Khamis, 8 Oktober 2020

Pasca PRN Sabah

ORANG CINA TERKELUAR DARI ARUS PERDANA PENTADBIRAN

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke 16 (PRN Sabah16) membina satu elemen baru dalam politik tanah air. Pembinaan kabinet negeri Sabah hasil PRN selari dengan apa yang berlaku di peringkat Persekutuan menerusi pemerintahan Parikatan Nasional yang dibentuk 7 bulan lalu. Kabinet Perikatan Nasional telah menjarakkan peranan etnik Cina berbanding dengan kabinet Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. 

Hasil Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan yang menggabungkan parti-parti; PKR, DAP, Bersatu dan Amanah bersama Warisan, membentuk sebuah kerajaan baru. Ciri utama kerajaan baru yang mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak meletakkan pihak pembangkang hanya mempunyai satu kerusi tunggal dari etnik Cina menerusi calon MCA. Berbeza dengan zaman kerajaan Barisan Nasional pra PRU14, perwakilan Cina lebih mendominasi blok pembangkang. 

Kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk tanpa pilihan raya 7 bulan lalu lebih menampakkan sebuah penguasaan kuasa oleh kumpulan Melayu/Islam, di mana dianggotai oleh 2 perwakilan Cina, itupun setelah kemenangan calon MCA dalam PRK Tanjung Piai. Perwakilan Cina lebih menguasai blok pembangkang di bawah pentadbiran Perikatan Nasional. Etnik Cina sebagai suku kaum kedua terbesar dalam komposisi penduduk negara ini, dilihat berkedudukan serta pengaruh dan peranan yang kontradik setiap kali berlau perubahan kuasa Persekutuan. Kedudukan dan peranan etnik ini di Sabah menjurus gambaran apa yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Pengundi Cina adalah 132,000 orang atau 12% dari jumlah 1.125 juta keseluruhan pengundi Sabah. PRN Sabah16 telah mengangkat seramai  10 orang wakil rakyat dari etnik Cina ke Dewan Undangan Negeri Sabah untuk sesi 2020/2025, yang merupakan 13.69% daripada jumlah ADUN. Mereka terdiri 9 pembangkang: DAP (5), Warisan (3) dan PKR (1), dan seorang penyokong kerajaan dari STAR. 

80% wakil rakyat berketurunan Cina  dipilih mewakili kawasan pilihan raya yang mengandungi komposisi pengundi etnik Cina melebihi 1/3 dari jumlah pengundi. Ada 8 kerusi yang memiliki pengundi keturunan Cina melebihi 33% jumlah pengundi; Luyang (50%), Sri Tanjung (49%), Likas (48%), Elopora (44%), Tanjong Papat (43%), Karamunting (36%), Api-Api (34%), Kapayan (33%). 

Di Luyang, calon DAP, Phoong Jin Zhe telah memperolehi 15,510 undi dari jumlah 17,127 undi sah atau 90.56% undi popular dalam saingan 6 penjuru. Semua calon lawan hilang wang petaruhan, termasuk undi terdekat iaitu calon SAPP mewakili Perikatan Nasional yang hanya meraih 989 undi atau 5.77% undi. Kerusi 50% pengundi Cina ini ditandingi oleh 5 calon keturunan Cina. 

Di Sri Tanjung, persaingan 8 penjuru, semuanya calon keturunan Cina dari berbagai parti. Calon DAP, Wong Yung Bin menang dengan meraih11,150 undi dari jumlah 14,559 undi sah atau 76.58% undi untuk atasi calon kedua teringgi iaitu dari STAR yang perolehi 15.59% undi, semua calon lain hilang deposit. 

Di Likas, yang menyaksikan persaingan 7 orang calon etnik Cina, calon DAP memperolehi 86.33% undi popular untuk mengalahkan  6 orang calon lain yang semuanya hilang wang pertaruhan. Calon MCA mewakili BN hanya perolehi 6.93% undi sebagai pencabar terdekat. Calon DAP perolehi 8,173 undi dari jumlah 9,467 undi sah, sementara calon BN hanya raih 656 undi. 

Di Elopora, walaupun ditandingi oleh 4 calon keturunan Cina dan 2 calon Bumiputera Islam, saingan adalah antara dua calon Cina mewakili DAP dan MCA. Calon DAP perolehi 73.61% undi sementara calon MCA hanya 21.59% undi dan calon-calon lain hilang wang pertaruhan. Situasi yang sama di kerusi Tanjong Papat, dalam saingan 7 penjuru; 4 calon Cina, 3 Bumiputera Islam, saingan utama adalah antara DAP dengan SAPP yang mewakili Perikatan Nasional. Calon DAP memungut 68.00%, calon SAPP meraih 24.86%, sementara calon lain hilang wang pertaruhan.

Di Karamunting, kawasan campuran dengan 36% pengundi Cina, ditandingi oleh 7 orang calon, semuanya keturunan Cina. Calon Parti Warisan menang setelah perolehi 58.76% undi untuk atasi perolehan undi calon MCA yang dapat 33.18%, dan semua 5 calon lain hilang wang pertaruhan. 

Kerusi Api-Api, kawasan campuran dengan 34% pemilih berketurunan Cina menjadi saingan 9 orang calon keturunan Cina. Calon PKR menguasai 67.80% undi popular untuk atasi pencabar terdekat iaitu calon PBS yang perolehi 21.30% undi, sementara 7 calon lain hilang wang pertaruhan. 

Kerusi campuran Kapayan dengan 17% pengundi Bumiputera Islam, 49% Bumiputera Bukan Islam dan 33% Cina, memberikan kemenangan besar kepada calon DAP dari keturunan Bumiputera Bukan Islam setelah mengaut 77.40% undi, sementara 6 pencabarnya hilang wang pertaruhan termasuk pencabar terdekat iaitu calon MCA yang hanya meraih 9.71% undi. 

Selain 8 kerusi yang mempunyai pengundi Cina melebihi 33%, 6 kerusi yang mempunyai pengundi etnik Cina antara 16% hingga bawah 30%, semuanya dimenangi oleh calon mewakili Wawasan Plus; Inanam (22% pengundi Cina), Tanjung Aru (21%), Tanjong Kapor (20%), Gum-Gum (19%), Sekong (18 peratus), Segama (16%). 

Kerusi Inanam dimenangi oleh calon PKR dari etnik Bumiputera Bukan Islam, Tanjung Aru yang mempunyai 59% pengundi Bumiputera Islam dimenangi oleh calon Warisan dari keturunan Cina yang perolehi 60.34% undi mengalahkan calon UMNO yang raih 26.94% serta 6 calon lain yang hilang wang pertaruhan. Kerusi Gum-Gum dan Sekong melibatkan 6 penjuru yang melibatkan calon-calon Bumiputera Islam, dimenangi calon Warisan mengatasi pencabar terdekat, calon UMNO. Di Gum-Gum calon Warisan hanya perolehi 39.21% untuk mengatasi undi calon UMNO iaitu 35.85%. Di Sagama, calon Warisan dari Bumiputera Islam dengan 52.41% mengatasi calon Bersatu yang dapat 29.05% serta 6 calon lain. 

Calon Warisan dari keturunan Cina kekalkan kerusi Tanjong Kapor, satu kawasan campuran. Calon Warisan berjaya memperolehi 49.85% untuk atasi pencabar terdekat iaitu calon Bersatu yang meraih 36.84%. Tanjong Kapor (dulunya Kudat) adalah kerusi tradisi berwakil rakyat dari keturunan Cina. Zaman pemerintahan Barisan Nasional (1994-2018), kerusi Tanjong Kapor diperuntukkan kepada LDP, sebuah parti komponen BN mewakili masyarakat Cina. Masa pemerintahan Berjaya (1976-1984) dan PBS (1984-1994), diperuntukkan kepada calon dari etnik Cina.

Calon tunggal keturunan Cina dari blok Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yang menang adalah Flovia Ng dari STAR memenangi kerusi Tulid, kawasan majoriti pengundi Bumiputera Bukan Islam. Calon STAR memperolehi 33.46% undi bertanding atas logo Perikatan Nasional. Dua Rakan sekutunya dari PBRS yang menggunakan logo Barisan Nasional meraih 25.45%, sementara calon PBS perolehi 10.63%. Calon Warisan membolot 23.45% undi popular. 

PRN Sabah16 memperlihatkan sokongan pengundi dari keturunan Cina memihak kepada calon-calon Warisan Plus yang lebih jelas di kawasan mereka menjadi kumpulan penentu. Di kawasan bandar utama, sokongan kepada parti-parti Warisan Plus cukup tinggi, menyebabkan 3 calon GRS hilang wang pertaruhan. Calon-calon Warisan Plus menyapu bersih semua kerusi yang mempunyai jumlah pengundi keturunan Cina melebihi 15% daripada jumlah pengundi kawasan berkenaan. 

Pengumuman senarai penuh kabinet negeri yang dianggotai oleh 11 ahli serta 18 orang pembantu menteri, dengan hanya ADUN Tulid, sebagai pembantu menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dengan jelas gambaran komposisi anggota pentadbiran negeri Sabah. Perwakilan Cina di DUN Sabah, ditambah dengan perlantikan Pengerusi SAPP, Yong Teck Lee sebagai ADUN Lantikan. Kegersangan perwakilan keturunan Cina bermula di peringkat Persekutuan menerusi pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, juga tergambar di negeri yang bertukar kerajaan pasca tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan; Johor, Perak, Melaka dan Kedah. Sebelum itu, selepas PRU14, situasi bermula dalam pentadbiran; Pahang, Perlis, Kelantan dan Terengganu.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan