Rabu, 13 November 2019

PRK Tanjung Piai 6

SAINGAN ANTARA ISU TEMPATAN DENGAN ISU NASIONAL

Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, sudah masuk minggu kedua menjelang hari pembuangan undi pada 16/11/2019. Pesaing utama, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) lebih menonjol gerakan jentera pilihan raya berbanding 4 lagi pesaing. Laporan media perdana serta media sosial menampakkan PH dan BN menguasai medan kempen sama ada ceramah umum atau bersemuka terus dengan pengundi, berbanding  calon Gerakan, Berjasa dan bebas lebih tumpu kepada sesi bertemu pengundi secara langsung. Pertemuan secara langsung dengan pengundi lebih bertumpu kepada; kempen dari rumah ke rumah, bersemuka pengundi di tempat awam, pasar pagi, pasar malam, kedai kopi. 

Pakatan Harapan sebagai parti pemerintah yang memiliki kelebihan menggunakan kemudahan awam sebagaimana dalam beberapa PRK, masih meneruskan lagenda ini dengan berhati-hari dan terbatas. Tapi, dalam PRK Tanjung Piai, kemaharajalelaan PH nampaknya cenderung berkurang. Walau bagaimanapun berbanding dengan keterlibatan BN yang lebih meluas dan terbuka, semasa menjadi pemerintah dulu, keterlibatan PH dengan kadar yang lebih kecil dan berkurang. 

Fokus kempen kepada isu tempatan tidak dapat elak dengan mempergunakan kemudahan awam atau keterlibatan kakitangan awam atau pemimpin dengan program awam. Pemimpin terlibat dengan majlis perasmian, majlis pelancaran, majlis perkhidmatan awam dengan rakyat atau pengundi khususnya yang secara langsung parti berkempen atas isu tempatan, isu berlatarbelakangkan sosio-ekonomi masyarakat Tanjung Piau.  Masyarakat Tanjung Piai berlatarbelakangkan nelayan, petani, pekebun kelapa sawit, dan peniaga kecil lebih terdedah eksplotasi parti pemerintah menjelang hari mengundi, mencenderungkan PH fokus kepada isu tempatan.

Isu tempatan tidak dinyatakan dalam kempen dan manifesto PH dalam PRU14, sengaja jadi tumpuan kempen PH, berbanding BN sebagai parti pembangkang mempertaruhkan isu nasional. Isu janji manifesto PH yang tidak ditepati dan tidak dilaksanakan serta perkembangan dalam urustadbir dan dasar kerajaan baru yang dilihat mencabar kestabilan politik dan mencabar status quo menjadi tumpuan sasaran serangan BN. 

Calon PH berjanji hendak mengubah nasib petani dan nelayan Parlimen Tanjung Piai, di samping hendak mewujudkan industri baru dalam aktiviti penternakan tiram dan pembenihan ikan sembilang. Beliau juga berjanji mewujudkan koperasi yang secara langsung membuka peluang anak-anak muda dalam bidang perniagaan kecil-kecilan. Memperlihatkan, calon PH, Karmaine Sardini, seorang bekas AJK UMNO Pontian, meneruskan kerja buat UMNO dan BN, dalam kempen pilihan raya semasa memegang tampuk pemerintahan dulu. 

Selepas hari penamaan calon, di kalangan masyarakat nelayan Tanjung Piai membangkit nasib mereka berbanding zaman pemerintahan BN dulu, mereka terima bantuan khas RM2000 setahun. MB Johor mengumum bantuan khas R1000 kepada nelayan, di mana peruntukan RM1.513 juta dari Tabung Pembangunan Nelayan Negeri Johor. 

Ikut serta calon PH di Majlis Aspirasi Pra Sekolah di Kukup, banyak terima kritikan penglibatan calon dalam program awam sebagaimana masa pemerintahan BN dulu. Di samping itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub menyumbangkan RM5000 ke tabung Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Pei Chio, Kukup Laut, menjelang hari penamaan calon. 

Sebelum kempen rasmi dibenarkan oleh SPR, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk kerja-kerja penambahbaikan termasuk pembinaan sebuah dewan di Kukup. Sementara, Menteri Belia dan Sukan, Syed Sadeq Syed Abd Rahman, mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 juta, untuk penambahbaikan kemudahan sukan dan rekreasi dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai. 

Masuk minggu kedua kempen menghampiri kemuncak menjelang hari mengundi, setelah banyak ceramah BN dan parti lain menghentam  pemimpin-pemimpin PH yang turun berkempen menabur janji dengan peruntukan kerajaan serta ambil kesempatan majlis awam, nampaknya PH beralih kepada isu nasional. Antara isu yang diketengahkan ialah peranan Muafakat Nasional, Pas membantu kempen calon MCA, isu-isu moral zaman pemerintahan nasional. Kedua-dua parti utama, PH dan BN, fokus kepada ceramah umum dengan menurunkan kepimpinan tertinggi parti-parti komponen. 

Walau bagaimanapun tinjauan awam memperolehi rata-rata pengundi sama ada Melayu atau Cina menzahirkan keperluan "bread and butter" sebagai kuasa pemutus. Pengundi menampilkan rasa tidak selesa dengan infrastruktur yang daif di kawasan luar bandar. Apa pun bakal kata pemutus pengundi atau pilihan adalah berpaksikan kepada isu setempat, isu semasa, parti dan peribadi calon.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan