Isnin, 18 November 2019

PRK Tanjung Piai 7

TANJUNG PIAI MENGAJAR BUDAYA POLITIK MATANG KEPADA RAKYAT MALAYSIA

Pengundi P165 Tanjung Piai telah memberi jawapan kepada ramalan masa depan politik Malaysia menerusi peti undi semalam. Keputusan yang dibuat pengundi Tanjung Piai bukan sekadar menzahir manifestasi rasa hati rakyat tempatan malah yang lebih besar ialah satu terjemahan kepada suara hati rakyat keseluruhannya. 

Pengundi Tanjung Piai telah mengagihkan 10,380 undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, 25,466 undi untuk calon Barisan Nasional (BN) DS Dr Wee Jeck Seng, 1,707 undi untuk Wendy Subramanian dari Gerakan, 850 undi kepada calon Berjasa, Dato' Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, sementara 380 undi dan 32 undi buat calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar. 

Undi calon BN mengatasi undi calon PH bukanlah mengejutkan berdasarkan kajian badan bebas serta pemerhatian sikap pengundi. PH akan kehilangan kerusi yang dimenangi dengan majoriti 524 undi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) sudah awal dijangkai. Kegagalan mana-mana parti sama ada parti pemerintah atau pembangkang yang dimenangi dengan majoriti kecil dalam pilihan raya sebelum memang terdedah kepada kebarangkalian bertukar tangan. 

Parti yang menang dengan majoriti tipis dalam PRU gagal pertahan kemenangan dalam pilihan raya kecil (PRK) sebagaimana yang berlaku dalam beberapa PRK; Bukit Payung (1992), Semerak (1997), Pengkalan Pasir (2006), Kuala Terengganu (2009), Galas (2010), Hulu Selangor (2010). 

Kejutan dalam PRK Tanjung Piai yang paling ketara ialah kegagalan parti pemerintah, PH mempertahan kerusi dengan kekalahan 15,086 undi. Kemenangan calon pembangkang dengan majoriti besar 15,086 undi atau margin 38.86%, memberikan gambaran penolakan ketara pengundi kepada parti pemerintah. 

Penulis berada di kawasan pilihan raya Tanjung Piai, pada hari kemuncak kempen dan hari membuang undi memberikan satu pengalaman baru dalam perjalanan pilihan raya di Malaysia. Perang poster, bendera, banner serta markas parti memperlihatkan PH meninggalkan BN bermula dari pinggir bandar Pontian Kecil hingga ke Tanjung Piai melalui Teluk Kerang, Kukup dan Serkat, kemudian ke Pekan Nenas melalui Teluk Kerang. Markas BN sunyi sepi pada malam hari mengundi, jauh beza dengan markas PH. 

Hari terakhir kempen iaitu hari Jumaat, tidak semeriah dan serancak dengan gerakan kempen beberapa PRK dan PRU yang lalu. Berikutan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan permit untuk kempen dari rumah ke rumah, suasana di medan agak lengang, kecuali laungan, lambaian dan sorakan pasukan kempen sepanjang jalan khususnya kawasan bandar. Tanpa keterlibatan pasukan kempen rumah ke rumah menjelang tamat tempoh berkempen, suasana  dingin yang tidak menampakkan kekuatan jentera mana-mana parti. 

Pada hari mengundi, pengundi tidak perlu bersesak di bangsal panas yang dikendalikan oleh parti-parti yang bertanding, mereka sudah disediakan kad pengundi yang disediakan oleh SPR lebih awal. Pengundi tidak perlu kunjungi bangsal panas atau kaunter semakan untuk menyemak status mereka. Secara langsung menjadikan suasana dan proses urusan pengundian lebih tenang.

Kehadiran pengundi ke pusat membuang undi tidak serancak sebagaimana dalam beberapa PRK dan PRU terdahulu. Biasany masa puncak, pengundian berjalan sebelum jam 12.00 tengah hari. Dalam PRK Tanjung Piai, sehingga jam 12.00 tengah hari, seramai 43% pengundi selesai tunaikan tanggungjawab. Kebiasaannya, dalam amalan pilihan raya di Malaysia, lebih separuh pengundi telah keluar mengundi menjelang tengah hari. 

Strategi jentera parti mengenalpasti pengundi yang belum keluar mengundi, di mana pengundian lebih rancak di awal petang. Suasana yang agak menggusarkan parti bertanding khususnya BN dan PH, kedengaran sebahagian penyokong masing-masing enggan keluar mengundi sebagai tanda protes. Penyokong UMNO tidak berpuas hati pemilihan calon MCA. Sebahagian penyokong PH enggan keluar mengundi kerana kecewa dengan prestasi kerajaan Malaysia Baru. Kehadiran 74.4% pengundi Tanjung Piai  merupakan antara peratusan mengundi tertinggi pasca PRU14 melepasi sasaran SPR dan banyak membantu PRK ini membuat keputusan mengejutkan. Kejutan dipaparkan oleh prestasi BN dan PH, di luar ramalan. 

Undi PH yang hanya 10,380 undi sahaja berbanding 21,255 undi dalam PRU14, di kala 78.3% keluar mengundi, secara relatifnya satu pencapaian yang menyedihkan. BN mencapai 20,731 undi dalam PRU14, meningkat kepada 25,466 undi, walaupun peratusan keluar mengundi sedikit menurun. Gelombang peningkatan sokongan kepada BN berlaku di kala perjalanan PRK Tanjung Piai dalam suasana dingin dan tenang bermula hari penamaan calon sehingga hari mengundi. Suasana kontradiks pencapaian BN dengan paparan gerakerja jentera kempen memberikan  satu elemen baru dalam demokrasi kepilihanrayaan di Malaysia. 

Cetusan unsur atau elemen baru ini akan lebih mematangkan iklim amalan demokrasi yang menyukarkan pemerhati politik membuat ramalan dan jangkaan keputusan pengundian. Justeru itu, gelombang besar kebangkitan rakyat lantaran sesuatu isu besar tidak lagi diterjemahkan dalam bentuk dzahir yang akan mengubah nasib sesebuah kerajaan. Kebangkitan rakyat secara total yang bergerak secara senyap dan aman akan mematangkan amalan demokrasi. 

Sesuatu keputusan pilihanraya mengejut dan luar jangka sebagaimana PRK Tanjung Piai, memaparkan kematangan demokrasi diharap menjadi satu budaya politik baru demi kestabilan politik dan sosial di negara kita. Keputusan pengundi Tanjung Piai membuat keputusan menggambarkan mereka memilih parti bukan memilih keturunan calon, dalam kawasan campuran dengan 56% pengundi adalah orang Melayu. Pengundi Melayu lebih cenderung menyokong calon berbangsa Cina, yang memberikan kemenangan dengan majoriti luar biasa. Jika pengundi Melayu memilih ikut bangsa dan keturunan, pastinya calon PH akan menang ataupun jika kalah pun tidaklah seteruk itu. PRK Tanjung Piai mematangkan aliran pemikiran politik alaf baru, di mana pengundi memilih parti bukan memilih keturunan dalam merangka model politik masa depan dalam sebuah masyarakat berbilang kaum.


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan