Selasa, 21 Januari 2020

PRK Kimanis 3

PENGUNDI KIMANIS MEMBUAT KEPUTUSAN MEWAKILI RAKYAT BORNEO

Keputusan di luar dugaan dan mengatasi ramalan berbagai pihak menghasilkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) P176 Kimanis, sebagai satu indikator awal bacaan politik Malaysia umumnya. Keputusan PRK P176 menhimpunkan input-input dari Semenanjung dan Borneo untuk membentuk satu rangka situasi politik tanah air. Gelagat pengundi PRK Kimanis tidak boleh dijadikan satu isu pinggiran kerana ianya senada dengan apa yang dipertontonkan oleh pengundi Tanjung Piau, Semenyih dan Cameron Highlands yang tidak terikat dengan pendirian pengundi bandar di Sandakan. 

Faktor menarik hasil PRK Kimanis ialah kegagalan parti pemerintah gagal merampas kerusi yang dimenangi parti pembangkang dengan majoriti kecil. Kebiasaannya, kerusi berkenaan atau kerusi tidak selamat mempunyai kemungkinan yang tinggi oleh parti kerajaan. Parti Warisan selaku parti yang memerintah di negeri Sabah dan dibantu oleh rakan-rakan yang membentuk kerajaan di pusat mempunyai tanggungjawab dan peluang besar untuk merampas kerusi marginal milik pembangkang. 

Zaman pemerintahan Perikatan kemudian Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun, mana-mana kerusi marginal pembangkang iaitu kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil memberikan peluang cerah kepada mana-mana calon mewakili BN untuk rampas kerusi berkenaan. Di samping akses kepada kemudahan kerajaan, kebiasaannya liputan berita diutamakan kepada calon parti kerajaan, yang secara langsung mampu membantu jentera parti untuk meraih sokongan pengundi. 

Berita dari sumber rasmi dan media massa meletakkan calon Warisan di hadapan walaupun beliau adalah pencabar kepada calon mewakili parti yang mempertahankan kerusi. Kehadiran kepimpinan negara, menteri khususnya sama ada negeri atau Persekutuan, dilihat sebagai majlis rasmi kerajaan turut mempromosikan calon parti pemerintah. Ianya amalan dan situasi tradisi semenjak pemerintahan parti Perikatan lagi. 

Beberapa contoh kerusi marginal pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) memihak kepada peluang parti kerajaan apabila berlaku PRK. PRK bagi kerusi negeri Terengganu, Bukit Payong telah diadakan pada 21/04/1992, setelah mahkamah menerima petisyen calon BN yang kalah kepada calon Pas dengan majoriti 17 undi dalam PRU 1990. Kedua-dua calon bertanding semula, dengan memberikan kemenangan kepada calon BN dengan majoriti 389 undi. 

Calon BN berjaya merampas kerusi negeri Kelantan, Semerak, apabila PRK diadakan berikutan kematian ADUNnya, yang menang dengan majoriti 248 undi dalam PRU 1995. Dalam PRK pada 11/08/1997, BN menang dengan majoriti 778 undi. Pas juga kehilangan kerusi marginalnya dalam DUN Kelantan iaitu di Pengkalan Pasir, yang dimenangi dengan majoriti 56 undi dalam PRU 2004. PRK pada 08/12/2006 berikutan kematian ADUN, menyaksikan calon BN atasi calon Pas dengan majoriti 134 undi, untuk merampas kerusi berkenaan.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor yang dimenangi oleh calon PKR dalam PRU 2008 dengan majoriti 198 undi membuka ruang kepada BN dalam PRK berikutan kematian penyandangnya.  BN berjaya merampas kerusi pembangkang ini dengan majoriti lebih besar, 1,725 undi dalam PRK yang diadakan pada 25/04/2010. Walaupun PKR menguasai kerajaan negeri Selangor, berbekalkan parti yang menguasai kerajaan Persekutuan, BN dengan mudah mengetepikan PKR yang memimpin kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. 

Kerusi Parlimen Pendang yang buat pertama kali jatuh ke tangan pembangkang dalam PRU 1999 menerusi calon Pas, tidak bertahan lama apabila Ahli Parlimen Pendang meninggal dunia dalam tahun 2002. Kemenangan pembangkang di kerusi berkenaan dengan majoriti 2,939 undi banyak bergantung kepada faktor calon, populariti Dato' Fadzil Noor. Dalam PRK Parlimen Pendang pada 18/07/2002, BN yang menurunkan semula tokoh yang beberapa kali memenangi kerusi berkenaan, Dato' Othman Abdul berjaya merampas kerusi ini setelah berjaya mengatasi calon Pas dengan majoriti 283 undi. 

BN pernah merampas kerusi yang dimenangi pembangkang dalam PRU dengan majoriti yang besar. Dalam PRU 2013, DAP menang di Parlimen Teluk Intan dengan majoriti besar, 7,313 undi. Kematian Ahli Parlimen Teluk Intan dalam tahun 2014, membawa kepada PRK kerusi berkenaan pada 31/05/2014. Populariti calon BN, Dato' Mah Siew Kong berjaya merampas kerusi ini dengan majoriti 238 undi.

Kegagalan calon Warisan merampas kerusi Kimanis yang tewas dengan majoriti tipis, 156 undi dalam PRU 2018, satu episod yang mengejutkan berdasarkan beberapa kelebihan memihak kepadanya. Antaranya, Datuk Karim Bujang,  veteran politik kawasan Kimanis, menyandang ADUN Bongawan selama 5 penggal, beliau calon yang bertanding dalam PRU 2018, beliau adalah calon parti pemerintah. Kemampuan beliau memungut 10,677 undi berbanding 11,786 undi dalam PRU 2018 dulu, berkurangan sebanyak 9.42%. 

Calon BN, Datuk Mohamad Alamin, juga bekas ADUN Bongawan satu penggal, ketinggalan berbanding Datuk Karim dari segi kekananan dalam politik serta mewakili pembangkang berbekalkan majoriti kecil 156 undi. Beliau perolehi 12,706 undi berbanding pungutan undi BN sebanyak 11,942 dalam PRU 2018 iaitu peningkatan 6.40%. Keupayaan yang memperlihatkan beliau meningkatkan undi serta mengukuhkan kekuatan parti dengan kemenangan  2,029 undi, lebih mempamirkan peningkatan moral kepada blok pembangkang yang mencatat rekod yang bertambah baik dalam beberapa PRK pasca PRU14 bermula tahun lepas. 

Jika dalam beberapa PRK di Semenanjung, bermula di Cameron Highlands yang memperlihatkan kecenderungan penolakan rakyat kepada parti pemerintah berdasarkan kemerosotan sokongan atau undi, dengan pengalaman dan hasil PRK Kimanis yang mewakili Borneo, menjelaskan persamaan tanggapan dan bacaan politik rakyat Malaysia pasca PRU14. Sungguhpun masih awal untuk dipersetujukan pandangan setengah khalayak masyarakat bahawa jangka hayat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak panjang. Kata setengah golongan; kerajaan PH adalah kerajaan satu penggal, mungkin ada asasnya. Realitinya, kutipan maklumat dari PRK Kimanis boleh dijadikan rujukan kukuh menganalisis politik Malaysia pasca PRU14. 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan