Isnin, 30 Disember 2019

2020


WAJAH BARU 2020

Kita akan melangkah ke tahun baru 2020 dengan berbagai pembaharuan di bawah kerajaan Malaysia Baru. Terpandang angka 2020, terlintas imbauan 29 tahun lalu bila Perdana Menteri ke 4, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan Wawasan 2020. Tidak terbayang masa itu, dalam tahun 1991, Tun masih segar bugar malah memimpin semula pentadbiran negara dalam tahun 2020. Khayalannya, apakah masih relevan idea Tun, apakah wajah negara Malaysia 29 tahun kemudian. 

Allahyarham Dato' Fadzil Mohd Noor, Presiden Pas (1989-2002) dan Ketua Pembangkang Parlimen (1999-2002) semasa hayatnya pernah mendokakan Tun Dr Mahathir dilimpahkan kurniaan lanjut usia supaya Tun dapat menyaksikan kesan jangka panjang dasar yang diperkenalkannya. 

Asasnya Wawasan 2020, sebuah wawasan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ke 4 (1981-2003), yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Wawasan ini bermaksud bukan sahaja kemajuan dalam bidang ekonomi, tetapi merangkumi bidang-bidang politik, sosial, kerohanian, serta perpaduan nasional. Matlamat akhirnya meningkatkan keadilan sosial, kestabilan politik, sistem kerajaan, maruah bangsa dan keyakinan. 


Dalam penyampaian kertas kerjanya, Laluan ke Depan (The Way Forward), kepada Majlis Perniagaan Malaysia, pada 28/02/1991, Tun Dr Mahathir telah menghuraikan sembilan matlamat utama Wawasan 2020:
  1. Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.
  2. Mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain.
  3. Mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.
  4. Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didukung oleh nilai etika paling tinggi.
  5. Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan.
  7. Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.
  8. Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi.
  9. Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Tun Dr Mahathir telah menggariskan sembilan cabaran strategik yang Malaysia mesti atasi untuk mencapai Wawasan 2020.
  • Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
  • Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
  • Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
  • Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
  • Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
  • Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
  • Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang.
  • Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
  • Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.
  •  
    Apabila Tun kembali semula ke kerusi ketua kerajaan sebagai Perdana Menteri ke 7 bermula 08/05/2018, beliau menegaskan Wawasan 2020 gagal mencapai matlamatnya kerana kerajaan yang mengambil alih bermula 2003, gagal memberi fokus ke arah pencapaian status negara maju. 
    Tun yang menjadi PM bermula 16/07/1981, menyandang jawatan selama 22 tahun  dikenali sebagai "Bapa Pemodenan" atas kejayaan menukarkan Malaysia dari negara pertanian kepada negara perindustrian moden. Agak mengecewakan beliau apabila disifatkan gagal mencapai sasaran lantaran  perkembangan dalam tempoh 15 tahun selepas beliau meletak jawatan pada 31/10/2003, tidak  menjuruskan kepada landasan yang betul. 
    Tumpuan kepada pendapatan tinggi tanpa usaha menjadikan negara maju menjadikan matlamat Wawasan 2020 gagal, justeru  itu pentadbiran di bawah Malaysia Baru menerusi PM terkini menetapkan sasaran baru bagi menjadi negara maju menerusi satu agenda pembangunan baru, melanjutkan sasaran Wawasan 2020 yang diilhamkannya hampir 30 tahun lalu. Seolah pengisian sasaran Wawasan 2020 terbantut di bawah pentadbiran Islam Hadhari dan 1Malaysia demi memantapkan slogan Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
    Allah Maha Besar, dikembalikan hambanya dalam usia melewati lebih 90 tahun memimpin semula kerajaan di kala ilhamnya membina Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju berada di penghujung sasaran. Kehadiran Tun untuk menilai semula agendanya 29 tahun lalu. Bagi Tun, tiada usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran. Justeru itu, beliau melancarkan lanjutan tempoh menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) pada 05/10/2019 lalu. 

Selamat Tahun Baru 2020. 


Tiada ulasan:


Catat Ulasan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan