Khamis, 16 Januari 2020

PRK Kimanis 2

TEKANAN MEMIHAK KEPADA WARISAN MENGUNGGULI PRK KIMANIS

Tinggal beberapa hari lagi pengundi Kimanis akan membuat keputusan di peti undi. Persaingan dua penjuru akan memudahkan rakyat membuat keputusan sama ada Warisan akan merampas kerusi dan Barisan Nasional mempertahankan kerusi tradisi. 

Walau bagaimanapun fokus lebih tertumpu kepada prestasi calon Warisan berasaskan calon kerajaan yang diletakkan keutamaan dalam laporan media. Media letronik mahupun cetak meletakkan nama calon Warisan di hadapan dicabar oleh calon BN. Seolah-olah calon Warisan mempertahankan kerusi, sementara calon BN adalah pencabar untuk merebut kerusi yang dikosongkan. Keutamaan meletakkan calon Warisan, Datuk Karim Bujang sebagai mewakili kerajaan yang memerintah peringkat Persekutuan, sementara calon BN, Datuk Mohamad Alamin selaku pembangkang mencabar calon rasmi pemerintah. 

Dalam kertas undi hasil cabutan undi pada hari penamaan calon tempoh hari, nama Datuk Mohamad di petak atas atau petak nombor satu. Sepatutnya setiap kali penyampai berita menyebut calon BN ditentang oleh calon Warisan. Justeru itu, meletakkan satu tangungjawab yang berat buat calon Warisan mempastikan kerusi Kimanis menjadi miliknya. Tekanan ini amat mengejutkan andainya keputusan malam 18 Januari nanti tidak memihak kepada Datuk Karim.

Lantaran BN yang menangi kerusi P176 dalam PRU14, walaupun tidak sah dan dibatalkan, kemenangan dengan majoriti tipis 156 undi, menjadi taruhan untuk berterung dalam PRK ini. Lebih tepatnya tidaklah wajar meletakkan atau mengistilahkan BN mempertahankan kerusi. Justeru itu, PRK Parlimen Kimanis adalah satu persaingan terbuka, seimbang dan peluang sama antara parti kerajaan dengan parti pembabgkang. 

Oleh kerana calon Warisan mewakili kerajaan lebih ditonjolkan, kemenangannya pada 18/01/2020 nanti tidaklah mengejutkan. Apa yang penting ialah keperluan kerusi Kimanis untuk memperkukuhkan suara parti kerajaan yang masih gagal menguasai suara dua pertiga di Dewan Rakyat. Kemenangan ini akan menterjemahkan pemulihan sokongan pengundi menukar pemerintah dalam PRU14 yang menampakkan kemerosotan sebagaimana dipamerkan dalam beberapa PRK tahun lepas. 

Sejauhmanakah keupayaan jentera pilihan raya Warisan yang dibantu komponen Pakatan Harapan mampu mengatasi isu Pas Sementara Sabah (PSS). Tugas Warisan lebih berat berbanding BN walaupun berdepan dengan pemimpin-pemimpinnya khususnya UMNO meninggalkan parti. PSS diperkenalkan oleh kerajaan negeri Sabah yang diketuai Warisan untuk mengatasi masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin, di mana khalayak masyarakat mentafsirkan PSS adalah usaha mengabsahkan status pendatang tanpa izin. PSS memberi kuasa pemiliknya bebas bergerak di Sabah dalam tempoh tertentu.  Kebebasan pergerakan pendatang tanpa izin akan menambahkan masalah sosio-ekonomi. Digambarkan oleh pemerhati di medan, bantahan rakyat Sabah terhadap PSS menjadi isu mengancam peluang parti Warisan dalam PRK Kimanis. 

Sebenarnya laluan bagi calon BN menghadapi PRK Kimanis lebih selesa. Kiranya calon mampu memenangi PRK ini lebih merupakan satu cabaran dan tekanan kepada Warisan dan Pakatan Harapan di kala BN khususnya UMNO Sabah kehilangan ramai pemimpin selepas PRU14. Satu tamparan besar kepada ahli politik yang melompat parti, andainya BN mampu memberi tentangan sengit yang menyaksikan Warisan melalui jalan sukar tidak sebagaimana PRK Sandakan. Lebih parah lagi, budaya menolak PH dalam PRK di Semenanjung menular ke Sabah.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan