Islam, yang akan menarik sokongan blok Melayu/Islam dalam PN kini. Angka yang disebut-sebut mencapai 121 ADR, tetapi akhir-akhir ini seorang demi seorang yang diwarwarkan akan bersama DSAI menafikan keterlibatan. 

Jika dengan angka 121 tersebut yang disusuli beberapa penafian, jika sokongan kepada agenda DSAI berjaya dalam misinya, kerajaan yang dibentuk pun tak jauh beza dengan kerajaan PN sekarang, yang memiliki majoriti tipis di Parlimen. Salah satu faktor utama sokongan kepada agenda DSAI ialah kerajaan hari ini memiliki majoriti tipis 2 undi yang terdedah kepada apa-apa kemungkinan yang secara langsung mencabar kestabilan politik. 

Andainya misi DSAI berjaya dan tercapai impian menunggu 22 tahun, apakah halatuju agenda pemerintahan negara serta pembaharuan dan penambaikan mekanisme pemerintahan hasil pengalaman BN, PH dan PN. Apakah agenda mempertahankan kuasa Melayu/Islam atau agenda kesamarataan menjadi paksi pentadbiran.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan