Khamis, 30 Januari 2020

Kerajaan Satu Penggal 1

ADAKAH KERAJAAN MALAYSIA BARU SEKADAR MEREHATKAN PEMERINTAHAN BARISAN NASIONAL

Bahagian 1

Impaks daripada analisis siri Pilihan Raya Kecil (PRK) menyimpulkan satu jangkaan bahawa pengambilan alihan kerajaan oleh Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya  menerusi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) sekadar satu tempoh untuk merehatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 60 tahun. Perkembangan diukur dari pencapaian PRK pasca PRU14 lebih menampakkan pemerintahan Malaysia Baru tajaan PH berperanan  merehatkan BN untuk tempoh pendek, kalau nasib kurang baik kerajaan PH adalah kerajaan satu penggal. 

Kehadiran 10 PRK selepas PRU14 hingga hari ini, dalam tempoh kurang 2 tahun,  banyak membantu pemerhatian prestasi kerajaan Malaysia Baru. Tiga PRK pertama diadakan di negeri Selangor yang merupakan kubu Pakatan Harapan, untuk mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri kerana kematian penyandang. Ketiga-tiga PRK; Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia diadakan dalam edah 100 hari pertama pemerintahan Malaysia Baru. 

Justeru itu, PRK berkenaan tidak menampakkan impaks yang jelas dan menonjol dalam mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap kerajaan baru dan kesan pertukaran pemerintah kepada pembangkang baru. Lantaran kemenangan besar PH dengan majoriti besar dalam PRU14 bagi Balakong (35,538 undi atau marginal 65.96%), Seri Setia (19,372 undi atau marginal 44.12%) dan Sungai Kandis (12,480 undi atau beza 28.91%) serta penguasaan 51 kerusi oleh PH dari jumlah 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor, mendinginkan semangat pengundi untuk keluar mengundi. Peratus keluar mengundi yang rendah dalam PRK; 42.93% di Balakong, 44.09% di Seri Setia dan 49.36% di Sungai Kandis, masih mampu membantu membuktikan sokongan kepada PH masih utuh, kendatipun pada kadar yang minima.

Peratus keluar mengundi yang rendah dalam PRK Sungai Kandis berbanding lebih 86% dalam PRU14, yang memerosotkan pungutan undi kedua-dua parti yang bertanding; PKR dan BN. Perbandingan yang lebih tepat dan rasional ialah menggunakan peratusan undi. Undi PKR sebanyak 61.44% dalam PRK berbanding 55.6% dalam PRU14. Sebaliknya, undi calon BN juga meningkat kepada 38.17%  dalam  saingan tiga penjuru dalam PRK berbanding 26.68% dalam saingan empat penjuru semasa PRU14. Pas yang mendapat 17.54% undi dalam PRU14 tidak bertanding dalam PRK, membantu calon BN meningkatkan peratusan sokongan. PRK Sungai Kandis adalah PRK pertama selepas PRU14, diadakan 3 bulan selepas pembentukan kerajaan baru di Putrajaya. 

Bahagian Pilihan Raya Negeri Sungai Kandis (dulunya Seri Muda) adalah satu kawasan campuran dengan komposisi; 39% Melayu, 25% Cina dan 35.3% India, telah dimenangi oleh calon PKR semenjak PRU12. Kerusi berlatar belakang pengundi bandar ini, mampu mengekalkan sokongan kepada PH yang secara langsung menggambarkan kelangsungan kesetiaan rakyat. Namun begitu, ruang yang diberikan oleh Pas untuk membolehkan BN bersaingan secara langsung dengan PH telah memberikan kesan kepada sokongan kepada pembangkang.

Sebulan kemudian, pada 08/09/2018 PRK Seri Setia dan Balakong berlangsung serentak.  Kerusi Balakong, kubu tradisi PH menerusi DAP, satu bahagian pilihan raya negeri campuran dengan komponen utama pengundinya 53% Cina, diikuti 36.6% Melayu dan 9.4% India. Hanya 42.9% pengundi Balakong keluar membuang undi dalam PRK, berbanding seramai 87% semasa PRU14. Undi PH menurun dari 41,768 undi dicatat dalam PRU14 kepada cuma 22,508 undi dalam PRK. Namun demikian, calon PH mampu mempertahankan sokongan popular, melonjak kepada 84.99% dalam PRK, berbanding 77.53% dalam PRU14. 

Bahagian Pilihan Raya Negeri Seri Setia, adalah kawasan campuran dengan pengundi Melayu menguasai 52.3% dari jumlah pengundi, India 27.8% dan Cina 18.9%. Sama seperti Sungai Kandis dan Balakong, merupakan kerusi yang dikuasai PH (dulunya Pakatan Rakyat) semenjak PRU12. Dalam PRK Seri Setia, undi PH telah merosot dari 66.62% dalam PRU14 kepada 58.60%. BN menerusi UMNO, pencabar utama yang menguasai 22.50% undi dalam PRU14 memberi laluan kepada Pas, yang mendapat 10.39% undi dalam PRU14, untuk menentang PH secara satu lawan satu dalam PRK. Laluan diberikan oleh UMNO kepada Pas dalam PRK Seri Setia telah melonjakkan undi anti-PH. 

Dalam situasi peratusan keluar mengundi yang rendah di Seri Setia, iaitu cuma 44.09% berbanding 84% semasa PRU14, memperlihatkan undi PH turun kepada 13,725 undi daripada 29,250 undi. Perbandingan yang lebih tepat peratusan undi turun dari 66.62% kepada 58.60%. Sebaliknya Pas dengan kerjasama UMNO telah meningkatkan undinya dari 4,563 undi kepada 9,698 undi, dengan mengumpul 41.40% undi popular dalam PRK. Peratusan keluar mengundi yang rendah tetapi meningkatkan undi pembangkang Melayu memberikan kelainan impaks politik kepada PH selaku parti pemerintah,

Sebulan kemudian, diadakan PRK bagi kerusi Parlimen Port Dickson kerana perletakan jawatan penyandang dari PKR. Pengosongan kerusi ini untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, DS Anwar Ibrahim menduduki badan legislatif. Parlimen Port Dickson (dulunya Teluk Kemang) telah dikuasai oleh PKR semenjak PRU12. 

Di pihak BN, kerusi ini tradisinya peruntukan untuk MIC semenjak PRU Pertama (1959), tetapi dalam PRK ini, MIC memberi ruang kepada UMNO untuk bertanding mewakili BN.  BN yang memungut 18,515 undi atau 30.19% undi dalam PRU14, memulaukan PRK ini. Pemulauan dipelopori UMNO memberi  impaks kepada peratusan keluar mengundi, apabila 58.19% keluar mengundi berbanding 83% dalam PRU14.  Pencapaian calon Pas walaupun berjaya menambah undinya  berbanding dengan PRU14, tidak mampu dilihat memperolehi manfaat besar sebagaimana PRK Seri Setia yang secara langsung UMNO membantu Pas.  Seorang calon bebas,TS Mohd Isa Abd Samad, bekas pemimpin kanan UMNO bertanding sebagai calon bebas hanya perolehi 4,230 undi atau 9.73%. 

PRK Port Dickson lebih tertumpu ruang diberikan kepada DS Anwar, yang mendorong UMNO bersama BN memboikot PRK yang dirancang. Pencapaian calon PH yang menghadapi tentangan dari lawan yang lemah, dengan peningkatan peratusan undi popular serta peningkatan majoriti kemenangan, memberikan sedikit roh kepada PH walaupun berjaya pertahan tiga PRK awal pasca PRU14 dengan peratusan keluar mengundi yang rendah. 

Empat PRK di kawasan campuran, dengan menarik perhatian kepada hasil di Seri Setia, yang merupakan peratusan pengundi Melayu yang paling ramai (52.3%). Kemerosotan pencapaian calon PH diimbangi dengan peningkatan undi pembangkang menggambarkan perubahan sokongan kepada kerajaan terbentuk di kalangan pengundi Melayu. Sebaliknya, Balakong dengan pengundi Cina sebanyak 53.0% menyaksikan berlaku peningkatan peratusan undi dan peningkatan majoriti kemenangan calon PH. 

Bersambung 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan