Khamis, 6 Februari 2020

Kerajaan Satu Penggal 2

ADAKAH KERAJAAN MALAYSIA BARU SEKADAR MEREHATKAN PEMERINTAHAN BARISAN NASIONAL

Bahagian 2

Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands diadakan pada 26/01/2019 berikutan Ahli Parlimennya hilang kelayakan sabit kesalahan pemberian wang tunai kepada pemilih dalam PRU14. Kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dibentuk hasil persempadanan kawasan pilihan raya 2003 adalah kawasan campuran komposisi ras pengundi dan campuran  bandar, kampung tadisional Melayu, penempatan FELDA dan penempatan Orang Asal. Taburan pengundinya; 33.6% Melayu, 29.49% Cina, 21.85% Orang Asal dan 15.06% India. Kerusi ini tradisinya dimenangi BN dan diperuntukkan kepada calon MIC. 

Kegagalan calon PH yang diwakili DAP, satu pencapaian yang tidak wajar sebagai parti mewakili kerajaan.  Semasa BN menjadi kerajaan, BN menang dengan majoriti tipis; 462 undi dalam PRU13 dan 597 undi dalam PRU14, tetapi sebagai pembangkang masih pertahan kerusi ini dengan majoriti lebih besar, 3,238 undi, dalam PRK 26/01/2019. Calon PH yang merupakan calon yang sama dalam dua PRU lepas, telah kehilangan 910 undi dari 9,710 undi dalam PRU14 kepada cuma 8,800 undi. Berbeza dengan kelaziman politik kepilihanrayaan Malaysia, calon parti kerajaan biasanya dengan mudah merampas mana-mana kerusi majoriti kecil dimenangi pembangkang dalam PRU sebelum. 

Kejayaan BN yang memperturunkan calon dari masyarakat Orang Asal dan bukan calon MIC berjaya meningkatkan undi dari 10,307 undi atau 42.30% semasa PRU14 kepada 12,038 undi atau 56.18% dalam PRK, lebih menampakkan pola pegundian pasca PRU14. Tambahan pula, Pas yang mengaut 3,587 undi atau 14.72% dalam PRU14, secara terbuka menyokong calon BN mewakili pembangkang. 

Berbeza dengan empat PRK sebelum, peratusan keluar mengundi di Cameron Highlands lebih tinggi iaitu 68.72%. Sungguhpun peratusan keluar mengundi dalam PRK lebih rendah tetapi tidak jauh beza dengan peratusan mengundi semasa PRU14; 76%. Berasaskan peratusan keluar mengundi dan peratusan undi popular calon pembangkang lebih menyerlahkan suara tidak sehaluan dengan kerajaan Malaysia Baru, berbanding dengan empat PRK terdahulu, di kubu PH, peratus keluar mengundi yang relatifnya rendah.

PRK kerusi Dun Selangor, Semenyih, sebulan selepas PRK Cameron Highlands, mampu dilihat sebagai usaha berterusan permulaan suara penolakan kerajaan Malaysia Baru. Kemenangan besar PH menerusi calon PPBM dalam PRU14, dengan majoriti 8,954 undi atau 19.40%, tidak mampu menjamin pengaruh sebuah kerajaan.  

Dalam PRU14, PH memperolehi 23,428 undi atau 50.76% undi untuk memenangi kerusi Semenyih dalam saingan empat penjuru bersama BN/UMNO, Pas dan Parti Sosialis Malaysia. Semenyih lebih merupakan kawasan majoriti Melayu yang merangkumi 60.2% dari jumlah pengundi, di samping 22.7% Cina, 15.8% India dan 1.3% lain kaum. Calon UMNO yang mempertahankan kerusi cuma meraih 14,464 undi atau 31.34%, Pas dapat 6,966 undi (15.09%) dan PSM 1,293 undi (2.80%), di kala 88% pengundi menuaikan tanggungjawab. 

PRK Semenyih lebih memberi kesan yang besar dari sudut penilaian sokongan rakyat kepada kerajaan PH, walaupun pungutan suara ini dilakukan dalam satu kawasan pilihan raya sahaja. Semenyih berbeza dengan kawasan PRK lain yang melibatkan kawasan campuran, sementara Semenyih adalah kawasan majoriti Melayu dan kerusi tradisi BN menerusi UMNO, yang terlepas dalam PRU14. Peratusan keluar mengundi yang tinggi, 73.08%, melepasi sasaran SPR, menampakkan kepekaaan pengundi membina rangka penilaian kerajaan PH. 

Sungguhpun PRK Semenyih menyaksikan saingan empat penjuru, namun saingan yang berkesan ialah antara PH dengan BN. Tanpa penyertaan Pas yang mengaut undi Melayu lebih 6,000 undi dalam PRK14 menjadikan Pas menjadi faktor dominan dalam PRK Semenyih, walaupun PH berbekalkan majoriti besar hampir 9,000 undi. Kemerosotan undi PH dari 23,428 undi (50.76%) kepada 17,866 undi (45.60%) dalam PRK, sebagai satu pencapaian yang tidak wajar bagi sebuah parti kerajaan dan penyandang kerusi.

Peningkatan undi BN dari 14,464 undi (31.34%) kepada 19,780 undi (50.48%) membuktikan keberkesanan kerjasama pembangkang. Pas yang secara langsung membantu calon BN menyaksikan pengundi Melayu secara umumnya  penolakan kepada PH. Pengajaran dari PRK Semenyih, kemenangan besar dalam saingan tiga penjuru atau lebih dalam PRU14 tidak mampu bertahan apabila berlaku saingan utama dua penjuru dalam PRK.

Sebulan selepas PRK Semenyih, politik Malaysia dihidangkan dengan PRK Rantau, kerusi Dewan Undangan Negeri Sembilan. Kerusi Rantau yang dimenangi oleh calon BN dalam PRU14 diistiharkan tidak sah menerusi satu petisyen pilihan raya. Kerusi Rantau adalah kerusi campuran dengan pengundinya Melayu; 53.38%, India; 26.43%, Cina; 18.63%, merupakan kerusi tradisi BN diperuntukan kepada UMNO. 

Setelah dua kali berturut kekalahan PH dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih, banyak pihak meletakkan PRK Rantau sebagai ibu segala PRK pasca PRU14. PRK Rantau adalah medan ujian sebenar BN setelah memperlihatkan kejayaannya di Cameron Highlands dan Semenyih, banyak dibantu Pas yang mempu mengaut undi yang bukan kecil dalam PRU14 dan memberi laluan kepada BN untuk menyaingi PH secara langsung dalam PRK. Tetapi  di Rantau, Pas tidak dapat membantu BN kerana kekurangan pengaruhnya. Di pihak PH pula, dilihat sejauhmana kemampuan PH di kawasan campuran.

Kejayaan calon BN menguasai 63.22 peratus undi popular di Rantau mampu memperlihatkan BN mula mendapat rentak dengan menguasai kawasan campuran. Peratus keluar mengundi yang tinggi, 79.29%, bolehlah digambarkan penguasaan undi BN melebihi 60% sebagai penerimaan popular rakyat, dengan memberikan majoriti besar 4,510 undi atau perbezaan undi 27.42% dengan calon PH.

PRK Parlimen Sandakan, pada 11/05/2019, sebulan selepas PRK Rantau sekadar melengkapkan mengisi kekosongan kerusi kerana kematian penyandang kerusi dari DAP. Sandakan, sebuah kawasan bandar dan kubu kuat DAP yang merintis pertapakan DAP di Borneo menerusi PRU 1978, memberi laluan mudah buat PH. 

Kepentingan PRK Sandakan kurang menyerlah lantaran sebagai kubu kuat DAP yang memberikan kemenangan bergaya dalam PRU14 dengan majoriti besar10,098 undi atau marginal 35.95% serta mengumpul sokongan 67.97% undi popular, menarik hanya 54.39% untuk keluar mengundi dalam PRK. BN yang memperolehi 8,996 undi atau 32.03% undi dalam PRU14 memberi laluan kepada PBS untuk menentang DAP dalam PRK. PBS hanya mampu mengaut sokongan 4,491 undi atau 20.80% undi berbanding undi DAP sebanyak 16,012 undi atau 74.15% undi. PRK memberikan DAP menang mudah dengan majoriti 11,521 undi atau 53.35%, 

Kemenangan besar DAP mewakili PH di Sandakan sekadar mengabsahkan sokongan kuat masyarakat bandar. Pencapaian DAP ini tidak menggambarkan kekuatan sebenar PH lantaran tanpa penyertaan pembangkang utama, BN dan peratusan keluar mengundi yang rendah. 

bersambung
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan