Khamis, 12 Disember 2019

Tak Perlu Tukar Kerajaan

MENGAPA PERLU TUKAR KERAJAAN MALAYSIA HARI INI

Pemerintahan kerajaan Persekutuan yang baru masuk tahun kedua sedang berdepan dengan kritikan setengah pihak berkeadaan tidak stabil lantaran diwarnai oleh berbagai isu dan masalah yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat. Beberapa catatan peristiwa yang mencetuskan reaksi panas yang menggambarkan pembaharuan yang cuba diterapkan dalam masyarakat, membekalkan berbagai tanggpan dari masyarakat awam.

Isu kritikan terhadap Raja-raja Melayu, penghinaan terhadap peribadi Rasulullah, komik propaganda komunis, membawa masuk abu mendiang Chin Peng, himpunan sambutan ulangtahun perjanjian Hat Yai dengan kehadiran bekas-bekas penyokong Partai Komunis Malaya (PKM), penganjuran expo tattoo bogel, isu pengajaran tulisan jawi, menghina pasukan keselamatan, mengubah Jalur Gemilang, saranan menulis semula sejarah negara bermatlamat mengiktiraf perjuangan PKM satu perjuangan kemerdekaan tanah air dalam menentang kolonialisme dan imperliasme, adalah antara cebisan peristiwa yang menggambarkan wajah baru pemerintahan Malaysia. Wajah baru kegagalan mengurus tadbir sebuah pemerintahan. Terbaru, di sebuah sekolah aliran Cina, nyanyian lagu Negaraku dalam Mandarin.

Secara langsung agenda keadilan untuk semua membabitkan penyemaian fahaman komunisme. Sebuah kerajaan baru sepatutnya memperkenalkan dasar baru untuk meningkatkan pembangunan fizikal dan rohani rakyat, sebaliknya lebih menonjolkan isu-isu baru yang lebih bersifat merobek keharmonian yang sudah terjalin sekian lama. Kecelaruan dan kegagalan pemerintah baru mengurus dan mengawal seolah-olah sebuah perancangan. 

Semalam Baginda Al Sultan Selangor dalam majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda di Istana Alam Shah, Klang, menegur golongan tertentu yang mengagungkan perjuangan PKM. Teguran baginda lanjutan dari perkembangan akhir-akhir ini yang cuba mengajak khalayak awam mengimbau perjuangan komunisme dalam sejarah menentang perjajahan.

Baginda Sultan mengingatkan rakyat supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah berkaitan PKM dan mengagung-agungkan pemimpin mereka. Baginda melontarkan ingatan bahawa fakta perjuangan ideologi PKM ini merupakan satu fakta sejarah yang perlu bagi rakyat generasi sekarang memahami dengan mendalam agar rakyat tidak terpesong dengan fakta-fakta yang mengelirukan tentang perjuangan komunisme di negara kita. 

Peringatan baginda, walaupun PKM dikatakan menentang penjajahan, namun perjuangan mereka bukan berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan (Sinar Harian 12/12/19 halaman 2 dan Berita Harian 12/12/19 halaman 4). 

Suasana yang dicetuskan lebih menjurus kepada usaha membangkitkan doktrin komunisme di alaf baru, satu ideologi politik yang semakin dijauhi masyarakat global. Apakah berpaksikan keadilan dan kesamarataan, hasil kemenangan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 serta mandat rakyat, membuka ruang untuk mengetengahkan nilai-nilai baru yang kontradiks dengan kontrak sosial  yang telah dipersetujui. 

Setelah kejatuhan komunisme di Eropah Timur dan Eropah Tengah menerusi Revolusi 1989, satu demi satu negara-negara komunis mengendurkan amalan dan anutan komunisme. Soviet Union di bawah Mikhail Gorbachev, berpecah dengan negara-negara gabungan membentuk kerajaan sendiri. Sekitar tahun 1990 hingga 1992, di samping kejatuhan kerajaan komunis di Eropah, diikuti berjangkit ke Cambodia (1991), Ethiopia (1990), Mongolia (1992), merebak ke Yaman Selatan (1996). China mula melonggarkan doktrin komunisme lebih awal, iaitu di bawah Deng Xiaping (1982-1987) dengan perubahan besar dalam amalan ekonomi. Di bawah Xiaping, diperkenalkan amalan sosialisme acuan China dengan ciri-ciri tersendiri. 

Banyak negara komunis Barat dan pertubuhan sosialis di Barat telah mengubah kepada haluan baru dengan amalan demorasi kepada prinsip sosial demokrat dan sosialisme demokrasi, kesan dari kejatuhan kerajan-kerajaan komunis atau Revolusi 1989. Di negara-negara demokrasi, pertubuhan atau parti-parti politik yang memperjuangkan sosialisme memilih wadah sosial demokrat untuk terus bernafas.

Di kala komunisme sudahpun runtuh dan kerelevannya semakin tersingkir, apakah perancangan di sebalik diusahakan unsur-unsur komunisme dalam kehidupan hari atas nama keadilan untuk semua. Pelik juga, di kala dunia menolak komunisme, ada usaha di Malaysia untuk meraikannya.

Kecelaruan berbagai isu dan peristiwa yang tidak berlaku masa pemerintahan dulu timbul tidak selesa di kalangan setengah rakyat tahap keupayaan kerajaan baru menanganinya. Rakyat melihat kerajaan baru tidak berkeupayaan mendidik rakyat menghormati perlembagaan, instusi raja, realiti kepelbagaian kaum, kedudukan Islam, Orang Melayu dan Bahasa Melayu yang dijamin oleh perlembagaan dan persetujuan kontrak sosial. Lebih terbuka, ada pemimpin politik meminta dibubar Parlimen untuk mandat baru, di atas ketidakupayaan dan kelemahan kerajaan baru menangani isu. Mandat baru diperlukan untuk menyemak sama ada meneruskan elemen-elemen baru atau mengawal unsur-unsur yang boleh merosakkan ikatan kontrak sosial serta status quo keharmonian masyarakat.

Apapun yang berlaku dalam negara kita, hak demokrasi harus diraikan. Rakyat memberi mandat kepada kerajaan baru dan berilah peluang kerajaan baru mempersembahkan agendanya sehingga tempohnya. Rakyat yang memilih kerajaan dalam PRU14 memang menyedari prinsip dan dasar parti. Pengundi menyedari mana-mana pihak yang menguasai kerajaan dalam sistem berbilang parti adalah terdiri dari gabungan berbagai parti dengan sebuah parti  dominan. 

Kerajaan baru pastinya mempunyai dasar dan halatuju yang berbeza dengan kerajaan lama, justeru itu rakyat memilih untuk perubahan. Berilah peluang kerajaan baru mengatur agendanya demi sebuah perubahan. Kerajaan lama yang memerintah lebih 60 tahun dikuasai oleh sebuah parti dominan, begitu juga kerajaan baru yang sedang berada dalam tahun kedua, sama ada sedar atau tersembunyi ada parti dominan.


 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan