Sabtu, 11 Julai 2020

Chini ke PRU15

FAKTOR PRK CHINI KEPADA PERSIAPAN PILIHAN RAYA UMUM KE 15

Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Chini ada signifikan kepada persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), sama ada satu pilihan raya mengejut atau sebaliknya. Sungguhpun PRK Chini asasnya satu ujian di kubu kuat UMNO yang mengandungi lebih 91 pemilih Melayu, di samping tanpa penyertaan pembangkang, namun beberapa faktor menarik dapat dikutip untuk gerakerja jentera mana-mana parti yang berminat kepada PRU15. 

Peratusan keluar mengundi yang melepasi sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan gambaran sikap rakyat terhadap situasi dan perkembangan politik. Peratusan keluar mengundi yang tinggi di kerusi yang bukan rebutan atau penentuan kuasa individu atau organisasi sebagaimana beberapa PRK yang terdahulu, khususnya pasca kejatuhan kerajaan BN dua tahun lalu. 

PRK di kubu PH, dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, 49.36% di Sungai Kandis, 42.93% di Balakong dan 44.09% di Seri Setia, gagal menarik pengundi menunaikan tanggungjawab. PRK Port Dickson, medan untuk memberi peluang calon PH sebagai bakal Perdana Menteri, hanya sekadar 58.19% keluar mengundi, jauh dari sasaran SPR. Sandakan yang merupakan asas pertapakan DAP di Sabah, hanya mampu menarik 54.39% pengundi menunaikan tanggungjawab. 

Berbeza di kawasan saingan sengit terutamanya kawasan yang dimenangi PH atau BN dengan majoriti kecil dalam PRU14 seperti Cameron Highlands, Tanjung Piai dan Kimanis, peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi. Peratusan keluar mengundi mencapai 68.72% di Cameron Highlands, 74.32% di Tanjung Piai dan 79.90% di Kimanis, lantaran kerjakuat jentera parti bertanding serta tarikan kuat mengajak pengundi buat keputusan di peti undi. PRK Rantau yang menampilkan keupayaan pemimpin nombor dua UMNO, mampu mengajak 79.28% pemilih  turun membuat keputusan. 

Jika dibandingkan dengan PRK  Tanjung Piai atau PRK Semenyih, yang betul-betul menguji keyakinan rakyat terhadap kerajaan PH lain pula dengan situasi semasa di PRK Chini, sekadar menguji sejauh mana keberkesanan persepakatan kerajaan baru Pakatan Nasional, khususnya Muafakat Nasional antara UMNO-Pas. Jentera parti tidak perlu kerja keras, sekadar melengkapkan paparan sokongan kepada kerajaan baru dan pemuafakatan politik baru. Mengikut jentera pilihan raya BN, disasarkan seramai 5,000 dari jumlah lebih 8,000 pengundi luar pulang mengundi, sebaliknya terdapat lebih 2,500 melebihi sasaran. Faktor keterlibatan pengundi luar, dengan kabar tanpa duit minyak, sanggup pulang kampung untuk mengundi. 

Dalam beberapa siri PRU lepas, jentera parti memberi tumpuan khusus kepada pengundi luar, di mana di kebanyakkan kawasan pilihan raya di sebelah pantai timur Semenanjung, pengundi luar adalah antara faktor penentu menang kalah sesebuah parti. Setengah parti mengadakan majlis secara berkala dengan pengundi luar difokuskan kepada kawasan pengundi luar berada. Di samping itu, mengambil kesempatan musim cuti perayaan masa pengundi pulang kampung, dipertemukan jentera parti dengan pengundi luar. 

Keupayaan BN memperolehi undi besar serta kemenangan majoriti besar yang lebih menampakkan keberkesanan kerjasama UMNO-Pas di samping sokongan penyokong PH yang bersama PN walaupun jumlahnya kecil di Chini, lebih mudah dibaca sebagai kesiapsiagaan BN bersama PN untuk berdepan dengan pilihan raya umum secara mengejut dalam tempoh terdekat. Sungguhpun PRK Chini sebagai gambaran politik tempatan dengan isu-isu tempatan, tetapi pemantapan kerjasama dan sokongan rakan-rakan UMNO dalam PN, menjelaskan senario dan kehendak penyokong PN seluruh negara khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu. 

PRK Chini memberikan satu mesej untuk rakyat seluruh negara bahawa kerajaan baru yang pembentukannya dipersoalkan sebagai kerajaan "pintu belakang", calon yang secara langsung mewakili pentadbiran "tebuk atap" mampu meraih lebih 91 peratus sokongan dengan peratus keluar mengundi hampir 74 peratus. Satu manifestasi kekuatan sebenar sokongan rakyat khususnya mewakili masyarakat pemilih Melayu. Perlu diingat bahawa 98 kerusi Parlimen dari jumlah 165 kerusi atau 60 peratus di Semenanjung mempunyai majoriti pengundi Melayu/Islam, mewakili 60 peratus pengundi setiap kawasan pilihan raya Parlimen. Sedikit sokongan di kawasan campuran dengan pemilih Melayu/Islam melebihi 50 peratus serta sumbangan dari penyokong PN di Sabah dan Sarawak memudahkan pembentukan sebuah kerajaan dengan majoriti mudah.

Jika gelagat pemilih di Chini diterjemahkan ke realiti nasional, munasabahlah jika dikatakan semangat Chini akan menjadi tapak mengukuhkan kerajaan PN yang memerlukan keabsahkan menerusi demokrasi berparlimen. Andainya apa-apa yang berlaku dalam sidang Parlimen yang akan bermula Isnin, 13/07/2020 ini, kemungkinan kerajaan PN memerlukan keabsahan pengwujudannya, maka langkah berani ialah membubarkan Parlimen untuk satu PRU baru dalam tempoh masa terdekat.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan