Sabtu, 4 Julai 2020

PRK Chini 2

PRK CHINI UNTUK MENTERJEMAHKAN SITUASI POLITIK SEMASA

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini hari ini walaupun dijangka tidak mengejutkan lantaran ketiadaan penyertaan wakil dari Pakatan Harapan sebagai pembangkang utama, ianya penting untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Data, maklumat dan perolehan undi PN dalam PRK ini selain garis panduan untuk persediaan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), ianya sebagai indikator kedudukan sebenar kerajaan PN hari ini. Walaupun PRK Chini tidak dapat memberi gambaran tepat dan jelas kerana Chini adalah kawasan kubu kuat UMNO sejak sekian lama selain gabungan undi BN dan Pas dalam PRU14 sudah memberikan gambaran jelas mengenai kerusi N23 Chini. 

Perolehan undi calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 13,872 undi iaitu 91.08 peratus dari jumlah undi sah berjaya mengatasi prestasi mantan ADUN, DS Abu Bakar Harun yang meraih 10,027 atau 60.78 peratus undi dalam PRU14, di kala 78.0 peratus keluar mengundi. 

Undi calon BN digabung dengan undi calon Pas menjumlahkan 15,432 undi atau 93.54 peratus dalam PRU14, dalam PRK Chini hari ini, pungutan undi popular 91.08 peratus, dengan 73.87 peratus peratusan keluar mengundi, dengan sedikit penurunan. 

Namun begitu, mesej utama yang hendak dicapai oleh Mohd Sharim bukan mempertahankan kerusi BN, tetapi menguji sejauh mana prestasi calon mewakili pakatan baru, Muafakat Nasional yang mengikat kerjasama UMNO-Pas. Di samping itu, sebagai ujian sulong parti dokongan kerajaan baru Perikatan Nasional (PN). Kejayaan Mohd Sharim merangkumi tiga mesej: pertama mengekalkan kerusi BN, kedua mengukur keberkesanan pemuafakatan UMNO-Pas menerusi Muafakat Nasional, ketiga penerimaan dan tanggapan rakyat terhadap kerajaan PN yang disebut-sebut sebagai "kerajaan pintu belakang". 

Penurunan peratusan undi gabungan undi BN-Pas berbanding PRU14 dan PRK Chini, tidaklah boleh dianggap pemuafakatan UMNO-Pas tidak mendapat sokongan sepenuhnya oleh penyokong Pas khususnya. Perlu diambil perhatian bahawa undi Pas sebanyak 5,405 undi dalam PRU14 bukanlah bermakna ahli dan penyokong Pas yang layak mengundi sebanyak angka berkenaan, kerana kecenderungan lazim dalam demokrasi kepilihanrayaan, ada sebahagian pengundi memilih mana-mana calon asalkan pembangkang. Undi dua orang calon bebas dalam PRK Chini, sebanyak 1359 undi yang lebih tinggi berbanding undi calon PKR dalam PRU14, sudah menggambarkan kewujudan secara constant pengundi anti-establishment dalam mana-mana pilihan raya. Dengan peratus keluar mengundi yang lebih rendah dalam PRK Chini, tidak semua 1,065 pengundi yang memilih PKR mengundi calon bebas hari ini. Golongan yang mengundi Pas atas sikap mengundi pembangkang, sebahagiannya mengundi calon bebas. Atas faktor ini dengan disokong peratusan mengundi yang sedikit berkurang, catatan undi calon BN, Mohd Sharim berkurangan sebanyak 1,560 undi. Gabungan undi BN-Pas dalam PRU14 ialah 15,432, PRK hari ini mencatat 13,872.

Pencapaian calon BN yang memperkukuh realiti pemuafakatan UMNO-Pas, di mana 90.57 peratus pemilih N23 Chini adalah pengundi Melayu, di samping pengundi Orang Asal sekitar 9.0 peratus. Catatan penguasaan 91.08 peratus undi merintis permulaan bergaya kerjasama dan perpaduan orang Melayu menerusi mekanisme politik berparti dan amalan demokrasi kepilihanrayaan. PRK Chini juga menjadi tapak bermula keyakinan dan penerimaan kerajaan baru yang berusia empat bulan. 

PRK Chini yang awalnya dianggap sebagai satu amalan routine SPR untuk memenuhi kekosongan kerusi dewan legislatif, tetapi melihat kepada kepekaan awam khususnya pengundi menjadikan PRK Chini ini satu elemen penting dalam politik tanah air. Justeru, Chini adalah kubu UMNO, lawan tradisi UMNO iaitu Pas sudahpun berada dalam satu pasukan, wakil kerajaan sebelum iaitu Pakatan Rakyat, hilang deposit dalam PRU14, umumnya digambarkan calon BN akan dapat laluan mudah. 

Kerusi ini mempunyai lebih 8,000 pengundi luar dari jumlah 20,900 pengundi, yang dijangka peratus keluar mengundi rendah kerana dianggap pengundi tidak perlu bersusah payah korban tenaga, masa dan belanja balik kampung untuk mengundi. Namun demikian sebaliknya pengundi luar di Chini main peranan membantu sasaran SPR dengan peratusan keluar mengundi 70 peratus. Peratusan keluar mengundi 73.87 peratus yang diistiharkan SPR menggambarkan PRK ini cukup penting dalam mentafsir gelagat dan kemelut demi masa depan politik tanahair, walaupun BN ditentang oleh calon bebas.  

Peratus keluar mengundi dalam PRK Chini setanding dengan PRK Tanjung Piai (74.32%), Rantau (79.28%), Kimanis (79.90%), Semenyih (73.08%) dan Cameron Highlands (68.72%). Kelima-lima PRK tersebut dilihat sengit dan penting demi survival parti yang bertanding yang mewakili pembangkang iaitu BN dan parti kerajaan PH. Sementara PRK Sandakan dan PRK Port Dickson hanya mencatat kurang 60% keluar mengundi lantaran PRK ini tidak memberi impaks kepada situasi politik dan tanpa penyertaan BN. PRK-PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong hanya mencatat peratusan keluar mengundi yang rendah, tak sampai 50 peratus, bagi pengundi bahawa tiada keperluan mendesak untuk rakyat keluar ke peti undi menyatakan pendirian.

Bezanya PRK Chini, PRK pertama di bawah "kerajaan tebuk atap", yang tidak sanggup disertai oleh kerajaan yang tumbang belum capai usia separuh penggal yang sedang sibuk tumpuan menentukan siapa calon Perdana Menteri ke 9.  Di samping itu, PRK Chini ingin membuktikan keikhlasan dan kekuatan jentera Pas membantu rakan permuafakatan.

Calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham mengumpul 1,222 undi atau 8.02 peratus undi popular walupun hilang wang pertaruhan telah menempatkan sedikit pengiktirafan khalayak pengundi yang bergerak dengan jentera yang terbatas. Sokongan kepada beliau dengan mengumpul sebahagian undi PKR serta undi Pas dalam PRU14, mewakili suara pembangkang di kawasan majoriti Melayu. Keupayaan beliau yang bertemu sedikit secara langsung lebih menyerlah sokongan berbanding dengan seorang calon bebas yang bergantung kepada media sosial untuk menyampaikan mesej kepada pengundi. Calon bebas kedua, Mohd Shukri Mohd Ramli sekadar mampu mengaut 137 undi atau 0.90 peratus. Perbezaan kaedah berkempen yang diamalkan oleh kedua-dua calon bebas boleh dijadikan panduan dalam pengaturan jentera pilihan rayam bersesuaian dengan latar belakang lokaliti dan kehidupan sosial. 


Sabtu, 04/0702020, 11.00 malam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan