Ahad, 24 November 2019

Tolak politik rasis

AGENDA PARTI MENGATASI AGENDA PERKAUMAN

Keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang memihak kepada calon Barisan Nasional dari MCA merungkaikan persepsi yang dibina oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, kerjasama pembangkang khususnya UMNO dan Pas berkecenderungan membawa pembiakan virus rasis. Sungguhpun PRK Tanjung Piai sekadar satu pungutan suara pengundi setempat tetapi dengan demografi serta latar belakang sosio-ekonominya, bolehlah diambil sebagai satu bahagian modul menggambarkan suara rakyat keseluruhannya. Ini disokong oleh faktor nasional mengatasi faktor setempat atau local yang banyak membantu pengundi membuat keputusan.

Lazimnya parti pemerintahan sama ada BN atau PH, akan mengumumkan projek besar, projek segera dan program-program khas diatur untuk pemimpin utama parti turun, tetapi berbeza dengan PRK Tanjung Piai. Justeru itu, secara umumnya kecenderungan pemilih membuat keputusan di peti undi adalah isu nasional, yang memaparkan penolakan pengundi kepada PH. Ayungan undi yang begitu besar yang memberikan kekalahan PH dengan majoriti yang besar mengajak orang awam menilai prestasi PH, khususnya pentadbiran dan pemerintahan era Malaysia Baru.

Setuju dengan pendapat awam bahawa PH gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat demi menambahbaik prestasi ekonomi nasional dan pembangunan sosio-politik. Tanggungjawab sebagai pemerintah baru mempersembahkan prestasi yang lebih baik berbanding kerajaan yang ditumbangkan diselebungi oleh dasar, tindakan dan pengucapan kepimpinan kerajaan baru yang menampakkan penyuburan perkauman. Isu dan unsur rasis sengaja digemburkan yang merupakan antara pendekatan baru diambil oleh kerajaan Malaysia Baru.

Kontrak sosial yang menjadi matlamat persepakatan antara kaum terbesar di Tanah Melayu yang merangka pembentukan negara merdeka telah pula dipersoalkan. Ada pemimpin meminta sejarah tanah air ditulis semula. Usaha mengiktiraf perjuangan Partai Komunis Malaya sebagai perjuangan kemerdekaan tanah air, dakwaan orang India adalah penduduk asal Tanah Melayu berasaskan sejarah ketamadunan Lembah Bujang serta sejarah Srivijaya, mempertikai kedudukan Raja-raja Melayu, membantah peruntukan masa pembelajaran tulisan jawi, menghina Rasulullah, adalah antara pembaharuan yang dipopular. Bagaimana cara pengurusan kes kematian Mohamad Adib, mengetengahkan kes kematian Tan Beng Hock, isu Dr Zakir Naik dan lebih berani meletakkan tulisan Cina dalam label jalan kawasan perbandaran di Selangor, membibitkan isu-isu rasis dalam pentadbiran. 

Walaupun semua pihak sama ada parti pemerintah atau pembangkang mendaulati perlembangaan yang menjadi kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan hak keistimewaan Orang Melayu dan peribumi, tetapi setelah 60 tahun merdeka berkebetulan pertukaran pemerintah, usaha-usaha secara terbuka dan berleluasa dalam menyentuh dan menyinggung perasaan. Berasaskan prinsip asas demokrasi, persamaan hak dan keadilan untuk semua, secara terangan penyuburan unsur perkauman mula menjalar dalam berbagai bentuk komunikasi dan media. 

Keputusan yang diambil oleh pengundi Tanjung Piai pada 16/11/19 lalu, adalah antara jawapan awal kepada perubahan dalam konteks  hubungan kemasyarakatan di negara berbilang kaum. Sebahagian pengundi menyedari status quo yang dipertahankan oleh pemerintah BN demi perpaduan kaum dan pembangunan negara perlu dikekalkan. Hak-hak setiap kaum dalam kontrak sosial perlu dipatuhi dan dihormati agar pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara yang dikecapi lebih 60 tahun berkekalan. 

Penolakan pengundi agenda rasis yang merudumkan sokongan kepada PH di Tanjung Piai juga dapat dikesan kepada Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (Berjasa) yang membawa agenda mengaut Melayu/Islam.  Berjasa hanya perolehi 850 undi atau 2.51% undi popular mengukuhkan lagi perjuangan rasis tidak relevan dalam politik Malaysia. Kegagalan PH mempertahankan kerusi dan pencapaian calon Berjasa bolehlah dirumuskan penolakan amalan politik rasis dalam politik Malaysia.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan