Ahad, 5 Januari 2020

PRK Kimanis 1

PRK KIMANIS PASTINYA SENGIT

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen bagi kerusi P176 Kimanis pastinya dijangka akan menyaksikan satu persaingan sengit. Dua calon mendaftarkan diri pada hari penamaan calon hari ini untuk PRK ini yang akan berlangsung pada 18/07/2020. PRK kali kesepuluh selepas PRU14 diadakan berikutan pembatalan kemenangan calon BN, Datuk Anifah Aman dalam PRU14. 

BN yang mempertahankan kerusi meletakkan Datuk Mohamad bin Amilin, bekas ADUN Bongawan, sementara Parti Warisan Sabah yang membuat petisyen pilihan raya, mempertaruhkan Datuk Karim Bujang yang kalah dengan mjoriti tipis 156 undi dalam PRU14. Karim Bujang,  bekas ADUN Bongawan dari UMNO selama 5 penggal sejak 1990. Mohamad adalah Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Karim pula Ketua Warisan Bahagian Kimanis. 

Dalam PRU14,  calon BN, Anifah Aman memungut 11,942 undi untuk diistiharkan memenangi kerusi P176, dengan kelebihan 156 undi, mengatasi undi calon Warisan, Karim Bujang, 11,786 undi. Seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Harapan Rakyat Sabah perolehi 1,300 undi. Asas utama petisyen keputusan ini ialah kelebihan kertas undi berbanding jumlah pengundi keluar mengundi. 

Seramai 29,664 orang pengundi disenaraikan dalam daftar pemilih induk untuk mengundi dalam PRK ini. 63.16% dari jumlah pemilih tersebut adalah Bumiputera Islam, 30.67% Bumiputra bukan Islam3.59% Cina dan 2.58% lain-lain kaum. Kawasan Kimanis adalah kawasan majoriti penduduk keturunan Melayu Brunei. 

Dengan kemenangan tipis calon BN serta saingan satu lawan satu membuka ruang yang lebih kepada kedua-dua parti yang bertanding. Kedua-dua parti mempunyai matlamat dan sebab tersendiri mengapa PRK P176 cukup penting dan berstrategik. Faktor kemenangan BN untuk pertahan kerusi dan Warisan parti kerajaan merampas kerusi pembangkang bukanlah faktor yang mendominasi PRK ini. 

Kepentingan PRK Kimanis kepada BN satu tindakan strategik menyemak dan mengesan kerelevanannya di Sabah, setelah keputusan-keputusan PRK di Semenanjung lebih memihak kepadanya. Hasil PRK di Semenanjung yang memperlihatkan BN berpotensi untuk comebacks. 

PRK Kimanis percubaan pertama BN menguji populariti di Sabah selepas hilang kuasa. Dalam PRK Sandakan, tahun lepas, sungguhpun secara tidak langsung sudah ada persepakatan parti-parti pembangkang, tetapi ada perbezaan antara latar belakang dan kondisi Sandakan dengan Kimanis. Sandakan mewakili kawasan majoriti pengundi Cina, yang sudah beberapa kali  memilih DAP mewakili mereka di Parlimen semenjak PRU 1986. Justeru itu, hasil PRK Sandakan sekadar satu referendum gambaran sokongan rakyat khususnya masyarakat bandar mempertahankan parti pemerintah Persekutuan. Impaks di Sandakan, menyerupai apa yang berlaku di Semenanjung, sebagaimana ditunjukkan oleh pengundi bandar dalam PRK Balakong. 

Bahagian pilihan raya Parlimen P176 Kimanis adalah satu kawasan luar bandar. Penyertaan BN di PRK Kimanis bukan sekadar mempertahankan kerusi, yang lebih difokuskan ialah sejauhmana kesetiaan pemilih kepada BN, khususnya UMNO setelah hampir semua wakil rakyat UMNO keluar parti kesan prestasi parti dalam PRU14.Tiga hari selepas, PRU14, seramai 6 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN keluar parti; 4 UMNO, 2 UPKO, membantu kumpulan ADUN dari Warisan untuk mencukupkan pembentukan kerajaan negeri. Pada 12/12/2018, UMNO meneima pukulan bila 5 Ahli Parlimennya bersama 9 ADUN, 21 ketua bahagian dan 2 orang senator, keluar parti beramai-ramai. Berikutnya kesemua mereka sertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Hari ini, UMNO Sabah hanya memiliki seorang Ahli Parlimen dan seorang ADUN. 

Parti Warisan sebuah parti baru yang asasnya ada kaitan dengan perpecahan dalam UMNO. Warisan diasaskan oleh bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Safie Afdal bersama bekas kepimpinan beberapa parti yang berpengkalan di Sabah dan ditubuhkan sebagai parti berbilang kaum pada 17/10/2016. Dalam usia yang muda dan jangka masa yang singkat, Warisan mampu memberi cabaran kepada BN dalam PRU14, di mana Warisan mengadakan persefahaman pilihan raya dengan parti nasional; PKR dan DAP. Kegagalan mana-mana parti menubuhkan kerajaan selepas PRU14, memberi ruang kepada 6 ADUN BN membantu pakatan diketuai Warisan bersama DAP dan PKR merungkai masalah pembentukan kerajaan. 

Kekalahan dengan majoriti kecil calon Warisan dalam PRU14 membuka ruang dan harapan tinggi, kerusi P176 dapat di rampas. Cabaran Warisan dalam PRK ini juga bertumpu kepada keupayaan calon parti kerajaan meraih kemenangan untuk memperkukuhkan dan kekuatan sokongan rakyat kepada pemerintah. 

PRK Kimanis lebih berfokus kepada pencapaian calon parti kerajaan yang akan menjadi indikator atau petunjuk kelangsungan sokongan rakyat mempertahankan kerajaan. Seandainya momentun kemenangan Warisan di Kimanis memperlanjutkan kemenangan di Sandakan sebagai isyarat dari Sabah dalam politik tanah air. Justeru itu, tugasan Warisan bukan sekadar merampas kerusi milikan pembangkang tetapi mempastikan faktor Sabah tetap relevan kepada kerajaan Pakatan Harapan. 

Dalam kesengitan saingan antara BN yang mempertahankan kerusi dan Warisan mempertahankan kuasa pemerintahan, harus diingat rakyat Kimanis boleh melakukan kejutan dengan kuasa undi yang mereka miliki. Rakyat Kimanis pernah mencipta adegan politik demokrasi yang menarik menerusi PRK Parlimen Kimanis pada 29/01/1977, 43 tahun lalu. Wartawan dan aktivis persuratan yang tidak asing bagi rakyat Sabah, A.K. Aliuddin yang bertanding sebagai calon bebas berjaya mengalahkan calon parti kerajaan, BN, iaitu Abdul Karim Ghani dengan majoriti lebih 2,000 undi. Satu angka yang agak besar berbandingan jumlah pengundi.





 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan