Ahad, 22 September 2019

Pakatan Pembangkang

PEMUAFAKATAN PEMBANGKANG BUKAN RASIS

Pemuafakatan menerusi Himpunan Penyatuan Ummah oleh UMNO dan Pas tidak harus dilihat dari sudut pertimbangan perkauman tetapi satu kerjasama antara parti pembangkang dalam sebuah demokrasi berparlimen perwakilan berkawasan (constituency representatives). Sebagai pembangkang, menjadi hak kepada UMNO dan Pas mencari kaedah atau pendekatan berkesan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). Apa yang digariskan oleh Piagam Muafakat Nasional bermatlamat meletakkan kerjasama UMNO-Pas sebagai wadah siasah yang boleh diterima oleh rakyat Malaysia untuk bersaing di pentas demokrasi. 

Persepakatan UMNO dan Pas, haruslah diukur dari sudut kekuatan, pengaruh dan keupayaan keberadaan dalam arus perdana politik nasional dalam tempoh yang panjang. Kedua-dua parti ini, walaupun berada dalam blok pembangkang, tetapi mampu menguasai beberapa kerajaan negeri serta terus berada dalam dewan-dewan perundangan. Keberadaan UMNO dan Pas menafikan Pakatan Harapan (PH) menguasai majoriti di Parlimen dan beberapa dewan undangan negeri. 

Kesan saingan tiga penjuru dalam PRU14 berjaya memecahkan undi di beberapa sektor atau kawasan, membolehkan Barisan Nasional (BN) hilang kerusi-kerusi tradisi. Impaks utama ialah kemenangan kepada PH. Kesan besar dapat disaksikan kepada pencapaian di kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, khususnya di kawasan majoriti Melayu dan campuran. 

Di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, lebih cenderung kepada dua penjuru, antara PH dan BN, walaupun penyertaan parti-parti kecil yang gagal perolehi undi yang memberangkang, tiada penyertaan Pas. Di kawasan pengundi Melayu kurang 20% iaitu 12 kerusi Parlimen, memberikan kemenangan besar kepada calon-calon PH yang diwakili DAP bila berdepan BN. Di kawasan pengundi Melayu dalam lingkungan 20 hingga 39%, iaitu 18 kerusi, semuanya dimenangi PH, kecuali Cameron Highlands. Di kawasan ini, Pas bertanding di 14 kerusi, dengan 12 daripadanya hilang wang pertaruhan. 

PH memenangi 98 kerusi Parlimen di Semenanjung, sementara bakinya dimenangi oleh BN sebanyak 49 kerusi dan Pas 18 kerusi. Di kawasan majoriti bukan Melayu; PH menguasai 29 kerusi atau 96.7% kerusi dan satu kepada BN.  Di kawasan campuran, pengundi Melayu di antara 40% hingga 59%, dikuasai oleh PH dengan memenangi 34 kerusi dari jumlah 37 kerusi atau 91.9% , dengan baki 3 kerusi kepada BN. Sementara di kawasan majoriti Melayu, iaitu pengundi Melayu melebihi 60% pengundi yang berjumlah 98 kerusi dimenangi; PH 35 atau 35.7%, BN 45 dan Pas 18 kerusi. 

PH lebih mendominasi kerusi-kerusi di kawasan majoriti bukan Melayu dan campuran, apabila memenangi lebih 90% kerusi kawasan berkenaan. Di kawasan majoriti pengundi Melayu yang memiliki hampir 60% keseluruhan kerusi Parlimen Semenanjung, kejayaan PH menguasai satu pertiga kerusi sudah dapat menggambarkan sokongan berbagai kelompok masyarakat. Pencapaian tersebut meletakkan PH menguasai 59.4% kerusi Semenanjung yang secara langsung melayakkannya menguasai pemerintahan dengan sokongan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak.

Kejayaan PH memenangi sebahagian kerusi di kawasan majoriti Melayu serta kawasan campuran lebih banyak berfokus kepada saingan tiga penjuru. Wujudnya Piagam Muafakan Nasional di antara UMNO dan Pas, sebagai asas pakatan parti-parti pembangkang mempunyai kekuatan pernyataan mana-mana parti yang memenangi sesuatu kawasan pilihan atau wakil rakyat dipilih tidak mewakili suara majoriti pengundi. Sebahagian calon-calon yang menang dalam situasi saingan tiga penjuru tidak mewakili majoriti pengundi kerana perpecahan undi kepada tiga pihak memberikan wakil rakyat  hanya dipilih oleh antara 35 hingga 40 peratus pengundi. Baki dua pertiga pengundi memberikan undi kepada calon yang kalah. Pengundi yang memilih wakil rakyat lebih kecil dari pilihan kepada calon lawan atau majoriti pengundi tidak memilih mereka. 

Seramai  75 orang Ahli Parlimen atau 45.5% yang dipilih dalam PRU14 tidak dipilih oleh majoriti pengundi di kawasan masing-masing di Semenanjung. Mereka hanya meraih undi kurang dari separuh atau 50% iaitu; 37 dari BN, 29 dari PH dan 9 mewakili Pas. Semua kerusi tersebut melibatkan persaingan PH-BN-Pas. 29 kawasan yang dimenangi PH akan terancam bila UMNO mewakili BN bekerjasama dengan Pas demi mengelakkan saingan tiga penjuru. Di samping itu, 10 kerusi dimenangi PH dengan majoriti kecil setelah hanya perolehi peratusan kecil iaitu kurang 52.5%, mengatasi undi BN dan Pas. 

Justeru 75% atau 37 kerusi dimenangi BN dengan pungutan undi kurang 50% dan separuh kerusi Pas juga tidak mewakili suara majoriti pengundi, kedua-dua parti memerlukan saling bergantung. Apabila mereka membuat pakatan, bukan sahaja untuk mengancam PH menerusi saingan dua penjuru dalam PRU15, malah akan menyelamatkan kerusi BN dan Pas yang gagal perolehi sokongan majoriti pengundi. 

Andaian jika pola pengundian kekal sebagaimana PRU14, PH akan berdepan masalah untuk mempertahankan 39 kerusi apabila berlaku saingan dua penjuru, tanpa mengambil kira peratusan pengundi muda yang lebih besar ekoran pelaksanaan penurunan umur pengundi kepada 18 tahun. Sejarah lampau, pengundi muda biasanya cenderung kepada anti-esblishment, satu lagi amcaman utama mana-mana parti yang mempertahankan kerajaan. Kehilangan 39 kerusi boleh membawa kepada peralihan kuasa pemerintahan kerana kiranya BN dan Pas berjaya pertahan kerusi dan merampas 39 tersebut menjumlahkan pungutan 106 kerusi, yang hanya memerlukan sokongan 6 kerusi tambahan dari Sabah atau Sarawak. 

Kerjasama atau ta'awun siyasi antara UMNO dan Pas lebih menampakkan usaha menghalang perpecahan undi di kalangan pembangkang dalam memberikan tawaran kuasa pemerintahan menerusi peti undi dalam PRU15. Kebetulan, blok pembangkang semasa di Parlimen dikuasai oleh 68.3% Ahli Parlimen Melayu, setelah beberapa orang Ahli Parlimen UMNO melompat ke PH, pakatan UMNO-Pas bukanlah pakatan berasaskan perkauman atau rasis tetapi suara pengundi yang tidak menyokong PH. Pakatan ini walaupun jalurnya nampak rasis tetapi lebih kepada tawaran alternatif kepada rakyat, khususnya mereka yang tidak menyokong PH dalam PRU14 dan kekal dengan pendirian sama dalam perjalanan ke PRU15.  

Di samping itu, demi meraikan hak suara majoriti lantaran sistem perwakilan berasaskan kawasan kaedah First Past The Post (FPTP) mendedahkan calon yang dipilih tidak mewakili sokongan majoriti. Sewajarnya, saingan dua penjuru, pakatan parti-parti dalam gagasan PH lawan satu lawan satu dengan persepakatan pembangkang yang dominan, walaupun terbuka untuk parti-parti kecil yang tidak berpengaruh berpeluang menyertai proses demokrasi kepilihanrayaan. Secara umumnya, mekanisme demokrasi sistem dua parti lebih menepati matlamat demokrasi, wakil rakyat dipilih oleh suara majoriti.  

Tindakan rintisan oleh UMNO dan Pas menerusi kerjasama tersebut membentuk pakatan pembangkang yang lebih kukuh dan tersusun adalah kewajipan memperkukuhkan amalan demokrasi. Langkah ini walaupun luarannya nampaknya bersifat penyatuan sokongan Melayu/Islam, tetapi keperluan membentuk satu pakatan pembangkang yang kukuh dapat mengambil peranan semak dan imbang yang berkesan melampaui batasan kaum dan kepercayaan.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan